Sunday, 21 September 2014

Sikap Talam Dua Muka Liberalis Malaysia: Topeng ‘Moderates’, Etos Konservatif

Oleh : Megat Rizal MH

Kebelakangan ini kita semakin mengenali wajah-wajah hipokrasi golongan liberalis Malaysia yang tidak mahu jika apa yang sering mereka perjuangkan dikenakan ke atas orang lain, dikenakan pula ke atas mereka. Sebagai contoh mereka berteriak sakan supaya seorang pendakwah yang tidak sealiran dengan mereka didakwa dibawah Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1970), tetapi berteriak sakan pula supaya seorang pendakwah lain dibebaskan daripada menghadapi pendakwaan dibawah akta yang sama. Nampaknya, mereka-mereka ini sudah mula berlagak seakan ‘lembu-lembu suci’ yang tidak boleh disentuh langsung, waima undang-undang negara. Dan adakah di atas kesedaran itu jugakah (kebal undang-undang), para liberalis kini, sering juga berteriak sakan bercakap tentang perkara-perkara yang jelas bertentangan dengan semangat dan nilai Perlembagaan Persekutuan?

Dikatakan mereka berteriak sakan adalah kerana laungan suara mereka sememangnya kuat, kerana mereka mendapat bantuan dana daripada pelbagai jaringan liberalis lain, swasta dan kerajaan, dalam dan luar negara, dengan jutaan ringgit banyaknya. Ahli-ahli korporat, pemilik-pemilik portal dan surat khabar, pemilik-pemilik dewan dan kongsi dan ngo-ngo berduit luar negara banyak membantu mengerakkan aktiviti mereka. Sering juga pandangan dan aktiviti mereka mendapat liputan meluas media massa, dalam dan luar negara. Malah beberapa agensi antarabangsa juga, sering mengulang sebut apa saja yang diminta mereka untuk membuli negara sekecil kita.

Fahamilah bahawa cubaan untuk melawan puak-puak liberalis, tidak akan boleh berjaya hanya dengan beretorik semata. Mahu atau tidak nampaknya kita-kita yang cuba mengekang gerakan liberalis ini terpaksa bekerja dengan lebih kuat lagi, kerana sememangnya, kelicikan mereka sering mendahului kita.

Licik kerana apabila mereka sendiri yang dikenakan pendakwaan dengan Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1970), puak liberalis ini yang mahu dikenali ramai dengan gelaran ‘moderates’, akan mula menunjukkan ruh konservatif mereka dan mula menggunakan seribu satu cara untuk melepaskan diri mereka dan rakan-rakan mereka daripada pendakwaan tersebut, melalui demo, hartal, ‘flash mob’, jelajah ‘menghasut’ dan forum. Ada juga yang berpiknik sambil menikmati kesedapan sambal nasi lemak dengan ditemani keluarga. Ada juga yang mula mendekati media sosial dengan berhashtag bagai, seribu satu perkara, semata-mata kerana mahu menggerakkan massa supaya terhasut dengan gagasan untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1970). Kekangan kepada kebebasan menghasut mereka!

Adakalanya mereka akan mula mengherdik, menghina, menfitnah dan membuli Perdana Menteri jika tidak mahu tunduk dengan cara mereka memansuhkan Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1970). Malah beberapa pemimpin-pemimpin negara yang lain juga, tidak terlepas daripada kutukan dan herdikan golongan liberal extremis ini, semata-mata kerana tidak mengulang sebut apa yang mereka mahu.

Kita juga hairan, kenapakah puak-puak liberalis ini, sering berteriak sakan supaya Perdana Menteri mencampuri urusan perundangan negara, walaupun mereka tahu ia sememangnya bertentangan dengan nilai-nilai yang sering mereka laungkan. Bukankah mereka juga yang sering menjerit supaya Esekutif tidak mencampuri hal-hal dalam bidang kuasa Legislatif?
Jadikah kenapakah mereka sanggup menjilat ludah mereka semula? Kenapakah ada diantara mereka yang mahukan Perdana Menteri supaya serta-merta menghentikan siri-siri pendakwaan sahabat-sahabat mereka dengan Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1970).

Kenapakah pula ada juga yang cuba-cuba mempengaruhi Peguam Negara sendiri untuk membatalkan kes-kes dakwaan menghasut susuk-susuk tertentu?

Tidak kurang juga ada yang cuba memperlekehkan Putrajaya dengan sindiran dan tohmahan persis pengkhianat negara hanya kerana Putrajaya memilih untuk tidak menuruti lagak anarkis mereka!

Kita yang pernah didedahkan dengan cerita si ibu ketam tentu akan ketawa sendiri melihat aksi talam dua muka yang sering mereka persembahkan!

