Wednesday, 17 September 2014

Saifudin Abdullah Dan Forum Tabu

Oleh : Megat Rizal MH

Mengikut laporan sebuah portal tempatan, Saifuddin Abdullah seorang pemimpin Melayu yang baru-baru ini kalah Pilihanraya ke-13 dan kini sibuk ke hulu dan ke hilir bersama-sama dengan sekumpulan ‘moderates’ telah mengadakan satu forum yang kandungan forum tersebut tidak dibenarkan dilapor media. Pelik.

Kenapakah ini berlaku?

Apa pula perkara tabu yang disampaikan Saifudin sehingga Ambiga tersipu-sipu malu?

Apakah yang telah diperbincangkan oleh si ‘moderates’ kini sehinggakan beliau terpaksa membuat permintaan khas tersebut kepada para wartawan sambil berkata ‘Negara kita masih mempunyai Akta Hasutan (1948, Pindaan 1970) dan adakalanya orang ramai akan tersalah tafsir. Saya sedar bahawa pihak wartawan hanya akan melaporkan berdasarkan kepada apa yang anda semua dengar dan nampak, tetapi pembaca-pembaca mungkin tidak mampu memahaminya dan kemudiaannya pula seseorang itu menghadapi masalah berkaitan dengan apa yang telah dituturkan mereka walaupun dengan niat yang baik’.

Pandai Saifuddin Abdullah boleh menelah niat seseorang! Tentunya beliau juga boleh menelah niat baik kita semua yang ingin tahu isi kandungan yang diperbincangkan beliau dan rakan-rakan ‘moderates’nya yang lain dalam forum tersebut!
Jadi tentunya betapa hairan bin ajaibnya kita semua apabila dihalang daripada mengetahui pandangan bernas kumpulan ‘moderates’ yang digerakkan dengan wang rakyat atas tiket Global Movement of Moderates (GMM) dan Akademi Belia?

Ini bukan majlis kenduri anak Saifuddin Abdullah yang diadakan untuk saudara-mara terdekat sahaja. Ini juga bukan majlis berkhatan cucu Saifuddin Abdullah yang dikhaskan kepada dif-dif terhormat sahaja. Ini adalah satu forum massa yang bergerak dengan dana yang diberikan oleh Kerajaan Malaysia yang mana hasil perbincangannya akan dikumpul dan diberikan kepada Kerajaan Malaysia kelak untuk diambil tindakan.

Jadinya, adakah keterlaluan jika ada diantara kita yang berasa seperti dianak-tirikan apabila gerakan yang menggunakan dana rakyat itu diadakan seperti sebuah kelab ekslusif sekumpulan orang?

Apakah pula kriteria untuk kita-kita, rakyat marhaen yang semestinya akan terkesan secara terus dengan perbincangan ‘gelap’ tersebut, jika mahu terlibat sama untuk memberikan pandangan dan juga berkongsi-kongsi pendapat bersama dengan mereka-mereka, bijak pandai yang lain?

Kenapa pula semacam ada dwi standard yang diamalkan oleh sekumpulan ‘moderates’ ini?

Adakah mereka benar-benar bersederhana dalam pendekatan mereka dalam berforum dan mengumpul maklumat untuk diberikan kepada Kerajaan Malaysia, atau adakah mereka telah mengambil satu pendekatan ekstrem apabila menidakkan sekumpulan majoriti yang lain?!

Apakah ini sebahagian daripada pendekatan Transformasi mesra rakyat yang telah dijanjikan Perdana Menteri setelah diberikan peluang untuk sekali lagi memerintah negara?
Adakah kita semua, kini akan dibahagikan kepada beberapa jenis kelab-kelab seperti, ekslusif dan tidak, terlibat dan terpinggir, ambil kira dan tidak ambil peduli?

