Friday, 3 October 2014

Mukhriz Tun Mahathir, Paul Low & 13 Peguam Yang Diboo!

Oleh Megat Rizal MH

Seperti yang umum telah ketahui, Majlis Peguam pada 19 haribulan September lepas telah mengadakan satu EGM (mesyuarat agung luar biasa) untuk menyatakan pendirian majlis tersebut berkaitan dengan penguatkuasaan Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1970) yang dilaksanakan kerajaan kebelakangan ini.

Pelaksanaan yang dilihat ramai sebagai bermusim itu membuatkan ramai yang terkejut dan risau apabila kes-kes yang sudah beberapa tahun lama, kini dihadapkan ke muka pengadilan untuk pendakwaan. Ada yang bertanya, apa perlu hasutan yang dibuat pada tahun 2012, contohnya, dihadapkan ke mahkamah kini?

Ramai juga yang melihat ini sebagai satu tindakan berbaur politik sesetengah pihak untuk menyekat lawan politik mereka. Ada juga yang mula menyalahkan parti tertentu kerana dikatakan akan berhimpun besar sebulan dua lagi, maka ramai pemimpin-pemimpin parti tersebut mahu dilihat akar umbi sebagai garang dan berani untuk menjalankan tanggungjawab seperti yang diminta mereka.

 Ada pula yang mula mengaitkan sebuah teguran yang dibuat seorang negarawan telah membuatkan ‘kerajaan yang selama ini lemah longlai bertukar mengganas’. Tidak kurang juga dengan mereka-mereka yang berkata bahawa penjawat-penjawat awam tertentu ‘baru bangun tidur setelah sekian lama bermimpi di siang hari’.

 Dan ada juga yang menuduh bahawasanya mereka telah dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu dan sangat berpihak dalam melakukan kerja mereka.

Walaupun kita tidak terkejut dengan tuduhan dan rungutan tidak berasas sesetegah kumpulan yang suka menghasut dan pendokong-pendokong mereka, kita sedikit hairan apabila terdapat juga  segelintir pengamal undang-undang memilih untuk bernada serupa.

Kenapakah mereka seolah-olah mahu mendatangkan kebencian dan penghinaan serta seolah-olah mahu membangkitkan perasaan tidak setia terhadap pentadbiran keadilan di Malaysia?

Persoalannya, apakah perlu ada tempoh susut untuk kerajaan menjalankan siasatan dan memutuskan untuk pendakwaan, khususnya hal-hal yang rumit dan sensitif seperti menghasut?

Bagi golongan yang suka menghasut, baik peguam ataupun sesiapa saja, yang sekarang bertopengkan sebagai gerakan ‘moderates’ Malaysia,  kita faham kenapa mereka tidak senang dengan Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1970) yang banyak menjadi batu penghalang kepada kerja-kerja menghasut mereka.

Al Maklumlah sesetengahnya dibayar gaji puluhan ribu ringgit sebulan oleh pihak-pihak tertentu semata-mata untuk menghasut dan memporak-perandakan keharmonian yang telah kita semua capai.

Apa lagi mereka mahu?

Namun kita harus tepuk dada dan tanya diri kita, patutkah golongan ini dibiarkan kerajaan untuk terus berkeliaran ke seluruh negara dengan demo, forum tabu, ceramah dan flash mob yang bakal menjerumuskan negara kepada porak-peranda tanpa dihadapkan ke muka pengadilan?

Adakah hak kita semua terhenti seketika untuk memberi laluan kepada hak mereka untuk menghasut dan menimbulkan kebencian kepada nilai-nilai negara kita?

Adakah hak mereka untuk berdemo lebih penting dan bernilai daripada hak kita yang tidak mahu untuk demo diadakan?
Adakah hak mereka yang mahu menggulingkan kerajaan dengan turun ke jalanan lebih mulia dan berguna daripada hak kita yang tidak mahu kejadian itu berlaku?

