Tuesday, 9 September 2014

Ketepikan syor wujud akta baharu

KUALA LUMPUR 8 Sept.- Kerajaan digesa mengetepikan cadangan mewujudkan akta baharu bagi menggantikan Akta Hasutan 1948, sebaliknya melaksanakan dengan tegas akta sedia ada itu dengan menambah baik peruntukan-peruntukan yang perlu.
Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad berkata, alasan bahawa Akta Hasutan perlu dimansuhkan demi untuk mencapai perpaduan kaum di negara ini tidak berasas langsung sebaliknya dilihat hanya helah untuk menghapuskan akta tersebut oleh pihak yang tidak sukakannya.



"Patutkah Akta Hasutan dimansuhkan? Jawapan saya, tidak. Patutkah ia dipinda? jawapan saya, ya. Masukkan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan (Islam agama Persekutuan) ke dalam Seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan bersama-sama Perkara 152, 153, 181 dan Bahagian III," katanya di dalam blog www.tunabdulhamid.com hari ini.
Abdul Hamid berkata, adalah lebih baik jika kerajaan memansuhkan kesalahan menghasut terhadap kerajaan di dalam Akta Hasutan sebaliknya mengekalkan kesalahan dan hukuman terhadap raja di dalam undang-undang tersebut.
"Ini lebih demokratik, lebih telus dan lebih terbuka. Hari ini pun, walaupun larangan itu ada, setakat saya tahu, kerajaan tidak pernah mengambil tindakan terhadap orang mengkritiknya kerana itu sebahagian proses demokrasi. Untuk apa dikekalkan peruntukan itu?" katanya.

Abdul Hamid dalam pada itu turut mencadangkan agar segala urusan meminda atau berkaitan Akta Hasutan hendaklah diuruskan sendiri oleh kementerian bertanggungjawab iaitu Kementerian Dalam Negeri.

Katanya, tindakan pihak lain yang berperanan mendraf rang undang-undang baharu bagi menggantikan Akta Hasutan menimbulkan pelbagai persoalan selain menampakkan pihak berkenaan mempunyai agenda serta helah tertentu yang menggunakan alasan Akta Hasutan perlu dimansuhkan demi perpaduan kaum.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif, Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia, Azril Mohd. Amin bersetuju dengan pandangan Abdul Hamid agar Perkara 3 dan 11 Perlembagaan Persekutuan dimasukkan ke dalam Seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan bagi mencegah sebarang kecenderungan atau perlakuan menghasut yang boleh menyebabkan penghinaan terhadap agama dilakukan khususnya terhadap Islam sebagai agama Persekutuan.

"Cadangan pindaan ke arah memperkasakan akta ini perlu dinilai secara objektif dan dilakukan berdasarkan keperluan dan realiti semasa di negara kita. Cadangan ini juga tidak boleh dilihat dari perspektif dan keghairahan mencapai standard hak asasi manusia semata-mata.

"Oleh kerana jatuh bangun negara dalam aspek keharmonian, perpaduan dan ketenteraman nasional amat bergantung kepada realiti budaya, sejarah dan faktor keagamaan dan berbeza dengan negara negara-negara lain yang juga mempunyai alasan dan latar belakang tersendiri dalam menentukan peruntukan undang-undang masing-masing," katanya


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140909/dn_06/Ketepikan-syor-wujud-akta-baharu#ixzz3ClwCvIiM
© Utusan Melayu (M) Bhd 

0 comments:

Post a Comment

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.