Saturday, 11 October 2014

Ahli Syurga, Barua Dan Bersekongkol Dengan Syaitan

Oleh : Megat Rizal MH

Menurut Maulana Sheikh Imran Hossein yang sering menjadikan Malaysia sebagai rumah keduanya, dengan siri-siri ceramahnya, di seluruh negara setelah sekian lama, di Akhirul Zaman ini akan berlaku banyak penipuan yang teramat licik resamnya.

Katanya lagi di Akhirul Zaman fitnah akan berlaku dengan berleluasa sehinggakan putih akan dilihat hitam dan begitulah sebaliknya. Menurutnya juga, manusia-manusia yang berilmu, terkesan dengan sikap riak dan bongkak mereka , akan kehilangan ilmu yang mereka simpan didada. Sedikit demi sedikit ilmu itu akan ‘luruh’ meninggalkan mereka. Semoga Allah SWT melindungi kita semua daripada kejadian sedemikian rupa.

Di Akhirul Zaman juga, meminjam terminologi Sheikh Imran Hossein, kebanyakkan manusia sudah tertutup mata hati. Lalu kebanyakkan manusia akan mudah menjadi keliru untuk mempercayai yang mana satu benar dan yang mana satu batil? Kecuali kepada mereka-mereka yang Allah SWT berkehendak untuk ‘mengurniakan’ ilmu pengetahuan. Namun katanya lagi, batil selalunya, akan dilihat ramai sebagai benar.

Lalu ada juga yang menasihatkan kita semua untuk beramal diri dengan sekurang-kurangnya sepuluh ayat pertama atau sepuluh ayat terakhir, Surah Al Khafi pada setiap penghulu hari, supaya dijauhkan daripada kita dengan fitnah zaman fitan. Surah tersebut juga menceritakan tentang pemuda-pemuda solihin yang mahu menjaga akidah mereka lalu berdoa kepada Allah SWT supaya dijauhkan daripada kebatilan yang mengelilingi mereka. Lalu mereka ‘ditidurkan’ dengan begitu lama.

Mungkin inilah salah satu cabaran yang perlu ditangani orang Muslim apabila berdepan dengan kebatilan (sekularisme?) dalam memelihara tauhid. Banyak lagi sirah dan teladan seperti yang telah diceritakan Al Quran dan Hadis. Lalu apabila orang Muslim telah bersedia dengan tradisi ilmu yang telah teruji sekian lama, tentulah akan terkejut dengan seribu satu macam reaksi, apabila sesuatu anomali tiba-tiba terjadi.

Mungkin juga ini berlaku kerana masyarakat Muslim Malaysia amnya masih belum lagi terbiasa seperti di Indonesia, contohnya, dengan jaringan Islam liberal yang duduk sama rendah (pluralisme?) dengan mereka-mereka yang menyekutukan Allah SWT, oleh itu apabila sesuatu imej, yang dalam dunia serba moden ini, yang dianggap ramai sebagai dekat dengan Islam menjadi sebuah anomali apabila susuk yang datang dengan imej tersebut memilih untuk mendekati sesuatu yang jelas sekular dan yang jelas anti tesis kepada ajaran Islam itu sendiri.

Mungkin inilah keadaan yang digambarkan oleh Sheikh Imran Hossein, sebuah Akhirul Zaman yang sarat dengan perang label dan jenama. Lazimnya, manusia mudah terkesima dengan bentuk dan bukan isinya. Bentuk lebih mudah dilihat, bak sekilas ikan di air. Tetapi isi memerlukan pengamatan yang mendalam. Pengamatan pula memerlukan ilmu pengetahuan yang bersesuaian untuk berbuat sedemikian. Tanpa ilmu pemahaman tidak dapat dibentuk atau akan gagal dibentuk dengan baik.

Jadi disebabkan oleh fitrah manusia begitu mereka akan lebih tertarik kepada bentuk dan bukan isi. Mungkin itulah juga yang terjadi kepada Rasullullah SAW diawal proses dakwah baginda menegakkan tauhid dikalangan penduduk Mekah. Setelah sekian lama belajar kenal akan kesyumulan Islam barulah kecintaan itu mula menjengah sehingga melekat dihati.

