Thursday, 2 October 2014

Dua Puluh Sen

Ahmad Maslan mengatakan Rasionalisasi subsidi akan tarik keyakinan pelabur. Entah siapa penglipurlara yang memberi nasihat kepada mereka-mereka ini sehinggakan terus percaya dengan janji-janji kosong tersebut.



Jelas, mereka-mereka di pentadbiran atas negara tidak pernah belajar. Terlalu berharap dan mengharap janji yang sudah pastinya dibuat untuk kepentingan mereka yang membuat janji dan bukan kepentingan rakyat Malaysia.

Bukanlah sekali Malaysia ditipu oleh negara barat. Tetapi Malaysia masih berdegil tidak mahu belajar. Dengan minda terkongkong dan sentiasa menganggap endorsemen barat ialah sesuatu yang amat perlu bagi sesebuah negara mencapai serta mengejar tahap negara maju, maka selamanyalah kita akan tunduk kepada kehendak demi kehendak nafsu mereka ke atas negara kita.

Kita hampir tunduk dalam semua segi. Bermacam tekanan telah diberikan ke atas negara. Mereka yang memberikan tekanan menjanjikan bahawa apabila Malaysia menurut kehendak mereka, baharulah mereka yakin untuk datang ke sini berbondong-bondong untuk membantu Malaysia.

Tetapi, lupakah pemerintah dengan pelbagai janji blok barat untuk membantu Malaysia bilamana had pelepasan karbon kita patuhi. Jika dulu mereka menjanjikan jika Malaysia berjaya mengurangkan had pelepasan karbon baharulah keyakinan mereka untuk membantu Malaysia akan dapat diberikan.



Kita percaya kepada janji-janji tersebut sehinggakan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kita terpaksa membuat ucapan seperti pengemis di PBB mengungkit janji-janji yang pernah diberikan barat. Jadi kenapa mahu terus sibuk berusaha ‘menarik keyakinan’ ketika mana janji-janji mereka itu sentiasa dicapatikan? Tidakkah kepimpinan kita mahu belajar dari pengalaman?

Kami faham tentang rizab minyak yang mungkin tidak akan dapat membantu negara mengawal kos bahan api untuk selama-lamanya. Kita dimomokkan saban hari dengan jerangkung dalam almari tentang fakta Malaysia bakal berubah sebagai nett importer bahanapi tidak lama lagi jika kita tidak berhati-hati mengawal hasil kekayaan negara. Kami faham tentang semua ini.

Tetapi yang kami kurang faham ialah, bilamana pemerintah bersungguh-sungguh mahukan rakyatnya mengikat perut demi kelangsungan survival negara, tetapi kami melihat terlalu banyak pembaziran demi pembaziran tidak perlu yang dibuat dan dilakukan oleh pemerintah itu sendiri.

Melayu mempunyai pepatah-pepatah lama yang amat bijaksana jika kita memberikan perhatian untuk mendengar dan memikirkannya sejenak. Ibarat ketam mengajak anaknya berjalan lurus. Guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari. Semuanya untuk mengajak umat Melayu pada satu ketika dulu tentang etika kepimpinan melalui tauladan.

Ketika seluruh negara disuruh bersyukur kerana minyak naik 20 sen, pembaziran pemerintah masih berlaku di dalam program-program yang dikira tidak membawa pulangan. Ini persepsi rakyat kerana tanpa ketelusan, mana mungkin kita semua mendapat gambaran sebenar tentang apa sebenarnya keberhasilan daripada pelaburan wang yang banyak dikeluarkan untuk perkara-perkara yang tidak masuk akal.


Belanjawan di Talentcorp sahaja boleh menampung kenaikan subsidi 20 sen tersebut untuk 529,942 isirumah berpendapatan RM 3000 dan ke bawah selama setahun. Menurut fauta* Ahmad Maslan, isirumah berpendapatan RM 3,000.00 dan ke bawah menggeluarkan perbelanjaan petrol secara purata RM 132 sebulan. Ia bersamaan dengan 62.9 liter sebulan ketika minyak RON95 berharga RM 2.10 seliter.

Menggunakan fauta Ahmad Maslan dan bentuk pengiraan yang sama, sebanyak 186,741 isirumah berpendapatan RM 5000 dan ke atas dapat ditampung subsidi RM 0.20 selama setahun. Menurut Ahmad Maslan, isirumah berpendapatan RM 5,000.00 dan ke atas menggeluarkan perbelanjaan petrol secara purata RM 375 sebulan. Ia bersamaan dengan 178.5 liter sebulan ketika minyak RON95 berharga RM 2.10 seliter. Talentcorp pada tahun ini diberikan peruntukan RM 80 Juta atau lebih menurut Helen Ang.

