Thursday, 18 September 2014

Memperingati tragedi Sabra & Shatila

Berikut merupakan Artikel Tuan Azril Mohd Amin yang disiarkan Utusan Malaysia semalam. Penyembelihan Sabra dan Satila mengingatkan kita tentang apa yang berlaku di Baitul Maqdis ketika tentera salib mengepung tempat tersebut. Mereka memberikan jaminan bahawa semua orang Islam yang meletak senjata dan berlindung di dalam Masjidil Aqsa akan diberikan perlindungan secukupnya. Menjelang subuh, bala tentera pengganas Kristian di dalam perang salib menyerbu masjid suci tersebut dan menyembelih ke semua orang-orang Islam yang tidak berdosa di dalamnya. Dilaporkan, darah yang bertakung di dalam masjid akibat pembunuhan itu  melepasi takat buku lali sesiapa yang memijak masuk ke dalam Masjidil Aqsa. Begitu juga dengan pembakaran kapal dan serta pembunuhan beramai-ramai selepas diberikan jaminan oleh pengganas Kristian yang menyerbu dan menyerang Andalusia. Lihat sahaja apa yang berlaku di Sabra dan Shatila 32 tahun yang lalu. Ianya dalam bentuk modus operandi yang sama. Yang terdekat dengan kita ialah peristiwa pembantaian Muslim di Ambon. Malang sekali kita masih tidak mahu mengambil pengajaran. Berikut penulisan Tuan Azril Mohd Amin.


Memperingati tragedi Sabra & Shatila


MAYAT mangsa tragedi pembunuhan beramai-ramai di kem pelarian Sabra dan Shatila bergelimpangan. Kekejaman itu tercetus pada 16 September 1982 dan berlarutan selama tiga hari.


Oleh : Azril Mohd Amin

SEMALAM, 16 September 2014 merupakan ulang tahun ke-32 peristiwa pembunuhan beramai-ramai di kem pelarian Sabra dan Shatila di Beirut, Lebanon. Sekurang-kurangnya 3,000 orang awam, kebanyakannya pelarian wanita, warga tua dan kanak-kanak Palestin, terkorban dalam tragedi pembunuhan yang berlangsung selama tiga hari, angkara anggota militia sayap kanan Parti Phalangist Lebanon yang bersekutu dengan Israel.

Askar Israel mengepung kem-kem itu dan para penghuninya dibedil dengan dahsyatnya. Kemudian, puak Phalangist dibenarkan masuk dan tentera Israel menerangi langit malam dengan suar-suar untuk membolehkan pembunuhan beramai-ramai itu dilakukan. Terdapat laporan saksi bahawa beberapa askar Israel turut mengambil bahagian dalam pembunuhan tersebut.

Sebuah suruhanjaya penyiasat Israel menyimpulkan sejurus selepas itu bahawa kerajaan Israel 'bertanggungjawab secara tidak langsung' terhadap pembunuhan tersebut dan bahawa Ariel Sharon, selaku Menteri Pertahanan dan pencatur operasi pencerobohan 1982 itu, 'memikul tanggungjawab peribadi' kerana gagal mencegahnya.

Menjadi persoalan lain pula apabila tindakan tidak diambil terhadap Sharon, yang seterusnya menjadi Perdana Menteri dan berperanan penting dalam usaha melemahkan perjanjian damai Oslo dan meneruskan pendudukan Israel di tanah Palestin. Seperti yang dinyatakan oleh Noam Chomsky, siasatan rasmi Israel itu 'tidak ditujukan kepada orang yang memihak kepada kebenaran dan ketelusan'.

Sebuah suruhanjaya siasatan antarabangsa yang diketuai oleh negarawan Ireland, Sean MacBride, pada 1982 menyimpulkan bahawa Israel 'bertanggungjawab secara langsung' kerana kem-kem tersebut berada di bawah jagaannya selaku 'kuasa takluk'. Meskipun Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menggambarkan pembunuhan beramai-ramai di Sabra dan di Shatila itu sebagai 'jenayah pembunuhan' dan mengisytiharkannya sebagai perbuatan menghapuskan sesuatu kaum, namun Israel tetap bebas daripada sebarang tuduhan.

Kira-kira dua tahun lepas, muncul bukti baharu yang menunjukkan bahawa kerajaan Amerika Syarikat pada hakikatnya memang menyedari aktiviti tentera Israel dan sekutu-sekutu tempatan mereka pada hari-hari tersebut tatkala pembunuhan beramai-ramai itu dilakukan.

Akhbar The New York Times, menyiarkan sebuah laporan panjang lebar bertajuk 'A Preventable Massacre' yang disiarkan pada 17 September 2012. Ia menyatakan bahawa Israel telah 'menipu' Washington untuk mempercayai bahawa beribu-ribu 'pengganas' berkubu di dua kem tersebut dan tindakan ketenteraan diambil untuk menghapuskan mereka.


Hanya ini yang tinggal daripada struktur rumah keluarga Palestin di pekan Khan Younis di selatan Genting Gaza, selepas musnah dibedil tentera Israel dalam perang yang mengorbankan hampir 2,000 rakyat Palestin. - AGENSI


Seth Anziska, penuntut kedoktoran di Universiti Colombia yang menulis rencana berkenaan, memetik dokumen-dokumen rasmi untuk menunjukkan bahawa pihak berkuasa Israel sengaja memperdayakan rakyat Amerika untuk mempercayai dakwaan palsu bahawa beribu-ribu pejuang Palestin, yang digelar 'pengganas' oleh Israel, berkubu di penempatan pelarian Sabra dan Shatila yang serba daif itu.