Saifuddin Abdullah kemudiaannya cuba memberitahu kita semua yang dinafikan hak untuk tahu, bahawa ini dilakukan kerana terdapat permintaan daripada peserta-peserta forum itu sendiri. Katanya lagi, semasa forum itu berlangsung terdapat beberapa peserta yang bercakap tentang perkara-perkara tabu.
Perkara-perkara tabu? Apakah perkara-perkara tabu yang telah diperbincangkan di forum tersebut? Kita juga ingin tahu? Apa yang sangat tabu sehinggakan ianya tidak boleh dikongsikan sesama kita, rakyat Malaysia kebanyakkan?

“Tetapi ianya dilakukan dalam keadaan kasual dan sopan. Dalam keadaan yang boleh diterima mereka-mereka yang mendengarnya.”

Kata siapa, Saifuddin Abdullah? Dan boleh saya tahu kenapa Saifuddin Abdullah yang memutuskan untuk kita semua, apa yang tabu dan boleh dibincangkan dan apa yang tabu dan tidak boleh diberitahu kepada umum?

Siapakah Saifuddin Abdullah sebenarnya?

Apakah Saifuddin Abdullah hanya menelah bahawa rakan-rakan ‘moderates’nya dan peserta-peserta forum tersebut sahaja yang berniat baik dan kebanyakkan rakyat Malaysia seperti kita yang dipinggirkan dan dinafikan hak untuk tahu, tidak, maka dirahsiakan perkara-perkara tabu yang telah diperbincangkan?!

Atau mungkin juga Saifuddin Abdullah menanggap kita semua bodoh kerana ‘...mungkin tidak mampu memahaminya?’
Amatlah diharapkan supaya Saifuddin Abdullah dapat memberikan jasa baik beliau dan memberikan penjelasan segera! Selagi beliau memilih untuk tidak memberitahu kita semua, sebagai warga prihatin kita berhak untuk bertanyakan beliau perkara-perkara yang berlegar-legar diminda kita semua.
Contohnya, kenapakah Saifuddin Abdullah berhak untuk memutuskan secara bersendirian tentang apa yang kita boleh faham dan apa yang tidak? Kenapakah dia diberikan lesen mutlak untuk memutuskan secara bersendirian tentang apa yang kita semua boleh faham dan apa yang tidak?

Saifuddin Abdullah ini kelakar juga orangnya!

Tambahnya lagi, beliau berpendapat bahawa tidak ada isu yang boleh dianggap sebagai sensitif dan tidak boleh diperbincangkan.

It can be discussed in a civil manner, in a casual manner.”
Saifuddin Abdullah sepatutnya tahu dan sedar bahawa penerimaan seseorang tentang ‘civil manner’ dan ‘casual manner’ sangat berbeza. Apa yang pada pandangan beliau sebagai ‘civilised’ mungkin pada pandangan yang lain sebagai ‘kurang ajar’. Begitu juga dengan sesuatu yang dianggap ‘casual’ oleh sesetengah orang boleh juga dilihat sebagai menghina oleh sesetengah yang lain!

Sebagai contoh jika Artikel 181 diperbincangkan sesama mereka-mereka yang berada di forum tersebut, walaupun sekasual mana pun mereka cuba, kita yang tahu peruntukkan undang-undang sedar bahawa itu merupakan penghinaan dan perderhakaan kepada kedudukan Raja-Raja Melayu seperti yang dipelihara oleh Perlembagaan Persekutuan 1957. Malah perbincangan tersebut sebenarnya satu usaha yang jelas berupa hasutan dan boleh dikenakan tindakan dibawah Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1970) seperti yang dapat kita lihat baru-baru ini.
Jadikah kenapakah Saifuddin Abdullah ‘gets to dictate’ perkara-perkara sensitif yang boleh dibincangkan dalam forum tersebut?
Jadi kita mahu bertanya lagi, apakah mungkin perkara-perkara sensitif yang telah diperbincangkan pada forum tersebut merupakan perkara-perkara yang berkaitan dengan Bahagian 3, Artikel 152, Artikel 153 dan Artikel 181, Perlembagaan Persekutuan 1957?

Adakah ini yang diperbincangkan oleh tiga puluh pertubuhan bukan kerajaan yang terlibat semasa forum tersebut berlangsung?