Suka kita meletakkan kepada tempatnya, bahawa sikap talam dua muka puak liberalis Malaysia dengan bertopengkan ‘moderates’ sebenarnya batil, sebatil perkara-perkara yang mereka perjuangkan. Batil kerana mereka tidak ‘walk the talk’ apabila mula meminta bantuan badan-badan luar seperti ICJ (International Commission of Jurists) untuk mencampuri urusan perundangan dalaman negara.

Bentuk pengkhianatan apa pula yang sedang mereka persembahkan kini? Khianat kerana mereka sepatutnya, seperti sesiapa saja yang didakwa, patut berusaha membuktikan bahawa dakwaan mereka sebenarnya tidak berasas langsung dan mereka wajar dibebaskan. Jadi kenapakah mereka cuba melepaskan diri mereka daripada pendakwaan dengan menggunakan pintu belakang?

Batil juga, kerana badan itu meminta kerajaan Malaysia, sebuah negara merdeka dan berdaulat, dengan sejumlah negeri-negeri dan wilayah yang mempunyai perundangan negeri yang unik dan tersendiri, supaya tunduk dengan gesaan dan buli badan antarabangsa itu, dengan membebaskan segera mereka-mereka yang didakwa menyalahi Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1970).




Kenapakah ICJ tidak membiarkan saja supaya Legislatif negara ini menjalankan tugasnya?

Etos apakah yang diguna pakai ICJ kini?

Adakah kerana Malaysia merupakan sebuah negara kecil maka rakyatnya layak dibuli, ditendang ke kanan dan kiri, ‘ikut suka hati’ badan antarabangsa itu?

Oleh itu wajar untuk kita bertanya, kenapakah ICJ sanggup pula menutup mata, mempekakkan telinga dan mengunci mulut dengan tindakan Amerika Syarikat yang masih menjajah Teluk Guatanamo daripada Cuba, semata-mata supaya jenayah yang diperlakukan ke atas tahanan yang rata-rata masih menunggu untuk dibicarakan, secara teknikalnya tidak dituding kepada mereka?

Kenapakah pula ICJ tidak menegur Amerika Syarikat supaya menyerahkan kembali, Teluk Guatanamo kepada Cuba seperti yang diminta kerajaannya, sekian lama?

Apakah ICJ juga tidak peka dengan seribu satu jenis penderaan termasuk apa yang dikenali sebagai ‘water boarding’ yang dijalankan oleh kerajaan Amerika Syarikat di situ?

Sudahkah ahli-ahli ICJ mencuba bagaimana sakitnya jika dikenakan paksaan ‘force feeding’?

Apa pula komen ICJ kepada sejumlah tahanan-tahanan ‘gitmo’ yang mati, tanpa berpeluang untuk dibawa ke muka pengadilan untuk dibicarakan di atas pertuduhan yang telah dibuat ke atas mereka?

Kenapakah ICJ senyap sunyi umpama sebuah bandar yang baru dilanggar garuda, dan memilih untuk tidak memperjuangkan perkara-perkara ini yang sememangnya tidak bertamadun?

Jadi atas dasar apakah pula ICJ mahu menegur Malaysia yang membuka peluang seluas-luasnya untuk mana-mana rakyatnya yang didakwa dibawah Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1970) untuk mendapatkan pembelaan?!

Malah sehari-dua ini, dua daripada mereka yang didakwa dengan Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1970) telah mencabar kedudukan akta itu dalam Perlembagaan Malaysia. Kes tersebut khabarnya akan dibawa ke Makhamah Tinggi. Kelicikan seperti inilah yang sering kita semua, rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan keadilan, mahu. Dan bukannya dibebaskan melalui pintu belakang dengan demo, hartal atau mahupun desakan pelobi-pelobi luar negara!

Negara semuda Malaysia perlu melakukan pengisian kepada cara hidupnya sendiri dan bukannya maju dengan nilai-nilai luar dipaksakan secara membuta tuli ke atas rakyatnya. Atau apakah, pada hemat ICJ, adalah menjadi lebih baik jika Malaysia mempraktikkan tahanan tanpa bicara, sama seperti Uncle Sam melalui Patriot Actnya?

ICJ nampaknya sudah keliru moral!