Umat Muslim kini sudah mengenali bahawa Islam itu indah. Maka sudah tentulah apa yang berlawanan dengannya akan dianggap sebagai buruk dan akan dipandang serong dan dengan penuh jijik. Lalu pendakwah-pendakwah agama berusaha untuk melabelkannya sebaik mungkin supaya menjadi peringatan dan pengajaran kepada mereka-mereka yang mahu menjaga iman.

Tetapi jika sesuatu yang secara tradisinya dianggap cantik, seperti menutup aurat misalnya, boleh duduk sama rendah dalam sebuah organisasi yang dianggap buruk kerana berlawanan dengan nilai Islami itu sendiri, bagaimana pula harus umat Muslim itu menilai?

Kita bukan mahu menghukum, sememangnya kita tidak layak untuk berbuat sedemikian akan tetapi  kita mahu juga mengukur dan memahami sebuah anomali yang jarang-jarang terjadi. Mungkinkah perlu dikeluarkan fatwa seperti yang telah dibuat ke atas ISIS untuk mengekang penyertaan masyarakat Muslim tempatan?

Mungkinkah kecairan nilai ini terjadi dalam keghairahan sesetengah daripada kita membawa label Islam walaupun sudah semakin jelas terbukti kini bahawa cara kerja berpolitik mereka-mereka itu saling tidak tumpah si Machiavelli dengan bermuka-muka, ‘back door dealings’ dan sebagainya?!

Mungkin juga etos yang bermula dengan sebuah istiqamah yang baik dan murni itu telah dirampas-curi oleh agen-agen talam dua muka yang dilabel sesetengah daripada kalangan mereka sendiri sebagai barua?

Lalu kita yang berada di bawah ini cuba memikirkan secara sendiri-sendiri (sekular?), masih cuba mahu memahami disebalik kekeliruan label ahli syurga, barua dan syaitan, bagaimanakah pula cara yang paling adil dan benar untuk kita melabelkan situasi ini?

Apakah dengan melabel itu kita sudah menjatuhkan hukum atau kita cuma meletakkan sesuatu pada haknya supaya menjadi teladan kepada semua?

Terutamanya kini apabila ada ahli syurga dilabelkan sebagai barua dan barua pula tidak mengaku diri mereka sebagai syaitan yang dimaksudkan. Ada juga syaitan yang dipakejkan sebagai ahli syurga dengan label khalifah segala oleh barua. Dan kelibat barua yang suka untuk duduk dalam jemaah syaitan.

Namun siapa pula yang layak untuk memutuskan siapa ahli syurga, siapa barua dan siapa syaitan?

Manusia sememangnya suka kepada label dan suka pula melabel. Label dalam banyak hal memudahkan urusan seharian kita. Jadi tidak hairanlah apabila kita terjadi suka bermain dengan label. Sehinggakan dalam kes-kes tertentu seakan-akan label telah menghalalkan cara.

Kenyataan ini dibantu dengan zaman sarat maklumat yang mana pada asalnya label digunakan untuk memudahkan kerja.

Dengan kejayaan yang dicapai label dan pelabelan timbul pula satu aliran pemikiran yang bergerak dan menjayakan gerakkannya dengan menebus guna label semaksima mungkin.

Proses tersebut telah melahirkan industri penjenamaan yang menjadi kilang untuk mengeluarkan jenama-jenama yang jelas lebih kemas dan sofistikated daripada label semata.

Jenama dan penjenamaan telah merevolusikan pelabelan dengan menjadikan sesuatu yang tidak ‘tangible’ seperti label atau jenama menjadi ‘tangible’, boleh dirasa dan dinikmati bersama dengan produknya. Jenama juga lazimnya akan cuba mengekalkan keseragaman dan nilai-nilai asalnya supaya mudah dikenal ‘pelanggan-pelanggannya’. Volvo misalnya dikenali sebagai sebuah kenderaan yang sarat dengan ciri-ciri keselamatan. Dan pengeluar kenderaan tersebut akan cuba sehabis baik untuk mengekalkan ciri-ciri tersebut dalam setiap keluaran terbaru syarikat automobil tersebut. Ini juga akan dipanjangkan secara konsisten dalam kempen iklan dan pemasaran syarikat tersebut.

