Wednesday, 29 October 2014

Melayu & Islam Dibuli Bertubi-Tubi?

Oleh : Megat Rizal MH

Sedari zaman penjajahan British orang-orang Melayu telah dipinggirkan secara sistematik melalui pelan afirmatif yang dilaksanakan oleh Inggeris untuk kekal ‘beraja di mata’ masyarakat tempatan. Prof. Dr Kamaruddin Mohd Said dalam karangannya yang bertajuk ‘Hubungan Kaum dan Gelagat Politik Di Malaysia: Isu Lama, Cabaran Baru’ menulis ‘Orang Melayu berada di pinggiran sektor ekonomi aliran utama selama 73 tahun (1874-1957). 

Sebagai komuniti terpinggir, orang Melayu tidak mendapat pendidikan moden (dasar yang dibuat oleh R.O. Winstedt) dan tersisih daripada proses pemodenan yang lebih luas.’

Dalam karangan yang sama beliau menulis bagaimana seorang kerabat raja yang dinafikan haknya, dibuli oleh Inggeris dan tauke-tauke hanya kerana laba perniagaan semata-mata. Beliau menulis dengan panjang lebar akan hal ini dalam perenggan-perenggan berikut:

           ‘Pada tahun 1874, golongan tauke China (Tan Kim Cheng dan Chung Keng Quee) yang terlibat dengan kongsi gelap Ghee Hin dan Haisan, telah mengaturkan supaya Perjanjian Pangkor ditandatangani. Mereka telah mengatur strategi supaya Raja Ismail dilucutkan kuasa sebagai Sultan Perak, dan Raja Abdullah ditabalkan menjadi Sultan sebagai gantinya. Pelan ini telah dipersetujui oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat, Sir Andrew Clarke. Maka dengan itu bermulalah era penjajahan Inggeris yang didalangi oleh golongan taukey China terhadap Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang (dikenali sebagai Negeri-Negeri Melayu Bersekutu yang masih diperintah oleh Raja-Raja Melayu atas “nasihat” Residen Inggeris). Singapura, Pulau Pinang dan Melaka telahpun dikuasai oleh Inggeris, dan dikenali sebagai Negeri-Negeri Selat.’

‘Sejak Perjanjian Pangkor, pemodal Inggeris dengan kerjasama tauke China menguasai bidang tanah yang luas yang kaya dengan hasil bijih timah dan sesuai dijadikan ladang getah. Pemodal Kolonial dan taukey China membangunkan pelbagai industri dan perdagangan di seluruh Tanah Melayu (Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu masih milik Thailand, dan hanya diserahkan kepada kekuasaan Inggeris pada 1909).’

           ‘Orang Melayu yang dipinggirkan oleh sektor ekonomi moden ini tinggal di kawasan tanah rezab Melayu, dan tanah yang tidak diduduki oleh orang Melayu adalah bebas untuk dijadikan tanah lombong, ladang dan sebagainya oleh pemodal kolonial dan taukey China.’
          
           Hal yang sama juga disentuh oleh Puan Zaharah Sulaiman seorang penulis dan pengkaji sejarah daripada Persatuan Arkeologi Malaysia yang bercakap tentang bagaimana pemodal-pemodal kolonial dan tauke-tauke, bebas untuk memiliki tanah-tanah dan perniagaan tanpa kawalan. Beliau juga ada bercerita tentang bagaimana orang-orang Melayu yang sering digambarkan sebagai lanun dan perompak (perkara yang sama masih kedengaran di Malaysia baru-baru ini) oleh ketuanan Cina kerajaan Singapura seperti apa yang dapat dilihat sehingga kini di Muzium Singapura.

Kata beliau seperti yang dipetik daripada portal ismaweb.net, “Kalau kita pergi ke muzium Singapura, pertama kali kita melangkah, apa yang dipamerkan di depan ruang bangunan ‘Melayu lanun, Melayu perompak’. Gambar dan video ini diulang tayang dan dipamerkan berpuluh tahun sehingga sekarang, itulah imej yang digambarkan Singapura kepada setiap pengunjung muzium itu untuk meracuni pemikiran rakyat dan pelancong.”

Beliau juga pernah menyentuh berkenaan rekod tanah-tanah yang dipindah milik kepada tauke-tauke oleh British secara ‘kurang telus’ dalam salah satu daripada ceramahnya yang lepas. Beliau menunjukkan slaid berkenaan dengan butiran tanah, nama tauke dan harga tanah tersebut ‘diurusniagakan’.