Berbalik kepada Badan Peguam, sesi EGM tersebut dihadiri oleh 975 ahli yang mana menyaksikan kepada 701 ahli bersetuju dengan cadangan supaya Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1970) dimansuhkan, 13 ahli lagi memilih untuk menentang usul tersebut dan selebihnya berkecuali.

Kita sememangnya tahu bahawa ahli-ahli majlis tersebut sememangnya tidak ‘fear’ sesiapa. Malah jika kita masih ingat, ada juga ahlinya yang mencabar supaya mayatnya dilangkah ramai yang mahu melaksanakan sesuatu yang ditentang hebat si fulan untuk menunjukkan keberaniannya. Itu jelas. Badan Peguam dan ahli-ahlinya tidak takutkan sesiapa.

Namun sama ada keputusan Badan Peguam itu kelihatan seperti ‘favouring’ pihak-pihak tertentu, itu kita tinggalkan untuk tuan-tuan yang putuskan?

Pada pandangan kita, badan tersebut perlu bersifat neutral dan sepatutnya memilih untuk menggunakan kerangka undang-undang itu sendiri untuk memastikan Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1970) tidak disalah guna, jika benar ianya telah disalah guna.

Malah mereka juga sepatutnya mengadakan sesi perbincangan meja bulat dengan kerajaaan untuk memberikan maklum balas ke arah usaha untuk menambah-baik akta tersebut (dan bukannya cuba memansuhkan akta tersebut melalui jalan belakang), jika benar ianya mempunyai cacat-cela.

Sebagai pengamal undang-undang kita berpendapat majlis tersebut tidak perlu bertindak melulu, berpihak dan condong kepada sesetengah kelompok masyarakat dan memilih untuk ‘menjahanamkan’ kelompok masyarakat yang lain hanya kerana kelompok yang lain itu, tidaklah sefaham, seyakin dan mampu bermandiri seperti mereka!

Bukankah kita semua juga yang tidak bersetuju dengan pemansuhan kepada Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1970) dengan apa jua sebab-musabab merupakan stakeholder (malah pelanggan dan bakal pelanggan) kepada Badan Peguam itu sendiri?

Mungkin sudah sampai masanya kita melihat dulu latar belakang peguam-peguam yang kita upah untuk mewakili kita semua. ‘Kedai’ yang sememangnya tidak suka dengan kita dan memilih untuk memerangi nilai-nilai kita, perlu kita boikot secara total. Kita harus belajar melanggan kedai-kedai yang ‘memberi semula’ secara positif kepada masyarakatnya. Seperti tiga belas ahli Badan Peguam yang lantang mempertahankan nilai-nilai kita walaupun diboo hebat majoriti yang lain.

Salah seorang ahli yang memilih untuk menentang usul tersebut ialah saudara Aidil Khalid yang berpandangan bahawa Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1970) adalah selari dengan nilai-nilai Badan Peguam itu sendiri dan Badan itu sepatutnya, daripada mengusulkan supaya akta tersebut dimansuhkan, mencadangkan supaya ianya dibuat penambaikkan kerana adalah menjadi tanggungjawab utama Badan Peguam untuk senantiasa mempertahankan keabsahan Perlembagaan Persekutuan.

Ya, semestinya kita hairan kenapa Badan Peguam seperti tidak mahu mempertahankan nilai-nilai dan etos Perlembagaan Persekutuan, undang-undang tertinggi negara?

Katanya lagi, walaupun Akta Hasutan itu diluluskan ketika pentadbiran British pada tahun 1948, namun ianya telah dipinda selepas berlakunya peristiwa berdarah 13 Mei pada 1969, yang mana peruntukan pada Seksyen 3(1)(f) dimasukkan untuk melindungi Perlembagaan Persekutuan itu sendiri daripada sebarang ‘serangan’ ke atas struktur-struktur asasnya seperti kedudukan bahasa kebangsaan, hak-hak Orang Melayu dan Pribumi Sabah dan Sarawak, kedaulatan Raja-Raja Melayu dan kewarganegaraan bangsa-bangsa lain.

