Tuesday, 23 September 2014

Menutup Pintu Kebobrokan : Sokong Jelajah Malaysia Tanpa Liberal

Melihat apa yang menimpa umat Islam di seluruh dunia, tidak dapat tidak, kita melihat terdapat satu bentuk trend untuk mengubah penghayatan serta pengamalan Islam dari terus berakar kepada Al Quran dan Sunnah, kepada sesuatu yang berlandaskan hawa nafsu.

Jika dahulu musuh Islam datang di dalam pakaian perang yang jelas terang mengetuk pintu untuk mengancam keselamatan akidah, jiwa dan raga umatnya. Musuh-musuh Islam pada waktu itu amat mudah untuk kita kenali. Apabila musuh mudah dicam atau dikenali, kita mudah untuk membina pertahanan, merangka strategi serangan balas dan membuat perancangan jangka pendek dan panjang untuk kemaslahatan umat Islam untuk generasi akan datang.

Tetapi kini, musuh Islam datang dari rupabentuk dan pakaian umat Islam sendiri. Pada mulut mereka, ayat al Qur’an yang diucap bagai anak panah yang diluncurkan dari busurnya. Mereka bercakap mengenai agama dengan tafsiran-tafsiran songsang. Kebanyakan mereka bukan wujud dengan sendirinya, tetapi kemunculan mereka adalah kerana mereka telah dibentuk, didanai serta dihantar ke dalam kelompok umat Islam untuk meruntuhkan kekuatan Islam dari dalam.

Musuh di luar selimut sangat mudah untuk dikenali. Tetapi musuh di dalam selimut, menyimpan gunting dalam lipatan. Kita mungkin tidur sebantal, makan semeja dan bersolat dalam Jemaah yang sama. Tetapi apabila tangan mereka mula menjadi kuat dan dirasakan berkemampuan untuk menundukkan Jemaah Islam yang patuh kepada perintah Allah, maka bermulalah perpecahan dan keruntuhan kekuatan Jemaah Islam.

Lihat sahaja runtuhnya Khilafah pada 1924 melalui percaturan halus dan kemunculan golongan dengan pelbagai aspirasi asing cuba membuat perubahan drastik ke atas sistem-sistem nilai yang selama ini digunapakai oleh umat Islam.

Bermula dari kejatuhan Khilafah pada 1924, satu persatu negara-negara Islam mula dipecahkan. Jika dahulu mereka menyerang menggunakan tentera, tetapikita mereka menyerang menggunakan serangan demi serangan dalam bentuk ideologi yang bakal memisahkan umat Islam dari jalan Islam sebenar.

Malaysia tidak terkecuali. Bermula sejak tahun 2000, langkah golongan musuh dalam selimut ini semakin deras dan galak menjalankan aktiviti merosakkan Islam dari dalam. Kini, kitatidak lagi terkejut melihat wajah-wajah umat Islam dengan nama-nama Islam pada kad pengenalan mereka, berhujah, berdebat, berbahas serta tanpa segan silu cuba menganjurkan kepada dunia Islam di sebelah sini tentang idea-idea yang bertentangan dengan agama Islam yang dianuti kad pengenalan mereka sendiri.

Kita tidak lagi hairan kerana ia telah menjadi satu fenomena buruk yang sedang berleluasa kini. Muslim-muslim ini tidak lagi bersegan silu bersetuju dengan zina, kemabukan, pluralisme agama, LGBTIQ, kahwin rentas agama, pemurtadan dan sebagainya.

Bagi mereka, agama itu hak peribadi. Jemaah serta negara tiada hak untuk mencampuri sebarang urusan agama setiap rakyatnya. Mereka mengatakan bahawa urusan keimanan mereka jangan dicampuri dan langsung tidak boleh ditegur ketika mana mereka sibuk mempromosikan tentang maksiat dan dosa. Mereka kini, sedang pantas meniru apa yang telah berlaku kepada umat Yahud dan Nasrani bilamana agama itu hanya dianggap sebagai anutan untuk perkara-perkara ceremonial sahaja.
Benarlah kata Rasulullah s.a.w., umat Islam akan bertemu dengan generasi umat Islam yang hidup menuju ke lubang biawak. Inilah generasi yang sedang terhidang dihadapan kita.

Generasi ini bisa meruntuhkan dan meletakkan agama kembali ke dalam penjara. Islam sebagai Agama Negara di dalam Perlembagaan Persekutuan tidak akan mempunyai apa-apa makna kecuali kewujudan imej bulan dan bintang pada bendera negara.

Jika kebejatan ini tidak disekat, percayalah, dalam tempoh kurang dua dekad dari sekarang, apabila anak-anak cucu kita cuba dimurtadkan, kita tidak mampu berbuat apa-apa dari segi perundangan kerana agama kini bukan lagi urusan negara untuk menguruskan dan mentadbirkannya. Ketika ini sendiri telah muncul beberapa kes di mana wanita-wanita Islam yang dilarikan dari keluarga semata-mata untuk berkahwin dengan pasangan yang bukan Islam mengikut adat agama bukan Islam tanpa boleh dikenakan tindakan undang-undang yang efisien. Tidak perlu kami menyebut kes-kes tersebut kerana ia sudah menjadi rahsia umum yang diketahui ramai pihak.