Tentunya kita masih ingat bagaimana beliau dihina dan dilabel dengan pelbagai kata-kata nista oleh puak-puak cauvinis anti perlembagaan, hanya kerana memperjelaskan konsep ‘nam tien’ kepada umum.

Baru-baru ini pula di portal yang sama, ismaweb.net, seorang penulis iaitu Mohd Zul Fahmi Md Bahrudin telah menukilkan satu artikel yang bertajuk ‘Siapa buli siapa?’ yang melontarkan idea bahawa sejarah negara telah membuktikan bahawa orang-orang Melayu tidak pernah menindas orang-orang bukan Melayu seperti yang sering dituduh sesetengah pihak. Malah katanya lagi perkara yang sebaliknya telah berlaku.

Dalam artikel tersebut beliau mendakwa British telah membawa masuk kaum pendatang sesuka hati tanpa sebarang kawalan. Malah British juga seperti merestui sikap antagonistik kaum pendatang terhadap orang-orang Melayu dengan ‘menubuhkan pasukan bersenjata mereka sendiri untuk ‘mempertahankan diri’ daripada orang Melayu. Pasukan bersenjata ini tidak lain tidak bukan ialah ahli-ahli kongsi gelap yang diberi lesen oleh British untuk berbuat sesuka hati mereka, termasuklah melakukan keganasan, rompakan dan ugutan kepada orang Melayu.’

Tentunya kita masih ingat akan amaran yang dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri dan juga Ketua Polis kepada Ketua Menteri Pulau Pinang berkenaan dengan Pasukan Peronda Sukarela (PPS) yang dikatakan ditubuhkan dengan membelakangi undang-undang negara yang menyaksikan ratusan ahli sukarelawan PPS ditahan untuk disoal siasat.

Berbalik kepada artikel ‘Siapa buli siapa?’, penulis tersebut mendakwa di atas sikap tidak bertanggungjawab British itu ‘pada tahun 1931, bilangan orang Cina dan India adalah hampir 2.6 juta orang manakala orang Melayu hanyalah 2.0 juta orang sahaja. Keadaan semakin meruncing sepuluh tahun berikutnya apabila orang Melayu hanya 2.3 juta manakala orang Cina dan India ialah sebanyak 3.0 juta orang.’

Jadi adalah molek juga kiranya jika kita mengulang tanya persoalan yang telah dikemukan oleh penulis tersebut, yang juga merupakan penganalisis sejarah dan perlembagaan Malaysia untuk Institut Kajian Arus Baru, ‘Persoalannya, siapa yang sebenarnya dibuli dan siapa yang sebenarnya sedang membuli?’

Nancy Shukri DiBuli?
Untuk menjawab pertanyaan tersebut elok juga kita menjengah kepada ‘musibah’ yang melanda Hajah Nancy Shukri, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang dibuli selama lebih dua minggu setelah memberikan jawapan di Parlimen bahawa kerajaan memutuskan untuk tidak mendakwa Ibrahim Ali kerana beliau hanya mempertahankan kesucian Islam seperti yang termaktub pada Perlembagaan Persekutuan berkenaan dengan ‘isu bakar bible’.

Rentetan daripada peristiwa itu Nancy Shukri, Menteri berportfolio undang-undang itu difitnah dengan segala macam label sehinggakan ada yang menggelar beliau sebagai salah seorang daripada ahli Perkasa malah ada juga yang menuduhnya sebagai klon Ibrahim Ali, walaupun beliau hanya membaca keputusan yang telah dibuat oleh pejabat Peguam Negara dan berkali-berkali menyatakan bahawa pandangan tersebut bukanlah pandangan peribadi beliau. Namun akibat daripada tidak berpuas hati dengan kenyataannya itu, beliau terus dibuli dari dalam dan juga luar negara.

Clive Kessler yang terkenal dengan sikap anti Melayu dan Islam, contohnya tidak menunggu masa lama untuk mempersoalkan kredibiliti beliau sebagai seorang ‘de facto law Minister’, hanya kerana beliau memilih untuk tidak mencampuri urusan pejabat Peguam Negara! Kata-kata pembenci alam Melayu dan Islam itu sebenarnya mendapat dukungan daripada ramai dari dalam negara yang menangguk di air keruh.