Namun kini, jenama dan penjenamaan kelihatan seperti sudah mengambil satu pusingan u-turn apabila sudah terdapat satu kefahaman dan gerakan untuk ‘mengadakan’ rasa itu secara ‘superficial’ dengan kempen mewah yang bertali-arus dan konsisten penipuannya, walaupun lama kelamaan akan jelas terserlah juga kebatilannya.

Sebagai contoh sesuatu makanan itu dikatakan sebagai sebuah hidangan yang menyihatkan apabila ianya sering diiklankan, setiap hari sepanjang tahun bahawa ianya dihasilkan daripada bahan-bahan yang segar, bersih dan penuh khasiat. Namun sebaliknya terbukti berlaku. Ramai yang mula sedar dan mula menjauhi jenama tersebut sedikit demi sedikit.

Persoalannya berapa ramaikah lagi yang masih tidak sedar atau terkesima dengan tawaran menu salad terbaru?

Dan berapa ramaikah pula yang akan merasakan bahawa gerakan liberal yang sememangnya bercanggah dengan Islam adalah jawapan kepada keserderhanaan yang kita cari berlawanan dengan extremisme yang sedang berlaku dengan merampas-curi nama baik Islam?

Berapa ramaikah juga daripada kita yang sesak dengan ‘ulama’ yang suka berpolitik, u-turn dan sebagainya, sehinggakan kita mencari identiti Islam yang senggang-senggang, asal boleh, seperti jaringan Islam liberal yang sememangnya mahu menjerumus kita kepada kesesatan yang nyata?

Sememangnya sesuatu yang tidak baik itu jika dikatakan baik dengan forum dan perbincangan meja bulat segala, jika sering dimomokkan dengan bertali-arus mengisi jiwa-jiwa yang sedang minta diisikan akan tertutup juga, walaupun sementara, akan kebatilannya.

Dengan jenama dan penjenamaan juga sesetengah daripada kita yang pandai mengambil kesempatan berjaya mengeksplotasi ‘kepercayaan’ sesetengah daripada kita kepada bentuk, tali leher atau purdah segala, untuk menutup kepada kebatilan mereka dengan label, jenama dan penjenamaan yang baik dan sedap didengar semata.

Sheikh Imran Hossein ada memperjelaskan tentang konsep ‘FaSaD’ dengan mendalam, termasuk maksud huruf-hurufnya sekali secara mendalam dalam salah sebuah daripada banyak buku beliau yang bercakap tentang Akhirul Zaman.

Oleh itu tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa dewasa ini bahawa sesetengah retorik berjaya dimenangi dengan label semata. Malah rasanya ada juga yang disanjung dengan jenama yang baik semata. Oleh itu, dewasa ini, kita lihat, seseorang itu  tidak perlu baik namun cukup untuk kelihatan baik. Tidak perlu amanah namun cukup untuk kelihatan beramanah. Tidak perlu berjimat namun perlu kelihatan seolah-olah telah melakukan penjimatan.

Lalu terdapat sesetengah pihak yang menubuhkan satu syarikat perniagaan yang hidup dengan ‘mencuri’ kekayaan rakyat dan mendaftarkan pula syarikat tersebut di kepulauan yang menjadi tanda-tanya ramai, dan berusaha pula untuk mengelapkan semua itu dengan satu yayasan yang menaja ketua-ketua kampung menunaikan haji, contohnya.  Tentulah usaha penjenamaan tersebut akan kelihatan baik dan murni pada ramai orang.

Selamat datang kepada ‘penjenamaan’ orde Akhirul Zaman dan ianya tidak terhenti di situ. Di negara kita contohnya, ada yang menjenamakan organisasi mereka sempena dengan nama lagu kebangsaan, walaupun perjuangan organisasi terbabit terbukti bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan.

 Ada juga yang melabelkan diri mereka sebagai moderat contoh walaupun jelas menjaja ideologi sekular anti Islam, mereka tidak segan-silu untuk melabel sesiapa saja yang menentang atau tidak bersetuju dengan mereka sebagai kelompok ektremis atau fundamentalis. Setelah puas dengan perlakuan itu mereka sibuk pula mengusung ke sana ke mari ‘tahi liberal’ yang dipinjam, adakalanya daripada Amerika Syarikat, Canada dan yang terbaru daripada Indonesia, supaya habis semua kita terpalit sama dengan pemikiran najis mereka!