Tidak cukup dengan pembabitan ICJ, golongan liberalis juga yang kebelakangan ini kelihatan bagaikan cacing kepanasan, mula mendapatkan bantuan daripada Human Rights Watch dan Amnesty International, jaringan liberal antarabangsa mereka dengan menggunakan modus operandi membuli negara sekecil Malaysia dengan etos ‘my way or the highway’ dan bertegas agar kes-kes hasutan digugurkan segera! Mereka cuba menekan Perdana Menteri kita supaya tunduk kepada cara mereka dengan mempersetankan sistem perundangan negara. Macam-macam label yang kurang enak didengar mula dilemparkan kepada Perdana Menteri yang semakin memahami peri-penting akan akta tersebut dikekalkan.

Jadi apabila Pejabat Perdana Menteri mengatakan dengan jelas dan terang bahawa kerajaan Malaysia sebenarnya masih mengkaji sama ada mahu dimansuhkan atau dibuat penambah-baikkan kepada Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1970) itu, puak liberal extremis sudah mula meroyan bagaikan ibu ayam kehilangan anak. Mula meronta-meronta bagaikan anjing takutkan bayang-bayang.

Jadi tidak hairanlah jika baru-baru ini jurucakap kepada Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) mengenai Hak Asasi Manusia mula menyatakan pendirian mereka. Jurucakap badan itu berkomentari bahawa ‘Akta Hasutan Malaysia terlalu luas dan tidak menggariskan kriteria yang jelas untuk mengkelaskan bentuk-bentuk hasutan’. Kata jurucakap (jurucakap puak liberalis Malaysia, tentunya!) itu lagi, mereka teramat bimbang dan melihat pelaksanaan undang-undang tersebut sebagai sebuah penindasan untuk bersuara secara aman di Malaysia.

UN kita dengar rungutan anda.

Cuma nasihat kita kepada UN, jika badan itu benar-benar mengambil berat akan hal-hal yang berkaitan dengan hak asasi kemanusiaan dan manusia, eloklah jika badan dunia itu cuba menyelesaikan permasalahan penjajahan Zionis Israel ke atas Palestin yang sudah berlarutan beberapa dekad lama. Satu generasi sudah berlalu dan mengapakah sehingga kini rakyat Palestin masih menjadi pelarian di tanah air sendiri?!

Buat itu dulu, dan mungkin juga nanti warga dunia akan mula memberikan lebih perhatian kepada ‘dakwah’ UN.

Dan sememangnya kita juga belum lupa, apati yang ditunjukkan UN sehinggakan hampir dua ribu jiwa dibunuh dengan kejam rejim Zionis Israel di Gaza. Apakah bentuk tindakan yang akan dikenakan ke atas negara haram itu?

Untuk pengetahuan pihak UN juga, kerana menghargai keamanan dan keharmonianlah, Malaysia memilih untuk mempunyai undang-undang mencegah supaya perkara-perkara sensitif tidak dibicarakan sesiapa. Ini adalah untuk menjaga fabrik sosial pelbagai kaum dengan sensitiviti yang kompleks dan bermacam ragam. Atas dasar itulah akta tersebut dipinda pada tahun 1970, 13 tahun setelah Malaysia merdeka! Akta ini bukanlah legasi bangsa penjajah seperti yang dilaungkan oleh golongan anti Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1970). Kami rakyat Malaysia yang masih ingat dengan peristiwa berdarah 13 Mei 1969, memilih untuk tidak lagi mengulangi peristiwa tersebut!

Moralnya mudah, jangan sentuh sensitif seperti Bahagian 3, Perkara 152, Perkara 153 dan Perkara 181 Perlembagaan Persekutuan dan jangan sesekali cuba menghasut!

Namun kita faham, UN mungkin tidak akan dapat berempati dengan rakyat Malaysia amnya, tentang apa yang dimaksudkan sebagai hasutan dan apa yang tidak, dalam konteks tempatan. Apa yang penting ialah kita semua, para pencinta keamanan dan hubungan baik sesama kaum, tahu dan sedar tentang apa yang boleh dan apa yang tidak boleh diperkatakan.

Buktinya berapa ramaikah rakyat Malaysia yang didakwa dengan Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1970) sejak akta tersebut diadakan, cuba pihak UN fikir-fikirkan?

Berapa peratuskah pula daripada tiga puluh juta rakyat Malaysia yang sedang menghadapi pendakwaan menghasut, sehinggakan UN menuduh Malaysia cuba mengekang kebebasan bersuara dengan aman damai?

Kalau UN tidak faham lagi, cuba fikir tentang ini, secara teknikalnya, berapa ramaikah pensyarah yang didakwa dengan Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1970) ketika mengajar dalam bilik syarahan? Persoalannya mengapakah mereka-mereka yang mendakwa teramat sayangkan negaraku, negara kita semua, tidak mahu bersuara, menegur kekhilafan badan-badan antarabangsa ini?

Atau mungkinkah juga mereka sebenarnya bersetuju dengan pandangan-pandangan sejahat itu?