Gara-gara sikap berkecuali Nancy Shukri yang dilihat oleh pembuli-pembuli beliau sebagai tidak lebih daripada seorang ‘postman’, beliau disarankan untuk terus meletak jawatan!

Persoalannya, bukankah golongan inilah juga yang sebenarnya sering menuduh kerajaan tidak mengamalkan pengasingan di antara kuasa Esekutif, Legislatif dan Kehakiman, sehingga ada yang membawa isu tersebut ke Australia baru-baru ini?

Jadi kenapakah apabila kerajaan memilih untuk mengamalkan pengasingan kuasa dan tidak mencampuri urusan pejabat Peguam Negara, mereka yang pertama sekali mengkritik dan mencemuh kerajaan?

Terbaru dilaporkan oleh sebuah portal bahawa sebuah parti politik cauvinis akan terus ‘membuli’ Menteri tersebut berkenaan dengan isu Ibrahim Ali sehinggalah mereka mendapat jawapan yang memuaskan. Dengan kempen masuk kampung mereka untuk ‘menakluk’ Sarawak, nampaknya Nancy Shukri, Ahli Parlimen Batang Saadong, kena terus-menerus bersabar dan tebal telinga kerana dijangka pembulian ke atasnya tidak akan berhenti begitu saja!

Ketua Bahagian UMNO Dibuli?
Hal yang sama juga dapat kita lihat berlaku ke atas timbalan ketua bahagian UMNO Petaling Jaya Utara Mohamad Azli Mohemed Saad apabila beliau mengatakan mahu membincangkan isu untuk memansuhkan sekolah-sekolah vernakular pada perhimpunan Agung UMNO yang bakal diadakan kelak.

Seorang demi seorang tampil mengkritik beliau sehinggakan ada yang mahu beliau didakwa dibawah Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1970) dengan membuat beberapa siri laporan polis kerana menuduh beliau telah melanggar undang-undang apabila mempersoalkan isu berkaitan dengan sekolah-sekolah vernakular.

Tentunya kita sedar bahawa puak-puak cauvinis inilah juga yang kononnya memperjuangkan supaya Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1970) dimansuhkan. Sudah terang lagi bersuluh hipokrasi yang mereka tunjukkan!

Walaupun telah ada pengamal undang-undang yang menerangkan dengan panjang lebar bahawa perbuatan Mohamad Azmi tidak langsung menghasut mengikut peruntukan yang terdapat pada Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1970) malah sangat bersifat kebangsaan kerana mendukung Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, masih ada lagi yang mahu beliau ‘didiamkan’ dengan memaksa pihak Peguam Negara untuk mengambil tindakan keras ke atas beliau.

Paku dulang paku serpih, bagi puak-puak cauvinis sememangnya mengata orang, mereka yang lebih!

Perkara inilah yang menyebabkan orang-orang Melayu yang berterusan diasak mula mempersoalkan keistimewaan yang dinikmati oleh orang-orang bukan Melayu seperti sekolah-sekolah vernakular, kata Ibrahim Ali. Menurut Presiden Perkasa itu lagi cakap-cakap seperti mahu memansuhkan sekolah-sekolah vernakular, yang mendapat dana ratusan juta setahun daripada kerajaan Persekutuan dan lain-lain badan, lahir daripada sikap orang-orang bukan Melayu sendiri yang sering suka mempersoalkan hak-hak orang-orang Melayu dan lain-lain pribumi.

"Cadangan ini timbul kerana selama ini mereka merasakan sebagai orang Melayu, perkara yang dijamin Perlembagaan diusik kaum lain. Selama ini, Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu, kedaulatan raja dan hak istimewa orang Melayu sentiasa dicabar oleh pihak tertentu sedangkan perkara ini ada dalam Perlembagaan," katanya kepada sebuah portal tempatan baru-baru ini.

Ibrahim Ali Dibuli?
Ibrahim Ali patut tahu, kerana beliau dan pertubuhannya itu sering dibuli dengan beragam label yang menghina dan memalukan oleh mereka-mereka yang tidak senang dengan apa yang diperjuangkan. Acapkali juga kita lihat, badan seperti Perkasa yang sebenarnya memperjuangkan hak-hak kaum pribumi seperti yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, sering dilabel sebagai pertubuhan rasis dan ektremis.

