Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berpendapat, adalah penting undang-undang yang mencegah perbuatan menghasut seperti Akta Hasutan dikekalkan dan sedikit pindaan perlu dibuat berikutan beberapa perkembangan mutakhir yang berlaku wajar ditangani segera.
Menurutnya, sejak akhir-akhir ini ada pihak cuba menghasut rakyat sehingga menimbulkan suasana tegang dalam hubungan kaum di negara ini termasuk yang mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan menyentuh sensitiviti kaum dan agama.
“Kita tidak boleh membiarkan sikap melampau segelintir pihak boleh menjejaskan keharmonian dan keamanan yang kita kecapi selama ini, apatah lagi jika mereka semakin berani mempersoalkan perkara-perkara yang termaktub di dalam Perlembagaan.
“Antara yang disentuh adalah hak keistimewaan Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak, hak-hak sah bagi kaum bukan Melayu, kedudukan agama Islam dan kedudukan Raja-Raja Melayu.
“Bagi kerajaan tindakan sebegini tidak boleh kita kompromi walau sedikit pun dan pada hemat saya adalah penting Akta Hasutan dikekalkan sebagai satu bentuk kawalan yang membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Ke-15 bertemakan ‘Wasatiyah Asas Perpaduan Ummah’ di Hotel Hatten di sini malam ini.
Yang turut hadir, Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob; Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron; Presiden DMDI, Tan Sri Mohd. Ali Rustam; Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Othman Mohamad.
Pada majlis itu, Muhyiddin turut menerima Anugerah Mansur Syah DMDI dengan dipakaikan selempang dan bintang kebesaran yang disampaikan oleh Mohd. Ali.
Muhyiddin berkata, jika akta itu hendak dipinda sekali pun, pindaan tersebut akan dibuat dengan memperkukuhkan peranan akta dalam melindungi perkara-perkara penting di dalam Perlembagaan dan membendung perbuatan menghasut daripada berleluasa di negara ini.
Menurutnya, beliau menyambut baik banyak pandangan termasuk daripada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad yang mahukan akta tersebut diperkemaskan dengan memasukkan peruntukan mengenai agama Islam supaya kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan tidak mudah dipersoalkan oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Akta ini juga perlu melindungi agama-agama lain daripada dihina atau dicemuh oleh mana-mana pihak.
“Ini kerana, pengalaman kita mengurus hubungan kaum di Malaysia selama ini menunjukkan bahawa kewujudan peruntukan undang-undang yang komprehensif dalam membendung perbuatan menghasut adalah penting untuk mengekalkan keharmonian dan keamanan dalam masyarakat kita,” katanya.
Justeru, Timbalan Perdana Menteri menambah, undang-undang seperti itu adalah satu bentuk mekanisme kawalan yang digunakan sebagai pilihan terakhir apabila terdapat pihak membelakangi semangat kompromi dan tolerasi antara kaum yang merupakan asas persefahaman serta perpaduan di negara ini.
Beliau berkata, Singapura sebagai contoh juga mempunyai undang-undang yang sama dan mereka sehingga kini tidak bercadang untuk memansuhkannya.
Menurutnya, pandangan sesetengah pihak bahawa kewujudan undang-undang ini akan menghakis hak kebebasan bersuara adalah tidak tepat.
“Kita seharusnya bijak dalam meletakkan garis perbezaan antara kebebasan bersuara dan kenyataan yang boleh ditafsir sebagai menghasut,” katanya.
Menurut Muhyiddin, kebebasan bersuara dalam sesebuah masyarakat yang bertamadun seharusnya digunakan untuk mengajak rakyat supaya terus hidup bersatu-padu dan hidup dalam suasana yang harmoni dan bukannya mengeluarkan kenyataan yang menggores perasaan masyarakat pelbagai kaum hingga menyebabkan perbalahan serta perpecahan.
Jelasnya, undang-undang seharusnya memelihara kepentingan masyarakat umum dan bukannya melindungi segelintir individu yang tidak bertanggungjawab.
Bagi masyarakat Melayu Islam katanya, mereka mesti berwaspada dengan kemunculan pelbagai fahaman melampau dalam amalan agama yang sekiranya tidak dibendung boleh mencetuskan persengketaan sesama umat Islam.

Pautan asal :