Kita bangga dengan saudara Aidil Khalid kerana peguam muda tersebut memilih untuk mengingatkan supaya Badan Peguam (mudah lupa?) juga melihat kepada Seksyen 3(1)(c) Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1970) yang selari dengan apa yang diperjuangkan oleh Akta Profesion Undang-Undang, yakni untuk melindungi daripada pentadbiran keadilan itu sendiri daripada dihujani dengan kebencian atau penghinaan.

Beliau yang bersetuju dengan pandangan bekas Ketua Hakim Tun Abdul Hamid yang mencadangkan supaya akta tersebut diperkukuhkan dengan beberapa pindaan termasuk pemansuhan kepada peruntukan akta yang melarang sebarang kritikan kepada kerajaan, yang sememangnya melanggar semangat dan prinsip demokrasi.

Cadangan konstruktif sebeginilah yang kita mahu dengar daripada pihak Badan Peguam. Bukannya sebuah Badan yang diketuai Majlis yang kelihatan seperti lebih suka untuk bersekongkol dengan gerakan subversif yang mahu ‘bermilitan’ dengan kerajaan (pada EGM tersebut ada ahli yang  mencadangan untuk berbuat sedemikian dan mungkin pihak polis boleh mendapatkan penjelasan lanjut ahli tersebut ‘akan niatnya’ berkata sedemikian?!) atau memperjuangkan mereka-mereka yang mahu menjatuhkan kerajaan dengan cara selain daripada peti undi setelah kecewa tidak menang pilihanraya.

Kiblat Badan Peguam nampaknya perlu diperbetulkan agaknya?
Majlis tersebut tidak boleh lagi dibiarkan dirampas-curi oleh golongan extremis seperti yang Perdana Menteri kita ucapkan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tempoh hari.

Golongan yang sering menghasut supaya etos Perlembagaan Persekutuan, asas kepada negara kita, dijahanamkan begitu sahaja, hanya kerana ianya tidak selari dengan nafsu mereka. Golongan yang sering berdialog supaya sesetengah daripada kita melanggar undang-undang atas nama hak asasi manusia dan sebagainya hanya kerana mereka tidak dapat mengekang nafsu serakah mereka sendiri.

 Mungkin apabila pulang nanti Perdana Menteri akan mula bekerja untuk membersihkan negara daripada anasir-anasir pelampau, di mana saja mereka bersembunyi. Untuk tip, Perdana Menteri mungkin boleh mulakan kerja ‘pembersihan’ dengan melihat kembali kepada gerakan ‘moderates’ yang ‘ditaja’ pejabatnya.

Mungkin juga pejabat Perdana Menteri boleh mula berdialog dengan saudara Faidhur Rahman Abdul Hadi (dan bertanyakan juga kepadanya mengapa beliau, sebagai pengamal undang-undang mahukan ISA itu dikembalikan?!), seorang lagi peguam yang memilih untuk menongkah arus walaupun diejek dan diboo oleh sekumpulan besar ahli-ahli Badan Peguam (of all places??) kerana memilih untuk tidak bersetuju dengan pandangan ramai.

Beliau berpendapat bahawa Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1970) patut dikekalkan kerana ianya melindungi beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang tidak boleh diubah seperti Perkara 152, Perkara 153, Perkara 160 dan Perkara 181 yang bersangkutan dengan bahasa kebangsaan, hak-hak Orang Melayu dan bangsa pribumi lain dan juga kedudukan Raja-Raja Melayu.

