Monday, 13 October 2014

Isu Ulil Abshar: Desak kaji kedudukan Saifuddin

KUALA LUMPUR 12 Okt. - Kerajaan didesak supaya mengkaji semula kedudukan Datuk Saifuddin Abdullah sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) berikutan dikaitkan dengan diskusi membabitkan seorang aktivis Islam liberal dari Indonesia.

Bekas Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Datuk Zulkifli Noordin (gambar) berkata, ini ekoran aliran pemikiran, sikap dan tindakan Saifuddin yang dilihat sangat tidak sesuai, malah bercanggah dengan aspirasi dan gagasan wasatiyyah yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Malah katanya, langkah Kementerian Dalam Negeri mengarahkan Jabatan Imigresen supaya menghalang kemasukan aktivis tersebut, Dr. Ulil Abshar Abdalla daripada memasuki negara amat dipuji.

"Saya mengucapkan tahniah dan memberi sokongan penuh kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menghalang aktivis sesat, Ulil Abshar daripada memasuki Malaysia.

"Ini adalah satu tindakan proaktif yang saya percaya sangat dialu-alukan rakyat yang cintakan keamanan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan arahan tidak membenarkan tokoh liberal melampau dari Indonesia itu memasuki Malaysia bagi menghadiri satu diskusi meja bulat bertajuk 'Tantangan Fundamentalisme Agama Abad Ini' anjuran bersama Islamic Renaissance Front dan Yayasan GMM di ibu negara pada 18 Oktober ini.

Dalam pada itu, Zulkifli turut mendesak pihak berkuasa agar mengambil tindakan tegas terhadap individu dan pertubuhan yang terlibat dengan penganjuran aktiviti sesat tanpa mengira siapa atau kedudukan mereka.

Tambah beliau, fahaman sesat liberalisme agama dan pluralisme akidah adalah lebih bahaya daripada kumpulan seperti Al-Arqam kerana bersifat global serta mempunyai rangkaian antarabangsa yang jika dibiarkan boleh merosakkan kesucian Islam dan keharmonian antara agama.

"Kegiatan seperti ini mesti dibendung dari akar umbinya supaya tidak terus bercambah dan merosakkan keharmonian agama.
"Kita melihat ketegasan pihak berkuasa terhadap kumpulan Al-Arqam yang dirungkai sampai ke akar umbi menyebabkan kumpulan itu tidak boleh bernyawa lagi," tegasnya.

Pautan asal:
http://m.utusan.com.my/Dalam_Negeri/20141013/dn_16/Isu-Ulil-Abshar-Desak-kaji-kedudukan-Saifuddin

0 comments:

Post a Comment

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.