Thursday, 4 September 2014

Kesederhanaan ASEAN, Kegelojohan Menteri Agama Indonesia & Kebutuhan Hak Asasi ‘BERLEBIHAN’ Yang Sedang Berlaku Di Irian Jaya!

Dan (ingatlah) tatkala Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: "Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar". (Luqman ayat 13)


Oleh : Megat Rizal M.H.

Menteri Agama Indonesia tidak perlu berkelakuan kurang ajar dengan menghina sistem perundangan Malaysia, sebuah negara berdaulat. Kita di Malaysia mengamalkan resam pepatah Melayu, ‘Di Mana Bumi Dipijak, Di Situ Langit Dijunjung’! Beliau harus ingat bahawa Malaysia, tidak seperti Indonesia, tidak mengamalkan pluralisme agama dan liberalisme melampau, sehingga rakyat menjadi keliru dan celaru, seperti apa yang boleh kita lihat berlaku di Indonesia. Kita sedar keadaan ini semakin membarah di Indonesia dan Bapak Menteri Agama Indonesia itu, mungkin lahir daripada kebobrokan tersebut.

Bapak Menteri Agama Indonesia perlu sedar, ‘Halimah’ di Malaysia, tidak seperti di Indonesia, tentu saja nama seorang Muslim. Hal yang sama tidak berlaku di Indonesia seperti yang kita semua belajar baru-baru ini dengan kes wanita yang baru disahkan Katolik asal Indonesia bernama Halimah yang ditangkap berkhalwat di Pulau Pinang. 

Sebagai rakan tetangga yang baik, Indonesia patut menghormati malah perlu meraikan perbezaan yang ada sesama negara tetangga. Sama seperti ketika kita, Malaysia menghormati Indonesia semasa tercetusnya konflik berdarah Timur Timor yang menyaksikan negara tersebut menyembelih ratusan rakyatnya sendiri. Kita tahu dan sedar akan pemain yang terlibat dengan gerakan yang mahu memecah-belahkan wilayah berdaulat Republik Indonesia, maka sebagai tetangga yang baik, kita mengunci mulut dan membiarkan Indonesia menguruskan hal dalaman negaranya dengan sendiri.

Ini sebenarnya selari dengan apa yang sudah sekian lama dipraktikan tetangga ASEAN, seperti Malaysia, yang mana Indonesia, masih merupakan salah sebuah negara ahli yang aktif. Mungkin juga Menteri Agama Indonesia masih belum diberi penjelasan tentang prinsip-prinsip utama
ASEAN, lalu membuat pernyataan goblok yang melampau?!

Sudahkah Bapak Menteri (yang baru dilantik) membaca Piagam ASEAN? Jika masih belum, sila baca dulu Piagamnya, jangan berkomentar dulu Pak! Suka juga kita di Malaysia untuk mendidik beliau bahawa ‘menghormati
kemerdekaan, kedaulatan, kesamaan, integriti wilayah kebangsaan, dan identiti kebangsaan setiap negara’ adalah salah satu daripada prinsip utama ASEAN. Itu Bapak Menteri perlu hormat dan belajar untuk selamanya hormat. Tahukah Bapak Menteri juga bahawa setiap Negara ASEAN itu berhak untuk memimpin negaranya sendiri, ‘bebas daripada campur tangan, subversif atau paksaan pihak luar’? Adakah Indonesia, yang mempunyai wilayah yang sangat luas dengan puluhan ribu pulau, sudah mahu memulakan teladan yang tidak baik dengan mencampuri urusan dalaman negara-negara tetangga ASEAN dan melanggar prinsip-prinsip utamanya? Adakah Indonesia sudah berkira-kira mahu keluar daripada ASEAN? Jika tidak, bagaimanakah pula dengan pendirian kasar, kurang ajar dan cetek pemikiran seperti yang ditunjukkan Indonesia kini, dapat memupuk ‘kerjasama efektif sesama anggota’, satu lagi prinsip utama penubuhan ASEAN?

Makanya kami di Malaysia suka menyarankan kepada Indonesia agar keluar daripada ASEAN dengan kadar segera! Apa gunanya Indonesia bermuka-muka sebagai salah satu daripada negara tetangga ASEAN jika prinsip-prinsip
utama penubuhan ASEAN itu sendiri sudah tidak betah didukung Indonesia? Mungkin juga Sekretariat ASEAN di Jalan Sisingamangaraja, Jakarta Selatan perlu dipindahkan saja!

Indonesia juga dengan kecenderungan baru, patut keluar daripada NAM, Gabungan Negara-Negara Berkecuali, kerana sudah mempunyai kecenderungan untuk menggantikan Amerika Syarikat sebagai ‘polis dunia’ yang suka membuli mana-mana negara yang tidak sependapat dengan mereka! 