Jika benar itulah perkara-perkara tabu yang dimaksudkannya, maka kita ingin mengingatkan Saifuddin Abdullah dan juga rakan-rakan ‘moderates’nya supaya jangan sekali-kali cuba membelakangkan Majlis Raja-Raja Melayu dengan memperbincangkan sesuatu perkara yang jelas duduk dibawah kuasa mutlak Raja-Raja Melayu seperti yang termaktub dalam ‘Perlembagaan Malaysia menetapkan dengan jelas, sebarang perubahan kepada undang-undang yang diwartakan di bawah Artikel 10 (4) Perlembagaan Persekutuan, perlu mendapat perkenan Majlis Raja-Raja. Sebarang pengumuman untuk memansuhkan, membuat perubahan atau menambahbaik sebarang undang-undang yang dibuat di bawah Artikel 10 (4) tersebut mesti mendapat perkenan Majlis Raja-Raja terlebih dahulu.’

Artikel 10 (Perlembagaan Persekutuan)

(4) Pada mengenakan sekatan-sekatan demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam di bawah Fasal (2) (a), Parlimen boleh meluluskan undang-undang melarang perbuatan mempersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau hak kedaulatan yang telah ditetapkan atau diperlindung oleh peruntukan Bahagian 3, Perkara 152, 153 atau 181 berhubung dengan apa-apa jua melainkan berhubung dengan pelaksanaannya sebagaimana yang dinyatakan dalam undang-undang tersebut.

Ia ditetapkan dengan jelas di dalam Artikel 159 (5) Perlembagaan Persekutuan.
Artikel 159

(5) Sesuatu undang-undang yang membuat sesuatu pindaan kepada Perkara 10 (4), undang-undang yang diluluskan di bawahnya, peruntukan bahagian 3, Perkara 38, 63 (4), 70, 71 (1), 72 (4), 152, atau 153 atau kepada Fasal ini tidak boleh diluluskan dengan tiada persetujuan Majlis Raja-Raja.

Saifuddin Abdullah kena tampil dan memperjelaskan keadaan sebenar. Beliau harus menerangkan kepada seluruh rakyat Malaysia tidak kira latar belakang dan warna kulit tentang perkara-perkara tabu yang telah diperbincangkan di forum anjuran GMM yang dikepalainya.

(Kalau boleh terangkan sekali siapa, daripada organisasi mana, berkata apa, tentang artikel berapa Perlembagaan Persekutuan?)

Kita tidak mahu tuduhan dan fitnah dilemparkan kepada beliau jika beliau masih berdegil dan berterusan masih mahu berbincang tentang #MasaDepanMalaysia secara sembunyi-sembunyi, takut-takut ada pula suara-suara sumbang nanti mengatakan Saifuddin Abdullah sedang menggerakkan satu mobilisi massa untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara republik dan cuba mengkhianati Raja-Raja Melayu!

Kita juga tidak mahu GMM nanti dikenali sebagai Gerakan Maha Menghasut yang pemimpinnya nanti bakal dikenakan dakwaan menghasut dibawah Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1970).
Kita tahu bahawa beliau tidak akan tergamak untuk berbuat seperti itu dan kita tahu niat beliau baik-baik belaka!



Ben Yaacob : Era Government Knows Best sudah berakhir. Memperkenalkan era Saifudin Knows better.

4 comments:

  1. naper ah jib gor byk brgantung harap dgn org2 yg parti dia sendiri reject? X phm aku.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Mengamalkan Jalakrasi di dalam pentadbiran, maka adalah mudah difahami kebingungan kita semua untuk memahami tindak tanduknya lewat ini.

      Delete
  2. Brkawan dgn rejct, jgn ler tekejut bila kene reject nanti Pak Jib.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Rasulullah s.a.w. pernah berpesan,

      Hadis Rasululah SAW yang bermaksud,
      “Seseorang itu adalah mengikut agama temannya, oleh itu hendaklah seseorang itu meneliti siapa yang menjadi temannya.”
      (Hadis riwayat Abu Daud).

      Delete

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.