Pembaziran penubuhan Global Movement of Moderates yang hanya menjadi agen kepada suara kumpulan ekstremis liberal di dalam negara juga dapat membantu menambah jumlah isi rumah yang yang terkesan dengan kenaikan kos bahanapi dengan menyalurkan semua pembaziran yang diberikan kepada GMM kembali kepada isirumah.

Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN/NUCC) juga merupakan satu bentuk pembaziran di dalam pentadbiran Najib Tun Abd Razak. Ini merupakan satu majlis tiada beban batu digalas kepimpinan negara. Tidak menghasilkan apa-apa kebaikan melainkan hanya kerap menimbulkan rasa resah di dalam masyarakat melalui wang cukai yang dibayar rakyat Malaysia kepada mereka.

Begitu banyak gajah putih rekaan pemerintah sehingga kita tertanya-tanya apakah pemerintah ingin bersaing dengan Thailand untuk menjadi negara yang terkenal dengan simbol gajah putih?

Itu semua tidak termasuk program-program tidak masuk akal dan membazir yang banyak dilakukan pemerintah. Semua ini jika diperbaiki terlebih dahulu, tentu sahaja akan membolehkan pihak pemerintah menyentuh subsidi minyak ini dalam langkah-langkah yang terakhir.

Bukan kami tidak menyokong langkah penjimatan dan rasionalisasi subsidi ini. Kami faham bahawa rakyat tidak boleh dididik untuk menjadi terlalu manja demi masa depan negara. Tetapi yang gagal kami fahami ialah bilamana sesetengah pihak seperti Talentcorp, GMM, NUCC dan sebagainya terlalu dimanjakan bagai menatang minyak yang penuh ketika seluruh negara dipaksa mengikat perut. Jika membaca posting tulisan Helen Ang mengenai perbelanjaan yang dikeluarkan oleh Talentcorp bersama acara menjala bakat mereka diluar negara, kita terlopong mencari-cari sisi rasional kenapa begitu bermewah di dalam perbelanjaan mereka. Klik sini untuk melihat kompilasi foto jalan-jalan cari bakat Talentcorp menggunakan wang cukai rakyat Malaysia oleh Helen Ang.

Begitu banyak wang rakyat digunakan untuk menjala pihak-pihak yang tidak berminat untuk pulang dan menyumbangkan khidmat kepada negara sebelum ini. Jika melihat cara Talentcorp menggunakan peruntukan untuk menjala mereka-mereka ini, perkataan jala itu tentu sahaja tidak sesuai. Ini sudah sampai tahap menggunakan pukat harimau untuk mendapatkan hasil tangkapan seperti joran pucuk buluh.

Jika beginilah perjalanan kenderaan yang dinamakan Malaysia itu, maka sudah tiba masanya pemandunya dipecat sebelum kita semua jatuh ke dalam gaung yang dalam.

Kami bersyukur dan bersetuju dengan rasionalisasi subsidi ini hanya jika semua pembaziran seperti pembaziran super mewah Talentcorp, GMM dan sebagainya dikekang oleh pemerintah.

Sama-sama kita mengikat perut. Jangan kami yang kurus tapi lain pihak seperti Talentcorp, GMM dan sebagainya semakin memboyot.


*Fauta : Fauta ialah keadaan bilamana sesuatu pihak cuba meyakinkan pihak lain bahawa apa yang dibentangkannya ialah satu fakta. Tetapi dalam masa yang sama ramai pihak di luar sana menyakininya sebagai satu auta. Kita tidak tahu siapa yang benar. Maka kami masukkannya di bawah kategori Fauta. Fauta, perkataan baru dari Bangkit.info untuk memudahkan kita semua memahami sisi dunia ini.


3 comments:

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete
  2. Mengikut fauta ahmad maslan juga, semasa nak justify gula naik..dia kata gula kat rumah dia pun susah nak habis...mana nak habis asyik menteri kan banyak makan luar...kata menteri ni lagi brim boleh tangguh tapi gst tak boleh...memang ikut sedap mulut mamat ni!

    ReplyDelete
  3. Semua rakyat tanggong di atas kecerdikan yg tak dpt difikirkan oleh aqal manusia biasa...

    ReplyDelete

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.