Ibrahim Ali sendiri sering dilabelkan sebagai seorang yang berpandangan ekstrem perkauman walaupun perjuangan beliau sangat bersifat nasionalis dan tidak lebih daripada meletakkan hak kepada tempatnya.

Tentunya kita masih ingat akan nasib sekolah-sekolah vernakular Melayu yang dimansuhkan untuk dijadikan sekolah umum dan memberikan hak untuk mendapatkan pendidikan kaum bukan Melayu. Ini jelas membuktikan bahawa orang-orang Melayu sememangnya sangat pemurah dan sanggup berkongsi sesuatu yang merupakan hak mutlak mereka.

Hal yang sama juga boleh kita lihat apabila orang-orang Melayu dan Raja-Raja Melayu bersetuju untuk menganugerahkan berjuta-juta kewarnegaraan kepada golongan pendatang dan keturunan mereka secara Jus Soli.

Sehingga kini kita lihat orang-orang Melayu sentiasa diasak untuk berkompromi dengan kaum-kaum lain sehingga sering kali diminta menidakkan tradisi budaya mereka seperti tradisi membaca doa dan juga upacara ibadah korban yang telah diamalkan secara turun-temurun.

Namun kenapakah agaknya masih terdapat suara-suara sumbang yang sering mahu mempersoalkan kedudukan istimewa orang Melayu yang sememangnya hak, seperti yang dibangkitkan oleh Ibrahim Ali?

Jadi jika sesuatu yang hak boleh dipersoalkan atas nama kesatuan dan penyatuan kaum, kenapakah pula sesuatu yang bukannya hak, seperti sekolah-sekolah vernakular, tidak boleh dipersoalkan atau ditarik balik?

Apa lagi yang mereka mahu, sebenarnya?

Presiden UMNO Dibuli?
Itu juga yang patut ditanyakan oleh Perdana Menteri yang dibuli kiri dan kanan apabila mengesa supaya kaum tertentu supaya membalas jasa kerajaan dengan menyokong dan mengundi kerajaan Barisan Nasional untuk terus menikmati bantuan daripada kerajaan.

Kata Najib Tun Razak, mereka-mereka itu tidak boleh berterusan mengharapkan kerajaan membantu mereka, meminta itu dan ini, tetapi pada masa yang sama memilih untuk mengundi pembangkang atau parti yang bertentangan dengan aspirasi yang dibawa kerajaan.

“Saya hendak lakukan lebih lagi, mungkin satu hari nanti saya mampu buat lebih lagi. Tetapi saya juga perlukan masyarakat Cina untuk menyokong BN. Adillah. Kamu kena mainkan peranan kamu juga.

“Kamu tak bolehlah buat tuntutan (dari BN) tapi kemudiannya sokong DAP. Buat tuntutan, kemudian sokong PR. Kamu minta (dari BN), kamu sokonglah BN, kita akan berlaku adil kepada masyarakat Cina,” kata Najib Tun Razak sebagaimana dipetik sebuah portal.


Ini bukanlah kali pertama Najib dibuli disebabkan oleh sesuatu yang disuarakannya. Perdana Menteri yang lebih mesra dikenali sebagai Ah Jib Gor dikalangan kaum-kaum Cina pernah dimalukan oleh seorang ahli parti politik lawan, dan disuapkan kangkung ke mulut ‘peran’ yang kelihatan seperti beliau apabila pernah menyuarakan bahawa harga kangkung sudah turun walaupun negara mengalami sedikit kemelut ekonomi.

Isteri Perdana Menteri Dibuli?
Pembulian kepada Perdana Menteri tidak terhenti disitu, malah berjangkit kepada isteri beliau sendiri. Datin Seri Rosmah Mansor juga sering dibuli walaupun beliau bukan seorang ahli politik atau pemimpin kerajaan. Wanita ini sering dicemuh daripada segi beliau berpakaian sehinggalah kepada berat badan beliau sendiri. Pendek kata apa saja yang dapat menjadi bahan berita atau lawak jenaka sesetengah pihak, susuk Rosmah Mansor akan terpalit kena.

Tentunya kita masih ingat bahawa beliau pernah difitnah hebat dengan menggunakan kepala akhbar Utusan Malaysia berkenaan dengan cincin permata berharga jutaan ringgit yang dikatakan dibeli daripada hasil tabungan beliau sedari kecil. Fitnah tersebut memaksa Jabatan Pengarang akhbar terbabit untuk melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis. Perlakuan tidak bertanggungjawab golongan tersebut sehingga ke hari ini masih berterusan.