Katanya “Adalah menjadi kerisauan kita semua, apabila retorik-retorik berbaur perkauman dan penghinaan ke atas agama, kebelakangan ini, semakin menjadi-jadi oleh segelintir masyarakat yang jelas cuba mengancam keharmonian kaum seperti yang kita semua cuba pertahankan semenjak 57 tahun kemerdekaan. Melihat kepada pembangunan yang telah kita capai kini, amatlah dirisaukan jika satu lagi rusuhan kaum seperti 13 Mei 1969 tercetus”.

Beliau juga berpendapat bahawa mana-mana pandangan yang mengatakan bahawa Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1970) itu patut dimansuhkan kerana Penal Code (kod jenayah) itu sendiri sudah ada dan telah menjadikan ianya merupakan satu bentuk jenayah untuk menghasut kepada kebencian, namun ianya bukanlah bersifat mencegah seperti Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1970) yang mampu ‘merawatnya sehingga ke akar umbi’.
Masalahnya dengan adanya Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1970) itu juga kita sudah melihat kes-kes menghasut yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

Apa yang lebih membimbangkan dewasa ini ialah terdapat lulusan undang-undang yang memilih untuk menghina ibadah orang Islam di bulan Ramadan supaya berbuka puasa dengan sup tulang babi yang haram dimakan muslim.

Ada juga lulusan undang-undang yang mula mempersoalkan Perkara 153 yang bukan saja melindungi hak-hak orang Melayu dan pribumi yang lain, malah juga melindungi hak-hak bangsa lain, termasuk harta benda datuk nenek mereka sendiri yang diperoleh ketika negara ini ‘ditadbir’ British!

Dalam ramai-ramai orang, kita berpendapat bahawa lulusan undang-undanglah yang akan mendukung dan mempertahankan undang-undang kerana celik undang-undang. Tetapi nampaknya trend yang sebaliknya berlaku. Mungkin ini kes ‘bapa borek, anak rintik’ agaknya. Kes ‘ketam mengajar anaknya berjalan’.

Badan Peguam, bila, jalan, jalan, jalan?

Oleh itu amatlah merisaukan apabila gerakan ‘moderates’ yang kini mula bergerak dengan selangkah lagi, (adakah kita masih beretorik semata?) sudah mula mahu bergerak ke seantaro negara untuk menjengah ke kolej dan universiti, kilang anak-anak muda ‘harapan bangsa’ kita. Nilai-nilai pelampau apakah pula yang mahu mereka cambahkan kepada anak-anak muda kita nanti?

Sememangnya dengan golongan muda yang ramai, Malaysia harus mempersediakan mereka dengan nilai-nilai cintakan negara dan memupuk semangat bertanggungjawab, patuh undang-undang dan cintakan keharmonian sesama kaum. Kita tidak patut membiarkan saja vakum ini diisi oleh mereka-mereka yang bersifat extremis anti perlembagaan.

Kita sememangnya tidak perlu akan seorang lagi Alvin Tan.
Oleh itu kita amatlah bersetuju dengan pandangan yang dilontarkan oleh saudara Faidhur Rahman Abdul Hadi bahawa “Pemansuhan Akta Hasutan bakal membawa akibat buruk ke atas keharmonian kebangsaan dan sejarah semestinya tidak akan memaafkan mereka-mereka yang bertanggunjawab memansuhkannya, jika rusuhan kaum terjadi lagi!”.

Semestinya dengan ketiadaan Akta Dalam Negeri (ISA), sesetengah daripada kita juga memilih untuk menjadi semakin tidak bertamadun. Undang-undang diadakan bukannya untuk menghukum semata-mata namun lebih kepada untuk mencegah daripada suatu jenayah yang tidak diingini itu berlaku. Apa guna jika masyarakat Malaysia makin celik undang-undang tetapi memilih untuk tidak menghormati undang-undang itu sendiri. Apakah susah untuk kita fahami bahawa mematuhi peraturan dan menghormati undang-undang adalah etos manusia yang bertamadun dan bukan sebaliknya!

Ini harus jelas dan diperjelaskan!