Persis jenama produk-produk terkenal dunia yang akan didaftarkan ‘trademark’ dan ‘service mark’, parti-parti politik tempatan juga seperti tidak mahu ketinggalan perlumbaan jenama dan penjenamaan. Ini tidak lebih dan tidak bukan seperti permainan keanak-anakkan, yakni ‘siapa cepat, dia dapat’.

 Contohnya jika satu pihak telah menggunakan nama Islam sebagai perjuangan parti, maka yang lain sudah  menjadi kafir.

Jika satu pihak selalu menuding jari kepada yang lain sebagai pengamal kronisme dan nepotisme tegar maka parti politik ‘anak beranak’ mereka tidak.

 Jika satu pihak itu selalu bercakap tentang meritokrasi dengan menidakkan hak-hak kaum pribumi yang ramai yang selama beratus telah ditindas dan dirampas hak mereka, maka golongan anti hak-hak pribumi itu merupakan sebuah pihak yang adil dan saksama.

Ini mungkin juga merupakan langkah premptif yang harus dilakukan supaya kempen pejenamaan (penipuan?) itu berjaya. Ini zaman ‘serangan preemptif’ Amerika Syarikat. Zaman nyawa melayang dengan mudah atas nama ‘friendly fire’! Mungkin mereka berguru dengan Amerika Syarikat setelah melihat kepada kejayaan negara itu mengabsahkan kempen haram mereka melakukan serangan demi serangan dan beberapa penjajahan yang banyak digerakkan dengan kelicikan ‘berdiplomatik’ semata.

Tentunya mereka juga telah belajar bahawa hanya dengan label dan penjenamaan kejahatan bertali arus ‘Islamic State’, Amerika Syarikat berjaya mengembleng Britain, Australia dan Canada untuk ikut sama dalam perang hegemoni mereka, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Maklumlah ramai daripada mereka lebih selesa untuk berkiblatkan barat. Tidak keterlaluan juga jika dikatakan ada yang diasuh dan diberi makan oleh barat. Barat di sini mengikut definisi Akhirul Zaman, Sheikh Imran Hossein, yang sering menyuruh orang ramai supaya tidak menerima bulat-bulat apa yang ditulisnya dengan melakukan sendiri kajian dan menegurnya kembali jika perlu, ialah gabungan Judeo-Kristian Zionis. Mereka-mereka ini boleh saja berada di Indonesia dan juga di Malaysia. Pemikiran inilah, sekularisme, liberalisme dan pluralisme yang ditaja Judeo-Kristian Zionis yang mahu dihidangkan kepada kita semua.

Lalu baru-baru ini juga sebuah parti politik yang sedari dulu dianggap sebagai sebuah parti yang bersikap anti Melayu dan anti Islam, terutamanya Islam sebagai Agama Persekutuan melalui pendekatan perjuangan parti tersebut, kini kelihatan sudah mula mengambil langkah-langkah ekstrim dan terdesak sebagai cara untuk menkosherkan imej negatif parti tersebut dikalangan orang Melayu dan Muslim.

Ramai yang mempersoalkan perbuatan parti tersebut. Ada juga yang mempersoalkan niat ahli-ahli baru parti tersebut. Namun soalan yang patut ditanya ialah, adakah mereka sedang melakukan preemptif untuk menarik minat pemuda dan pemudi Muslim yang bakal memeriahkan PRU14 yang mendatang?

Adakah disebabkan itulah agaknya parti tersebut kebelakangan ini sudah mula kelihatan bekerja dengan lebih keras dan beramal ‘soleh’ dengan mempertahankan nasib tiga wanita Muslim yang ‘dihina’ sesetengah pihak. Malah tindak-tanduk mereka ini boleh dikatakan lebih ‘soleh’ lagi daripada mana-mana parti politik yang dianggotai ramai muslim dengan mengetengahkan seorang wanita Muslim berniqab dan diletakkan dibarisan depan sebagai wajah baru parti tersebut mendahului yang lain.