Namun sikap ‘double standard’ yang diperlihatkan badan-badan ini hanya akan lebih membuktikan, cakap-cakap bahawa ianya banyak digunakan oleh Zionis antarabangsa untuk menekan negara-negara yang tidak mengikut telunjuk mereka!

UN juga sudah lama, mempunyai permasalahan moral songsang, sebenarnya!

Itulah juga penyakit yang sudah lama sebati dengan sekumpulan liberalis yang mahu menghalalkan apa saja termasuk perkara-perkara yang telah jelas dilindungi oleh undang-undang tertinggi negara. Jika Perlembagaan Persekutuan sendiri tidak diiktiraf dan dihormati mereka, apa lagi yang boleh kita perkatakan kepada mereka? Bagaimana mungkin dapat kita berasional dengan mereka-mereka yang ‘irrational’?
Apa mungkinkah masih ada remedi kepada penyakit degil, tidak mahu menjadi warga yang bertanggungjawab dengan mematuhi peraturan dan undang-undang?

Adakah atas nama kebebasan bersuara dan berekpresi, seseorang itu boleh menghina hak-hak keistimewaan bangsa Melayu dan anak-anak pribumi Sabah dan Sarawak, hanya kerana hak itu tidak dinikmati oleh mereka?

Apa wajarkah merka mengkritik kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan apabila ianya didapati tidak selari dengan nilai-nilai mereka?

Malah ada juga yang cuba mengkhianati Raja-Raja Melayu yang dilindungi dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan, apabila kelihatan sebagai menjadi batu penghalang kepada gagasan mereka?

Malah ada juga yang sedari dulu terang-terang memperlekehkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa penyatuan semua rakyat Malaysia?

‘Moderates’ jenis apakah mereka ini sebenarnya?!

Berita baiknya, pendekatan tegas yang diambil kerajaan sudah mula membuahkan hasil yang positif. Rakyat Malaysia hari ini sudah mula belajar semula cara-cara untuk menghormati antara satu sama lain. Ada juga yang sudah belajar mengkritik secara tertutup dan bersembunyi-sembunyi seperti sebuah forum tabu baru-baru ini. Mereka mula sedar bahawa sesetengah perkara, tidak boleh dibicarakan dan menyalahi undang-undang jika tidak dipatuhi!

Apa yang kita lihat kini, mereka-mereka yang sering menghina penjawat awam di Twitter juga sudah tidak kelihatan. Malah pos-pos menghina Agama Persekutuan juga semakin berkurangan di Facebook. Keadaan menjadi semakin aman sekarang apabila ahli-ahli politik, pakar-pakar perlembagaan, cendiakawan-cendiakawan, para peguam, para wartawan, ahli-ahli akademik, para kolumnis, aktivis-aktivis ngo dan para pengamal media sosial sudah mula belajar untuk menjadi lebih bertanggugjawab.

Seorang ‘moderates’ yang juga merupakan salah seorang daripada penganalisa politik tempatan, yang sering kali juga mempunyai banyak ideas ‘baru’, baru-baru ini mengutarakan bahawa beliau sendiri lebih berhati-hati kini, apabila diminta oleh mana-mana pihak untuk membuat sebarang kenyataan atau ketika menjawab apa-apa soalan. Jangan kita lupa ini adalah kata-kata yang terkeluar daripada mulut seorang susuk yang pernah meminta supaya Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan itu dihapuskan.

Cuba kita bayangkan jika seseorang seperti di atas dapat belajar untuk menjadi lebih berhati-hati dan bertanggungjawab apabila kerajaan mula memperkuatkuasakan semula penggunaan Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1970), seperti yang dicadangkan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir Mohamad, bagaimana pula dengan kita-kita yang sedari azali ‘meek and mild’ ini?

Syabas kepada Perdana Menteri, Peguam Negara dan Ketua Polis Negara! Semoga apa yang dikecapi kini akan berkekalan lama hendaknya!

3 comments:

  1. Kita mempunyai PM yang mengidap penyakit "L" , ia itu
    Lembik
    Lemah
    Longlai
    Letih
    Lesu
    Lambat
    Lembab
    Lepak
    Laidback
    LIBERAL

    Yang sebaiknya PM harus tegas . Jika tidak berkemampuan harus lah berundur.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Bila sudah mula ramai bercakap mcm tu, ada baiknya dia mula muhasabah dan mula pandang dngan curiga semua yg berkeliling mnjadi penasihat pada dirinya.

      Delete
  2. Moderato kaki modestos terkhayal air kencing shay-tan mcm cenggitu.

    ReplyDelete

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.