Kemuncak kepada pembulian tersebut ialah apabila ada sesetengah pihak telah menuduh bahawa Datin Seri Rosmah Mansor mendapat durian runtuh dengan bajet yang luar biasa besar diberikan untuk program PERMATA yang dilihat sebagai program peribadi beliau. Fitnah tersebut membuatkan Menteri Kewangan II, Ahmad Maslan terpaksa menegaskan bahawa Rosmah Mansor tidak akan mendapat sesen pun daripada bajet RM711 juta yang akan disalurkan kepada PERMATA kelak.

Semalam diberitakan bahawa Rosmah Mansor mendedahkan bahawa dia sering menjadi mangsa buli dan fitnah pembangkang kerana mereka gagal berbuat demikian kepada suaminya, Perdana Menteri Najib Tun Razak.

"Pembangkang objektifnya adalah mahu menjatuhkan kerajaan. Sebab mereka tidak boleh kata Najib, jadi mereka kata saya," katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Wanita Desa Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2014.

Bekas Melayu DAP Dibuli?
Itulah juga isu yang telah dibawa oleh bekas pemimpin pembangkang Tunku Abdul Aziz kepada seorang pemimpin cauvinis supaya tidak berterusan membuli orang-orang Melayu Islam. Bekas pemimpin yang pernah dilabelkan sebagai ‘towering Malay’ itu menegur Ketua Menteri Pulau Pinang supaya ‘to leave the Malays and their religion well alone’!

Beliau yang pernah dibuli bakal diambil tindakan undang-undang jika terus-menerus mengkritik parti politik cauvinis yang pernah dianggotainya itu, sememangnya telah bertegas bahawa beliau tidak akan mengalah dengan taktik buli berserta dengan ugutan saman yang telah dilemparkan kepada beliau!

Melayu PAS Dibuli?
Namun lain pula yang menimpa saudara Iszuree Ibrahim apabila beliau dilucutkan daripada jawatannya sebagai salah seorang daripada Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang apabila dikatakan mengkritik kerajaan negeri tersebut kerana meminggirkan nasib perkampungan tradisi orang-orang Melayu seperti yang pernah dilaporkan oleh portal media ismaweb.net, “Kerajaan negeri Pulau Pinang yang sebelum ini memperjuangkan prinsip kebebasan bersuara dilihat membelakangkan prinsip itu apabila mengeluarkan Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Iszuree Ibrahim daripada semua Jawatankuasa Tetap MPPP dan membekukan semua peruntukannya. Tindakan kerajaan negeri itu berikutan ucapan dasar Iszuree pada Muktamar Tahunan PAS ke-60 berlangsung di Batu Pahat, Johor baru-baru ini yang menegur kerajaan negeri berhubung isu dasar perumahan.”

Persoalannya adakah benar dakwaan bahawa ahli PAS tersebut telah dilucutkan jawatannya kerana memperjuangkan nasib orang-orang Melayu sebuah kampung di Tanjong Tokong?

Parti Islam Dibuli?
Adakah benar seperti yang didakwa oleh Nik Abduh Nik Aziz sendiri, bahawa parti PAS sering dibuli oleh rakan-rakan dalam pakatan sendiri?

Adakah saman yang dikenakan kepada Nasruddin Hassan, bekas Ketua Pemuda PAS kerana mengkritik projek terowong laut, merupakan satu bentuk buli seperti yang digambarkan oleh Nik Abduh, anak kepada Mursyidul Am PAS, Nik Aziz Nik Mat?

Mungkin itulah juga perasaan yang dirasakan oleh Dr. Zuhdi Marzuki apabila dilabel dengan pelbagai label jahat seperti perkauman dan sebagainya di media sosial, hanya kerana perbincangan strategi politik yang diadakan secara tertutup dibongkarkan oleh mereka-mereka yang tidak bertanggungjawab.

Perihal dibuli lawan dan kawan seperti yang berlaku ke atas PAS bukanlah satu perkara yang asing kepada UMNO.

Tentunya kita masih ingat pada tahun 2008 akhbar Utusan Malaysia pernah melaporkan bahawa Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Norza Zakaria berkata, gesaan tidak munasabah parti-parti komponen mereka menunjukkan kedangkalan pemikiran pemimpin pergerakan tersebut. Beliau mengesa supaya gesaan pergerakan tersebut tidak perlu diberikan perhatian.