Untuk menutup pintu kejahatan ini daripada terus berleluasa, timbul keinsafan dan kesedaran dari sekelompok pejuang-pejuang agama dan bangsa untuk Bangkit! menyedarkan pihak awam tentang apa yang sedang berlaku disekeliling mereka.

Pihak Gabungan Bela Hak Insan Pulau Pinang (GABUNGAN) baru-baru ini telah mengadakan siri jelajah Malaysia Tanpa Liberal di kawasan Utara. Ia melibatkan sesi penerangan bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang telah ditetapkan dan turut melibatkan penerangan secara berkelompok serta pemberian maklumat melalui perkongsian pamphlet kepada pihak awam. Usaha seperti ini perlu disokong dengan kuat oleh semua pihak. Fardu Kifayah yang sedang dijalankan mengangkat beban dosa kita di sini yang tidak melakukan apa-apa ketika mana umat sedang dikepung.


Negara kita sedang diserang secara rohani dan fizikal. Tiga peristiwa besar pada tahap tragedi yang berlaku di dalam negara lewat setahun dua ini menunjukkan bahawa kekuatan kepada gerakan yang mahu meruntuhkan sistem sedia ada melalui tekanan-tekanan berbentuk fizikal sedang bergerak pantas.

Mereka telah menyerang kita melalui kejatuhan ekonomi. Mereka telah menyerang kita melalui serangan fizikal. Mereka telah menyerang kita dengan golongan yang membuat kacau di dalam negara. Mereka telah menyerang orang-orang awam kita yang dihilangkan serta dibunuh secara beramai-ramai untuk menjadikan kita tunduk kepada kehendak pihak-pihak tertentu. Tetapi perpaduan kita masih lagi utuh. Semuanya kerana jumlah manusia liberal di dalam negara kita tidak cukup untuk membentuk kekuatan yang bisa meruntuhkan.

Kini mereka sedang giat mendanai gerakan-gerakan di bawah pelbagai label NGO, parti politik, gerakan awam, media sosial dan sebagainya untuk menghasut seberapa ramai rakyat Malaysia supaya terpengaruh dengan cara pemikiran yang tidak lagi mengutamakan kepada panduan agama. Manusia-manusia di Malaysia harus diliberalisasikan daripada sebarang ketaatan kepada agama.Apabila ini tercapai nanti, mudah sahaja mereka menumbangkan segala yang ada tanpa sebarang masalah.

Kita telah melihat Iraq, Syria, Libya, Afghanistan, Sudan, Mesir, Palestin dan banyak lagi negara Islam telah runtuh dan cuba diruntuhkan. Yaman kini pula sedang bergolak. Apa kita fikir Malaysia terlalu istimewa sehinggakan akan selama-lamanya kebal daripada pergolakan dan keruntuhan sedemikian rupa? Jika itu fikiran kita, maka kita sangat-sangat tersilap.

Tutup pintu kejahatan daripada merebak bagai wabak dengan segera. Ayuh kita sokong gerakan menutup segala pintu kejahatan ini melalui didikan, perkongsian maklumat, sumbangan dana, bantuan tenaga dan sebagainya supaya saudara mara kita yang masih tidak mengetahui ancaman yang berada disekeliling mereka sedar tentang hakikat mereka sedang diancam oleh musuh-musuh yang tidak dikenali mereka.

 GABUNGAN dan program Jelajah Malaysia Tanpa Liberal akan diteruskan lagi.  Kali ini dengan kerjasama Aman Palestin Malaysia Cawangan Pulau Pinang, satu program pengisian ceramah akan diadakan pada 27 September 2014 bertempa di Padang Bola, Taman Sri Pinang, Sungai Puyu, Butterowrth Pulau Pinang. Semua yang mengambil peduli tentang nasib umat Islam, keselamatan agama Islam serta isu perpaduan ummah adalah dijemput hadir. Mohon sebarkan butiran program seperti di bawah.

Ustaz Mohamed Hafiz bin Mohamed Nordin (PEMBELA, GABUNGAN, BADAI dan Pencetus idea serta Penyelaras BANGKIT!) akan berada di sana sebagai Penceramah Pertama. Manakalah Ustaz Budiyanto Unggun, Pengerusi Aman Palestin Pulau Pinang akan turut menyampaikan pesan, maklumat serta perkongsian di atas tajuk yang sama.

Kami pasukan kerja Bangkit! menyokong penuh usaha Jelajah serta Program seumpama ini.


Pelancaran Tabung derma untuk Pembangunan Semula Gaza turut akan dilancarkan. Kita sama saling bantu membantu.

Semoga sokongan yang sama diberikan tuan-tuan dan puan-puan kepada program ini nanti. Hadirkan diri untuk masa depan ummah nanti.

0 comments:

Post a Comment

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.