Mungkin ini merupakan politik licik baharu, seMachiavelli mungkin, parti politik tersebut?

Walaupun ada yang beranggapan bahawa parti itu sudah mengorbankan etos sekularnya. Kita tahu dalam berpolitik, sememangnya matlamat menghalalkan cara. Lalu kita yang sering mengamati pergerakkan mereka itu akan faham benar apabila mereka menggunakan cara baru untuk menuju ke Putrajaya demi mengangkat survival parti politik mereka ke tahap yang lebih tinggi lagi.

Setelah memonopoli undi satu kaum tertentu. Mereka kini sedang berusaha keras untuk memenangi undi kaum majoriti pula.

Untuk kekal menjadi sebuah parti politik yang berkesan dan sentiasa ke depan (bukan lagi sebagai ‘second fiddle’ kerana kekurangan calon yang berkelayakkan untuk dibawa ke depan, contohnya) dan mungkin juga menjadi parti politik yang paling dominan, kekangan perlembagaan negeri dan negara, jika ada, perlu ditangani dengan cara bijak dan halus dari dalam parti sendiri.

 Jadi, apabila kali ini mereka memperkenalkan sejenis bunga baru,  diketengahkah ke ‘muka depan’ untuk tontonan umum dengan bungkusan yang ‘cantik’ mendahului semua yang terdahulu daripada ‘free hair’, bertudung dan sekarang ini berniqab (apa lagi nanti?), yang pada dasarnya amat bertentangan dengan nilai sekular itu sendiri, ramai daripada kita yang terkejut. Tidak kurang juga ada yang sudah mula terkesima.

Syabas kepada parti tersebut yang berjaya ke depan dalam proses membaca semula (dekonstruksi?) politik sekular dan sekularisme. Mereka bijak kerana faham dengan konsep kalah bentuk (tentunya sudah dikaji baik-buruknya) dan menang isi.

Berbanding daripada sesetengah ahli politik Muslim sendiri yang sering mahu menang bentuk tetapi kalah isi.

Mungkin Perancis dan Amerika Syarikat boleh belajar satu dua perkara dengan mereka?

Mungkin juga Indonesia yang terkenal dengan Ulil Abshar Abdalla boleh belajar satu dua perkara dengan mereka?

Mungkin Ulil Abshar Abdalla sendiri boleh belajar satu dua perkara daripada mereka? Mungkin rundingan meja bulat IRF dan GMM nanti patut juga menjemput cerdik pandai parti tersebut supaya dapat menceritakan bagaimana mereka berjaya menyerang Islam dengan dengan susuk fundamentalis Islam itu sendiri? Tidak perlu Ulil Abshar Abdalla segala, mereka sudah berjaya menghina kesyumulan Hudud, contohnya, hanya dengan membiarkan skrip mereka dibaca susuk yang bertudung litup!

Nota sisi: Jika ada yang mencadangkan bahawa bercakap pasal sekolah vernakular yang jelas melanggar Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan sebagai hasutan, bagaimanakah pula dengan mereka-mereka yang sering cuba untuk menimbulkan keraguan kepada kesyumulan dan juga kebencian kepada fundamental Islam sebagai Agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Bahagian 3 Perlembagaan Persekutuan, tidak?!

Jadi ditengah-tengah sesetengah Muslim yang sedar sedang berjuang dan berusaha keras untuk mengisi  semangat Islam Agama Persekutuan, sambil ditentang hebat oleh pihak lain yang dengan keras pula mengatakan negara ini sepatutnya sekular dengan Islam hanyalah sebagai simbol semata, tidak lebih daripada itu, tidak ‘supreme’  dan mengatasi agama-agama lain, kita dihidangkan pula dengan imej berniqab parti sekular untuk melambatkan kita.

Nasib baiklah sesetengah daripada kita diingatkan dengan kisah Si Lebai Malang? Dan sememangnya juga sesetengah daripada kita sedar dan tahu bahawa berkopiah dan berserban semata tidak akan menjaminkan syurga, sama seperti bersongkok semata tidak menjaminkan neraka, kecuali amalan baik dan keikhlasan dalam beramal yang akan pula dihisab oleh Maha Pencipta.

