Thursday, 4 September 2014

Penambahbaikan Akta Hasutan : Akta Derhaka perlu diwujudkan



Peserta seminar Institusi Raja mengikuti dengan penuh minat pembentangan kertas kerja oleh panel jemputan dalam seminar anjuran Universiti Malaysia Perlis yang diadakan di Lanai Kijang, Bank Negara, Kuala Lumpur, semalam. - utusan/Noor Asrekuzairey Salim


KUALA LUMPUR 6 Jun - Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Noor Abdullah (gambar) mencadangkan Akta Derhaka diwujudkan bagi membendung penularan gejala menghina institusi diraja yang semakin serius kebelakangan ini.
Malah, beliau turut mencadangkan agar hukuman minimum kepada pesalah jenayah menderhaka kepada raja itu nanti mestilah ditetapkan tidak kurang daripada dua tahun penjara.

Katanya, undang-undang derhaka kini terletak di bawah cabang Akta Hasutan 1948 sedangkan perbuatan menghasut dan menderhaka kepada raja adalah dua perbuatan berbeza.

"Akta Derhaka itu perlu menyenaraikan semua kesalahan yang boleh ditafsirkan sebagai menghina raja termasuk sama ada melalui perbuatan, ucapan, sindiran mahu pun dalam bentuk ilustrasi.

"Dengan adanya undang-undang khas yang memperuntukkan hukuman lebih tegas sudah pasti rakyat akan lebih berhati-hati sebelum mengeluarkan kenyataan terhadap raja dan institusinya pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas membentangkan kertas kerja yang bertajuk "Kedaulatan Raja dalam Perlembagaan Malaysia" pada Seminar Institusi Raja (SIRaj) anjuran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Noor bagaimanapun mahu rakyat khususnya generasi muda diberi pendedahan dan penjelasan terlebih dahulu tentang Raja Berperlembagaan yang diamalkan di negara ini sebelum akta itu dilaksanakan.

"Tidak adil jika kita mahu menghukum tanpa memberi pendedahan serta penjelasan kepada rakyat dengan secukupnya," ujarnya.

Sementara itu, beliau turut menggesa rakyat untuk menerima serta patuh kepada undang-undang yang ada di dalam negara ini.

Jelas beliau, jika ada golongan minoriti yang suka melanggar undang-undang, rakyat perlu menolak serta menjauhkan diri daripada golongan tersebut.

"Mereka yang melanggar undang-undang perlu dihukum dan bukannya disokong.
"Dengan menolak kumpulan kecil yang tidak menghormati undang-undang, kita akan dapat melahirkan masyarakat yang hidup aman dan harmoni," jelasnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130607/dn_02/Akta-Derhaka-perlu-diwujudkan#ixzz3CJ6p0cc3
© Utusan Melayu (M) Bhd 

1 comments:

  1. Amat setuju Akta Derhaka diujudkan , tiru akta Thailand yang berkaitan dengan Raja pun tak apa. Jangan beri muka kepada penghasut.

    makin dibiar makin melampau. Tetapi BERANI kah Najib dan KDN memulakan langkah?

    ReplyDelete

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.