UMNO Dibuli Taraf Biawak Hidup?
''Ini merupakan contoh parti komponen yang mahu membuli UMNO terutama selepas pilihan raya 8 Mac lalu," jelasnya.

Baru-baru ini pula seorang lagi ahli parti komponen UMNO dilihat membuli parti tersebut lagi apabila melabel orang-orang Melayu, termasuk Raja-Raja Melayu tentunya, sebagai pendatang. Pandangan dangkal dan bodoh ini walaupun didiamkan saja oleh Presiden UMNO dan juga Ketua Pemuda UMNO dicabar oleh beberapa cendiakawan Melayu.

 "Jika beliau merujuk orang Melayu yang duduk di Malaysia sekarang ini datang dari Sumatera, Kepulauan Sulawesi, Kepulauan Borneo, maka dalam sejarah ia tidak dipanggil bangsa pendatang. Orang Melayu yang berhijrah dari kawasan tadi, kita gunakan istilah sebagai perantau," katanya di portal ismaweb.net baru-baru ini.


"Sebabnya, bila kita sebut Tanah Melayu, ia bukan merujuk kepada Malaysia sahaja, Tanah Melayu adalah satu wilayah cukup luas yang bermula dari Champa, sekarang ini dikenali sebagai Vietnam, Thailand, Singapura sehingga ke Riau Lingga.

"Kemudian di sebelah barat, Sumatera keseluruhannya, turun lagi ke bawah Kepulauan Jawa, kemudian naik semula ke atas Kepulauan Sulawesi, Borneo dan Filipina."

Pandangan itu disokong oleh Dekan Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh.
Beliau berkata, “Pakar arkeologi tempatan menolak teori Barat yang mengatakan asal-usul orang Melayu daripada Yunnan, wilayah selatan China, sebaliknya mereka merupakan penduduk asal Alam Melayu itu sendiri yang wujud sejak 74,000 tahun Sebelum Masihi (SM)”.

Mohd Firdaus Salleh Hudin pengarang di ismaweb.net semalam berkomentari tentang sejarah pendatang Cina dan India yang ditulis oleh Prof. Emeritus Tan Sri Datuk Dr. Khoo Kay Khim sendiri. Tokoh sejarahwan negara itu antara lain menulis, seperti yang dipetik daripada ismaweb.net “Pada abad ke-18, pelombong-pelombong Cina telah dibawa masuk oleh kuasa Belanda untuk mengerjakan lombong di negeri-negeri Melayu barat. Akan tetapi pelombong-pelombong itu tidak bermastautin lama di Tanah Melayu. Peringkat seterusnya berlaku pada pertengahan abad ke-19 semasa pembukaan lombong-lombong di kawasan Larut, Klang dan Sungai Ujung. Pembukaan Pulau Pinang dan Singapura sebagai pelabuhan antarabangsa juga menarik minat kedatangan orang Cina.”

Namun nampaknya kenyataan tersebut tidak disenangi anak kepada Khoo Kay Khim sendiri yang melabel pengarang ismaweb.net tersebut sebagai, seperti yang dipetik sebuah portal tempatan, “tidak penuh memahami tulisan tersebut, atau mungkin langsung tidak membaca tulisan tersebut tapi hanya memetik berasas cebisan atau khabar angin. Itu sebenarnya dipanggil bacaan "separuh celik huruf" dan hasil tulisan yang diterbitkan atas bacaan "separuh celik huruf" boleh dianggap sebagai tullisan yang kurang punyai maruah.”

Label buli seperti bodoh, lembab, kekampungan, keterbelakang dan malas, sememangnya sering diguna-tebus mereka-mereka yang tidak senang dengan orang-orang Melayu yang berani bersuara. Label-label buli ini akan kedengaran apabila mereka tidak dapat berhujah dengan lebih baik dan jitu, lalu label-label buli sedemikian akan digunakan. Mitos Melayu malas yang dimulakan penjajah British untuk menghalalkan penjarahan kekayaan negara sememangnya sudah diketahui umum.