Di akhir kalam, kepada mereka-mereka yang sering mendakwa bahawa pendakwaan oleh Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1970) dilakukan secara terpilih, peguam tersebut menegaskan “Semua undang-undang sememangnya digunakan secara terpilih, seperti Penal Code, Akta Dadah Merbahaya 1952 dan lain-lain akta.

Pendakwaan terpilih merupakan satu masalah yang berkaitan dengan penguatkuasaan dan ianya tidak patut menjadi asas kepada kita semua untuk menyerang dan berusaha untuk memansuhkan sebarang undang-undang, waima Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1970) sekalipun.

Pandangan itu juga dikongsi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Paul Low yang berpendapat bahawa jabatan polis dan Pejabat Peguam Negara haruslah dibiarkan menjalankan tugasan mereka secara bebas. Persoalan siapa yang patut didakwa haruslah diputuskan oleh Peguam Negara sendiri.
Senator tersebut juga memilih untuk mempertahankan Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1970) yang dikatakan perlu untuk mempertahankan keamanan dan keharmonian hubungan kaum dalam sebuah masyarakat pelbagai kaum seperti Malaysia.

Paul Low menyedari bahawa sesetengah extremis sedang cuba memporak-perandakan negara dengan agenda jahat masing-masing. Mereka memilih untuk melanggar apa saja nilai, termasuklah undang-undang tertinggi yang didukung rata-rata rakyat negara ini semenjak kita mencapai kemerdekaan.

Masalahnya, menurut Menteri tersebut majoriti daripada kita semua yang bakal terkesan dengan tindakan subversif golongan tersebut, tidak seagresif mereka.

“Some are insecure while others are aggressive. How do you maintain harmony?” tanya bekas presiden Transperancy International Malaysia itu apabila menjawab pertanyaan Ambiga Sreevanesan bekas presiden Majlis Peguam, di sebuah persidangan perundangan yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Beliau juga tidak bersetuju dengan pandangan yang mengatakan bahawa kerajaan sedang berusaha untuk menakut-nakutkan rakyat untuk menghalang mereka daripada mengkritik kerajaan. Tegasnya, keadilan sosial mestilah ditegakkan dan mereka-mereka yang melanggar undang-undang hendaklah dihukum.

“Kita akan menggunakan akta ini untuk mencegah sesiapa saja daripada menghasut kepada keganasan dan kebenciaan dalam masyarakat kita,” tambah beliau lagi.

Kebebasan bersuara bukanlah bermakna kita boleh mengeluarkan apa saja ucapan yang tidak bertanggungjawab dan menyebabkan masyarakat menjadi huru-hara.

“Sebagai contoh, anda tidak boleh berkata mahu menjatuhkan kerajaan dengan keganasan. Ucapan seperti tersebut perlu dikekang supaya mereka yang lain dapat menjalani hidup aman tanpa sebarang gangguan”.

Sememangnya pendirian dan kefahaman yang jelas Menteri tersebut harus dipuji dan disokong. Kita harap buah fikiran baik yang telah dikongsikan oleh beliau dapat diambil Perdana Menteri supaya lebih berkeyakinan untuk mengekalkan Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1970) dan mungkin dibuat pindaan untuk penambahbaikan. Kerajaan tidak harus ketandusan idea untuk menenangi hati rakyat dengan pendekatan populis semata-mata. Jangan sampai ‘Menang Sorak, Kampung Tergadai’!

Paul Low juga terbuka kepada pandangan supaya akta tersebut dibuat pindaan untuk penambahbaikan. Dan semestinya kita semua menyokong sebarang usaha untuk menambah-baik penguatkuasaan akta tersebut demi untuk mengekalkan keamanan dan keharmonian kaum yang telah terbina lama.

Namun seperti juga tiga belas peguam yang diboo pada EGM Majlis Peguam tempoh hari, Paul Low juga dikritik keras terutamannya oleh mereka-mereka yang sedang menghadapi pendakwaan oleh Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1970) dan mereka-mereka yang mempunyai kecenderungan menghasut seperti yang kita boleh baca di portal-portal berita baru-baru ini.