Tentunya kita masih ingat dengan ultimatum yang diteriakkan G. W. Bush, ‘It’s either you are with us or against us?’, apa benar itu yang mahu disuarakan oleh Menteri Agama Indonesia yang baru ini?

Jika benar maka sia-sia saja Perhimpunan Bandung untuk mengekang imperialisme sama ada dalam bentuk kolonialisme dan neo-kolonialisme yang diusahakan oleh Indonesia 60 tahun lalu, yang menjadi titik tolak kepada penubuhan NAM. Lima prinsip-prinsip NAM yang disepakati oleh ‘the founding fathers’ yang mana salah seorang daripadanya merupakan Presiden Sukarno itu sendiri seperti ‘Mutual respect for each other's territorial integrity and sovereignty’, ‘Mutual non-interference in domestic affairs’ dan ‘Peaceful co-existence’ adalah berdasarkan kepada sepuluh perkara Deklarasi Perhimpunan Bandung 1955, diantaranya, ‘Respect for the sovereignty and territorial integrity of all nations’ dan ‘Abstention from intervention or interference in the internal affairs of another country’.

Apakah Bapak Menteri Agama Indonesia sudah lupa? Atau Bapak Menteri alpa dengan sejarah negara sendiri? Mungkin juga Bapak Menteri Agama Indonesia lupa yang dia baru dilantik sebagai Menteri Agama Indonesia sahaja dan bukannya Malaysia dan semestinya kita, di Malaysia, tidak membutuhkan ‘kementriannya’ untuk memberikan sebarang pendapat tentang isu kalimah ‘Allah’ yang telah dibahas bertahun lama di Malaysia dan telah pun diputuskan kesnya oleh makhamah tertinggi kami, yakni 
Mahkamah Persekutuan Malaysia . Bapak Menteri Agama Indonesia yang baru harus belajar bersabar, itu separuh daripada Iman.

Mungkin juga Bapak Menteri perlu mula belajar menghormati tetangga seperti Malaysia, dan belajar menjadi lebih bertanggungjawab supaya pendapat peribadi beliau, disimpan kemas dalam hati dengan belajar mengunci mulut, terutamanya akan hal yang berkaitan dengan kedaulatan negara lain. Malaysia bukanlah sebuah republik seperti NKRI. 

Malaysia ada Agama Persekutuan, yakni Islam seperti yang termaktub kemas dalam Artikel 3(1), Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Artikel 11(4) Perlembagaan Persekutuan Malaysia pula menyatakan dengan jelas bahawa ‘Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama dikalangan orang yang menganuti agama Islam’.

Dan tahukah Bapak Menteri bahawa, Bapak sudah menimbulkan kemarahan kami, rakyat Malaysia, sebuah negara berdaulat apabila tidak 
menghormati kedudukan Ketua-Ketua Agama Islam kami, yakni terdiri daripada Raja-Raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong?!

Tentunya kita tidak mahu cara gelojoh Bapak Menteri yang mencampuri kedaulatan wilayah Malaysia menjadi pemangkin kepada gerakan-gerakan pemisah yang mahukan Republik Indonesia berpecah seperti yang kita sedang lihat berlaku di Irian Jaya!

Mungkin Bapak Menteri boleh menoleh ke belakang dan melihat sejenak serta menyiasat tentang kekerasan ‘BERLEBIHAN’ yang sedang diperkatakan OPM (Organisasi Papua Merdeka) di Irian Jaya!


10 comments:

  1. Dia ingat dia besar.....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tanduk keluar jika kena dedaknya yg betul..

      Delete
  2. Kenapa tiada statement dari mana2 pihak utk counter statement menteri agama Indonesia ni???????

    ReplyDelete
    Replies
    1. Mgkin sudah biasa dgn sinetron agaknya sehingga setiap apa kebejatan yg datang bersama sinetron itu sentiasa diambil ringan.. Mgkin ini juga dianggap sebagai sinetron yg perlu diambil mudah.

      Delete
  3. Mana nota bantahan diplomatik? Knp kerajaan diam bila ada org luar mahu masuk campur??!!!!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kalau bab nota bantahan ke Indonesia, mrk slow sikit tuan Hamba Allah. kalau lawatan sambil belajar ke Indonesia, tak payah suruh, berebut2 bergaduh mahu ke depan.

      Delete
  4. Bantuan kepada liberal Malaysia sudah mari!! Kenapa la muslim Malaysia ni lembab nak ambiol tahu dan ambil tindakan?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Cubit paha liberal disini, liberal di sana turut terasa, tuan Hamba Allah..

      Delete
  5. k£&@£@ butuhlah..baru naik dah nak menanduk

    ReplyDelete
    Replies
    1. Beliau mmg butuhkan komen2 seperti ini Pak.

      Delete

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.