Apa mungkin bangsa Melayu, pembina empayar maritim yang menjangkau se-Asia Tenggara, penakluk ‘benua laut’ dengan jong-jong gah, pelahir ahli falsafah dan pemikir hebat biara Nalanda seperti Dharmakirti, dan pewaris kesatria raja segala raja, boleh duduk saja dengan alpa dan mencapai itu semua? Namun itu tidak menghalang kumpulan pembuli daripada menggunakan label-label buli tersebut untuk menghalalkan kerja jahat mereka.
Apabila kalah pilihanraya mereka akan menggunakan label kampung dan pemikiran keterbelakang kepada golongan yang tidak mengundi mereka. Apabila perkara yang mereka lakukan tidak mendapat sokongan masyarakat umum mereka akan melabel umum sebagai malas berfikir.

Alasan malas jugalah yang digunakan untuk memperlekehkan pandangan Datuk Abdul Shukur Idrus, yang mengkritik kaum tertentu berkenaan dengan sokongan merosot terhadap Barisan Nasional. Seorang penganalis cauvinis dipetik sebuah portal sebagai berkata Timbalan Pengerusi UMNO Selangor itu sebagai “ahli-ahli politik yang malas yang tidak mahu berfikir secara mendalam mengapa sokongan mereka berkurangan”.

Bentuk buli seperti itulah juga yang dihadapi oleh mereka-mereka yang memilih untuk mempertahankan Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1970) yang sememangnya melindungi beberapa perkara sensitif yang sering menjadi modal puak-puak yang suka menghasut. Puak-puak ini jelas sanggup berbuat apa saja daripada memfitnah sehinggalah kepada menipu fakta sejarah sekalipun.

“Apabila terdapat segelintir Melayu yang masih berani bersuara mempertahankan hak, mereka dilabelkan “racist” (perkauman), manakala yang mempertahankan Islam dicap “extremist” (pelampau)”, keluh tokoh wartawan negara, A. Kadir Jasin yang tidak senang dengan sikap dwi standard yang diamalkan puak-puak pembuli.

Penyokong Undang-Undang Negara Dibuli?
Malah ianya tidak terhenti disitu. Bentuk pembulian yang dihadapi oleh mereka-mereka yang mahu mengekalkan Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1970) bukan saja berlaku di dalam negara semata-mata seperti yang dirasakan oleh pengamal undang-undang Faidhur Rahman Abdul Hadi yang diboo semasa satu majlis Badan Peguam baru-baru ini, malah ianya juga boleh dilihat datang daripada luar.

Ini boleh dilihat apabila kedutaan Amerika Syarikat memilih untuk mencampuri urusan dalaman Malaysia dengan menjahanamkan saja kedaulatan negara ini apabila mendesak supaya kerajaan Malaysia membelakangkan kehendak rakyatnya dan memansuhkan Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1970).

Hal yang sama juga dibuat oleh beberapa organisasi luar lain seperti International Commission of Jurists dan juga Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang mahukan segala bentuk pendakwaan berkaitan dengan akta tersebut digugurkan serta-merta. Golongan penghasut yang melanggar undang-undang negara dilabel sebagai pejuang hak asasi manusia dan diberi suaka politik.

PBB tidak berhenti di situ, malah pertubuhan antarabangsa tersebut telah memanggil Malaysia untuk menjawab isu berkenaan dengan dakwaan diskriminasi terhadap golongan LGBT seperti yang dimomokkan oleh COMANGO?

Tanpa mengambil kira kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan, PBB memilih untuk memaksa Malaysia tunduk kepada desakan songsang puak-puak LGBT.

Jadi tidak hairanlah apabila seorang kolumnis luar baru-baru memilih untuk memperkecilkan kebolehan Malaysia hanya kerana tidak senang dengan tindakan afirmatif yang telah diamalkan oleh kerajaan yang telah berjaya memakmurkan kek kekayaan negara seperti yang dapat dinikmati ramai dewasa ini. Negara dituduh akan gagal berinovatif dan maju ke depan jika terus mengekalkan polisi afirmatif untuk mempertingkat daya saing mobiliti sosial merentas kelas yang telah berjaya mengurangkan kadar kemiskinan tegar dan melonjakkan ekonomi negara sehinggalah rantau asia tenggara diganggu-gugat spekulator mata wang. Negara juga kononnya digambarkan telah melangkah ke belakang berbanding dengan Indonesia.

Sememangnya kita sedar bahawa bentuk pembulian seperti yang diperjelaskan di atas tidak akan berhenti semudah itu saja. Puak-puak pembuli, dari dalam dan luar negara akan terus membuli orang-orang Melayu dan agama Islam selagi hati mereka tidak senang dengan apa yang kita miliki.