Anziska menyandarkan kajiannya pada dokumen-dokumen Israel yang didedahkan baru-baru ini dan diperolehinya dari arkib kerajaan. Rencana tersebut menyebut; "Yang paling merunsingkan, apabila Amerika Syarikat berada dalam kedudukan yang mampu memberikan tekanan diplomatik kuat terhadap Israel untuk menghentikan keganasan tersebut, namun gagal berbuat demikian."

Pembunuhan berlaku setelah para pejuang Palestin meninggalkan Beirut Barat berikutan jaminan pihak Amerika bahawa orang awam akan diberi perlindungan. Amerika Syarikat telah menggerakkan askar marinnya sejurus selepas pemergian angkatan pejuang Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dari Lebanon. Beirut Barat berada di bawah kawalan angkatan PLO selama bertahun-tahun. Tetapi dalam tempoh 10 hari selepas mereka pergi, askar marin Amerika Syarikat pula, yang sepatutnya membantu mengekalkan keamanan, telah meninggalkan Beirut. Maka medan terbuka luas bagi tentera Israel dan sekutunya daripada golongan sayap kanan Kristian.

Pada 15 September, Perdana Menteri Israel pada ketika itu, Menachem Begin, telah memberitahu wakil khas Amerika Syarikat di negaranya, Morris Draper, bahawa askar-askar Israel sedang memasuki Beirut Barat untuk mencegah berlakunya 'pogrom', iaitu tindakan penghapusan etnik. Sehari sebelumnya, Presiden Lebanon yang memihak Israel, Basher Gemayel, yang baru sahaja memegang jawatan, telah dibunuh.

Menjelang 16 September, iaitu hari pertama pembunuhan beramai-ramai itu, tentera Israel telahpun menguasai Beirut Barat sepenuhnya, termasuk kem pelarian di Sabra dan Shatila. Pada peringkat ini, pihak Washington semestinya sudah nampak muslihat Israel.

Lawrence Eagleburger, Setiausaha Rendah Negara Amerika Syarikat, memberitahu duta Israel, Moshe Arens, bahawa; "Kami dipandang oleh sesetengah pihak sebagai mangsa penipuan yang disengajakan oleh Israel."

Eagleburger telah mendesak agar askar-askar Israel segera berundur dari Beirut Barat. Tetapi Israel enggan berganjak. Sharon, selaku Menteri Pertahanan, memberitahu Draper bahawa terdapat seramai '2,000 hingga 3,000 pengganas yang masih berada' di Sabra dan Shatila.

Rencana akhbar The New York Times itu menggambarkan Draper sebagai 'terkejut' apabila diberitahu bahawa Sharon sedang merancang untuk menghantar anggota militia Phalange yang zalim itu ke kawasan berkenaan. Ketua Turus tentera Israel, Rafael Eitan, memberitahu rakyat Amerika mengenai kebimbangannya bahawa 'suatu pembunuhan yang tidak terbatas' akan berlaku sebaik sahaja puak Phalangist dibenarkan memasuki Beirut Barat.

Desakan Draper mengenai pengunduran Israel terus dibantah oleh Sharon, yang pada ketika itu amat sedar bahawa pembunuhan beramai-ramai di Sabra dan di Shatila telah pun bermula. Sharon telah meyakinkan Draper bahawa perkara yang melampaui batas tidak akan berlaku, sebaliknya memanipulasi berita bahawa pembunuhan 'pengganas' akan 'menguntungkan' mereka.

Sejarah memaparkan pihak Amerika telah membiarkan Sharon membuat kata putus. Puak Phalangist dan tentera Israel dibenarkan meneruskan pembunuhan di Sabra dan di Shatila tanpa dihalang selama tiga hari tiga malam.

Presiden Ronald Reagan menunggu sehingga 18 September untuk mengeluarkan kenyataan yang melahirkan 'rasa jijik dan marah mengenai pembunuhan' tersebut. Beliau berkata, Amerika Syarikat menentang pendudukan Israel di Beirut Barat kerana 'percaya bahawa ia salah dari segi prinsip dan bimbang bahawa perbuatan itu akan mencetuskan pertempuran selanjutnya'. Setiausaha Kerajaan, George P. Schultz, menegaskan Amerika Syarikat menanggung 'sebahagian tanggungjawab' terhadap pembunuhan tersebut kerana mempercayai kata-kata Israel dan Lebanon.

Sejak itu, pentadbiran Amerika Syarikat semakin diperbodohkan dengan hal-hal yang berkaitan dengan komitmen dan janji pihak Israel.

Peristiwa Sabra dan Shatila adalah salah satu kemuncak kezaliman Israel yang tidak dilupakan masyarakat dunia. Semenjak itu, Israel terus melakukan banyak lagi kekejaman.

Dengan serangan terbaru terhadap Gaza, tahun ini sahaja menyaksikan lebih 1,500 orang terbunuh lantas mengulangi memori pedih Sabra dan Shatila.

Kini, pentadbiran Barack Obama ditekan pelobi Yahudi yang menguasainya lantas membuatkan ramai pemerhati dan penganalisis merasakan bahawa peristiwa terbaru ini menandakan Israel sekali lagi berjaya mengemudikan dasar luar Amerika ke arah manfaatnya.

Dengan berlatarbelakangkan hakikat tersebut, tidak hairanlah mengapa hanya sebilangan kecil sumber media Barat yang mengambil kisah untuk memperingati ulang tahun ke-32 pembunuhan beramai-ramai di Sabra dan Shatila, sementara masyarakat dunia terus dilumpuhkan dengan penipuan Israel, yang dibiarkan bermaharajalela menguasai dunia dengan keganasannya.

PENULIS ialah peguam dan Pengarah Eksekutif, Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA).


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140917/re_01/Memperingati-tragedi-Sabra-Shatila#ixzz3DduE7pbO
© Utusan Melayu (M) Bhd 

0 comments:

Post a Comment

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.