Lalu apa ada dengan baju batik Indonesia Ulil Abshar Abdalla?

Mungkin juga sudah sampai masanya kita semua melihat kepada isi dan bukannya bentuk semata kerana ‘looks can be deceiving’ seperti yang dapat kita sedikit belajar daripada kisah Nabi Musa as dengan seorang lelaki ‘yang diajarkan ilmu’ seperti yang juga diceritakan dengan panjang lebar dalam Surah Al Khafi.

Syaitan juga tidak akan muncul dengan wajah bengis dan hodoh dan menakutkan manusia untuk mendekatinya. Lalu bagaimana mungkin kita dapat mengenal pasti antara ciri-ciri yang terdapat kepada seorang ahli syurga, barua atau syaitan?

Mungkin elok untuk kita semua mula mengamati apa yang dibuat seseorang itu, apa yang pernah dipertuturkannya dan bukan kepada apa yang dipakainya.

Seseorang yang membunuh rakyat Palestin yang tidak bersalah, yang dijajah dan dirampas hak mereka seperti Ariel Sharon contohnya, tentulah bukan seorang yang baik.

Begitu juga dengan mereka-mereka yang pernah memperlekehkan sirah kenabian seperti Nabi Muhammad saw atau pun Nabi Musa as contohnya, patut ditolak secara total.

Apatah lagi jika susuk tersebut sedang mengusung fahaman liberal yang sudah difatwakan sebagai sesat oleh Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan dan Majlis Ulama Indonesia.

Walaupun mereka-mereka ini nanti akan memilih untuk menegaskan bahawa agama adalah hak peribadi individu, forum internum seorang manusia yang paling dalam, contohnya. Mereka ini akan memilih untuk memperkasakan pengasingan agama daripada kehidupan harian kerana agama bersikap peribadi, yang patut dibuat sembunyi-sembunyi. Ini tidak lebih merupakan preteks kepada pemurtadan yang akan diperjuangkan juga sebagai hak peribadi individu, mengikut konvensi hak asasi manusia sedunia dan ‘State’ tidak patut masuk campur, jauh sekali mencegah dan melakukan tarbiah.

Mungkin Ulil Abshar Abdalla yang dijemput IRF menggunakan kemudahan Saifuddin Abdullah akan berkongsi bagaimana pemerintah tidak ‘diperbolehkan’ untuk campur tangan substantif dan memaksakan keseragaman dalam beragama.

Mungkin juga lewat kehadirannya nanti, Ulil Abshar Abdalla akan ‘mengusulkan’ supaya JAKIM, MAIS dan sebagainya dimansuhkan saja dengan diiringi tepuk sorak liberalis Malaysia (liberalis sememangnya rentas agama, kerana pakaian agama mereka sama, liberalisme) yang sudah lama mendambakan ini berlaku.

Kita kenal kebatilan mereka kerana kita sedar jika benar mereka berpegang kepada konsep agama itu di hati, ‘ha huna’ contohnya, kenapa mereka mahu membawakan kekeliruan mereka ke pentas umum dengan pemashuran di sosial media, sidang akhbar lapor SKMM, forum dan rundingan meja bulat rentas negara segala?

Dan sesungguhnya kita tidak perlu mereka menyeragamkan kebatilan yang mereka pegang dan puak-puak liberalis ini patut menyimpan rapat kesesatan mereka di sanubari mereka sahaja!

2 comments:

  1. Quote :

    dewasa ini, kita lihat, seseorang itu tidak perlu baik namun cukup untuk kelihatan baik. Tidak perlu amanah namun cukup untuk kelihatan beramanah. Tidak perlu berjimat namun perlu kelihatan seolah-olah telah melakukan penjimatan.

    Betul. Memang Betul. Tambah pula dgn minda majoriti muslim yg sgt gullible.

    ReplyDelete
  2. Farouk Musa IRF dan mohon maaf ke belum pasal pengunaan label haram GMM?

    Ke GMM yang last minute chicken out dan nak tarik diri?

    Saifuddin Abdullah dan GMM dah saman IRF ke belum atas fitnah dan salah guna logo GMM?

    Takkan bincang ikut pintu belakang saja kut?

    Birds of a feather betoi!!

    ReplyDelete

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.