Disebabkan marah apabila seorang Paul Low yang diharapkan mereka untuk menyokong gerakan batil mereka, memilih untuk mempunyai pandangan berbeza, lalu Senator itu dilemparkan dengan pelbagai kata-kata nista oleh mereka-mereka yang kononnya memperjuangkan kebebasan bersuara dan hak asasi sehinggakan seorang ketua menteri yang terkenal membuli memilih untuk melabelkan beliau dengan watak fiksyen Jekyl & Hyde.

Kata Dulang Paku Serpih!

Nampaknya gerakan ‘moderates’ untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1970) semakin kekurangan idea, apabila tidak dapat memberikan rasional bijak kenapa dan mengapa ianya perlu dimansuhkan selain daripada melabel akta tersebut sebagai sebuah legasi kolonial (seperti Badan Peguam itu sendiri) untuk menjustifikasikan kempen mereka.

Persoalannya, kenapakah kumpulan yang sama tidak pula berkempen supaya Badan Peguam itu sendiri dimansuhkan? Bukankah Badan Peguam itu sendiri lebih kuno daripada Akta Hasutan?

Alasan kuno, arkaik dan tinggalan penjajah hanyalah alasan untuk mereka-mereka yang sememangnya tidak senang dengan perkara-perkara yang dilindungi oleh akta tersebut kerana mereka tahu selagi adanya Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1970), selagi itu tidak ada jalan mudah untuk mereka terus-menerus mengkritik dan menimbulkan kebencian ke atas perkara-perkara tersebut.

Mereka tahu kemungkinan untuk didakwa dengan menghasut itu ada dan itu masih menjadi buah kerisauan mereka. Lalu mereka momokkan kononnya akta tersebut tidak jelas atau terlalu luas cakupannya dan ‘it is my words against yours and for the judge to decide’ tanpa perlu membuktikan sama ada seseorang itu berniat menghasut ataupun tidak, lalu ianya tempang!

Jika tempang, apa perlu dipotong kakinya?

Pertamanya kita tahu, melainkan tuan-tuan adalah Saifuddin Abdullah, adalah mustahil untuk kita mengetahui niat seseorang.

Namun kita juga faham apa yang diucapkan oleh seseorang pada suatu ketika di bawah ini bukanlah sebuah jemputan untuk orang ramai turun berpiknik di jalanan atau untuk menghadiri tarian zumba jalanan.

“Ambil butiran saya, buat laporan polis, kerana hari ini, saya nak ajak semua yang ada di sini, kita harus susun dan kita akan turun ke jalan raya untuk rampas kembali kuasa kita! Boleh atau tidak?! Boleh atau tidak?! Boleh atau tidak?! Kita tidak banyak masa lagi, semua sudah siap sedia, beli kasut, beli tracksuit, beli seluar jeans, sedia kita akan turun ke jalan raya sebab akhirnya dalam dunia ketiga macam negara Malaysia, pilihan raya takkan tumbangkan kerajaan kita. Yang boleh tumbangkan kerajaan hanyalah kuasa rakyat. Saudara ingat, ini sahaja peluang yang kita ada...”

Betul?

Kedua, bukankah dalam mana-mana kes mahkamah sekalipun, ‘it is my words against yours and for the judge to decide’?

Kita sememangnya telah muak dengan alasan-alasan dangkal yang cuba diberikan gerakan-gerakan ini. Benarlah kata menteri besar Kedah, Mukhriz Tun Mahathir bahawa, mereka-mereka yang mahu Akta Hasutan 1948 dimansuhkan perlu membuktikan dulu, kenapa ianya perlu dilakukan?
Dan kita semua sememangnya masih menunggu?

0 comments:

Post a Comment

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.