Mungkin sekali lagi kita perlu bertanya kepada mereka, apa lagi yang anda semua mahu sebenarnya?

Apakah Mereka Peduli?



6 comments:

  1. Ya. Sampai bila Melayu nak kena buli?

    Selagi Melayu dipimpin pemimpin pengecut, tembolok besar, takak jatidiri, kurang kekuatan roh agama, maka selagi tu la Melayu dok kena buli.

    ReplyDelete
  2. Ben, sebenaqnya yg. BERSALAH ialah pemipin-pemimpin Islam/Melayu-LIBERAL-PENGKHIANAT/PENAKUT! Mereka sibuk dgn. mengayakan anak-beranak depa, serta hidup cara Barat. Mereka juga sering diPUJI termasuk dgn.pelbagai atau diGERTAK sini sana terutamanya oleh dunia Barat-ZIONIS terutamanya melalui senjatanya spt. UN/Pertubuhan Negara Komanwel/ICC-ICJ dsbnya, supaya dpt. dipergunakan dgn. sewenangnya sebagai ejen MUSUH ISLAM/Melayu!

    Lihatlah sampaikan rejim koloni S'pura-DAJAL boleh MENGHINA BUMIPUTERA Islam/Melayu dgn. imej "lanun" di Muzium mereka, tapi rejim ini asyik dilayan dgn. “dulang emas”, bahkan kita telah hilang Batu Putih dan mungkin hilang Batu Pisang - tanpa sebarang BANTAHAN RASMI lansung! Bahkan ramai kaum PERNDATANG RASIS S'pura boleh membeli TANAH PUSAKA nenek moyang kita di lebihan TANAH MELAYU ini, dgn. sewenangnya, sedangakan BUMIPUTERA Islam/Melayu hanya miliki 20% dari Tanah Melayu kita ini – tapi di mana suara LANTANG pemimpin UMNO?!
    Lihat di - http://www.ismaweb.net/2014/10/hanya-20-peratus-tanah-di-semenanjung-dimiliki-oleh-melayu/ , Hanya 20 peratus tanah di semenanjung dimiliki oleh Melayu, October 26, 2014:

    KUALA LUMPUR, 26 Okt – Menurut sebuah kajian, tanah-tanah yang dimiliki oleh orang Melayu di Semenanjung secara keseluruhannya hanya 20%, manakala 80% lagi dimiliki oleh orang bukan Melayu.

    Mantan Ketua Setiausaha Kementerian Tanah dan Koperasi Prof Datuk Dr Nik Mohd Zain Yusof berkata, kajian lain pula mengatakan daripada 32 juta ekar tanah di semenanjung, hanya 11% sahaja berstatus Tanah Rizab Melayu, iaitu bersamaan 8 juta ekar sahaja.

    Selain itu, satu kajian lain mendapati di Pulau Pinang hari ini tidak lagi wujud Tanah Rizab Melayu.

    Beliau berkata demikian kepada lebih 300 hadirin di Wacana dan Forum Isu Tanah Rizab Melayu petang ini di Dewan ISTAC, Persiaran Duta Kuala Lumpur.

    Tambahnya, dapatan kajian tersebut amat membimbangkan kita selaku orang Melayu di tanah air sendiri......

    (Teruskan membaca.....)

    Makcik Sambal Belacan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kita dikhianati mrk2 yg kita angkat sbg pemimpin. Habis semuanya digadai.

      Maruah bangsa pun dibuat2 pejam mata bila diperkotak-katikkan..

      Makcik.. nak buat mcm mana lagi kecuali kita bangkitkan semangat semua utk mengajar kepimpinan yang sombong dikedua2 pihak ini dengan erti setia dan berpegang kepada maruah agama dan bangsa.

      Delete
  3. Setuju dengan MSB!

    Saya cadangkan supaya Perkasa dan lain-lain NGO yang cintakan bangsa, agama dan negara saman kerajaan di Mahkamah Persekutuan kerana gagal mempertahankan tanah rizab Melayu sebanyak 50% seperti yang diwasiatkan oleh Raja-Raja Melayu.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kena mula dari sekarang.. elakkan dari terus beretorik.. mulakan kes dan kumpul bukti dan pasukan.. kami percaya, ramai umat Melayu akan sokong dengan tindakan ini.

      Delete

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.