Sunday, 28 September 2014

Jelajah GABUNGAN Pulau Pinang: Menutup Pintu Kejahatan


Alhamdulillah, segalanya berjalan penuh lancar tanpa masalah yang tidak dapat ditangani dengan cekap. Bersama pasukan kerja dan semangat kerjasama ahli-ahli jawatankuasa pendudukan Taman Sri Pinang, jelajah Malaysia Tanpa Liberal Gabungan Bela Hak Insan Pulau Pinang dengan kerjasama Aman Palestin Pulau Pinang, telah berjaya dijalankan semalam (27 September 2014).

Bertempat di padang bola berdekatan kawasan Taman Sri Pinang, program jelajah GABUNGAN bersama Aman Palestin bersambung untuk menyedarkan umat Islam tentang perkara-perkara terkini yang sedang dan bakal melanda ke atas umat Islam di negara ini dan di seluruh dunia.

Bagaikan sebuah drama yang penuh dengan plot dan cabaran yang perlu di atasi, pelbagai perkara berlaku untuk menguji semangat kerjasama pasukan kerja yang diketuai Tuan Azmi, Pengerusi Raudhatul Huda merangkap Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Sri Pinang. Selain pengerusi dan penganjur bersama, beliau juga banyak membantu menyelesaikan masalah teknikal yang berlaku bersama sahabat-sahabat persatuan penduduk. Satu inisiatif dan teladan kepimpinan yang harus dipuji. Dari usaha pemasangan khemah, penurapan pasir hingga ke masalah teknikal melibatkan sistem elektrik diselasaikan secara kerjasama.

Persediaan di tapak dijalankan seawal jam 2 petang. Bumi Pulau Pinang yang panas, disirami Allah dengan hujan rahmat untuk menyejukkan sebentar suasana. Ahli-ahli persatuan penduduk yang peka dengan keadaan hujan tersebut kemudiannya bergotong royong untuk memastikan kawasan padang disediakan untuk keselesaan pihak awam yang akan turun mendengar taklimat jelajah malam nanti.


Tiada apa yang menariknya dengan sebuah ceritera dan filem cereka tanpa masalah dan cabaran untuk ditangani. Cabaran-cabaran yang ditangani ini memberikan segala rencah yang indah untuk dinikmati apabila sesebuah ceritera atau filem menuju ke plot terakhirny dan berakhir dengan kesudahan yang membawa kelegaan dan rasa puas. Happy Ending di dalam terma filem oleh sang pengkritik.


Begitu jugalah dengan penganjuran jelajah Malaysia Tanpa Liberal kali ini. Bermula dengan hujan rahmat sehingga ke masalah teknikal elektrik, semuanya dapat ditangani dengan mudah dengan kerjasama semua pihak. Tanpa mengira latar belakang parti politik, kedudukan dan pangkat, semua hadir membantu sebagai saudara Islam demi Allah dan cita-cita penyatuan umat ini. Tahniah juga kepada penduduk yang tidak berganjak sejak dari awal walaupun terpaksa bergelap untuk seketika.
Tepat jam 9 malam, sepertimana yang dijanjikan di dalam jadual program, semua masalah teknikal diselasaikan dan program dimulakan dengan ucapan alu-aluan Pengerusi Majlis, Ustaz Mukhlis. Beliau mengakhiri ucapan alu-aluan dengan doa memohon supaya umat Islam kembali bangkit dan sedar dan permohonan agar perjalanan majlis berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

Blackout sebelum majlis, tetapi tidak seorang pun berganjak.

Saudara Abu, Staf GABUNGAN Bertungkus Lumus Menyelesaikan Masalah Teknikal Dengan Cekap.
Pengerusi Majlis - Ustaz Mukhlis
Bekalan Dipulihkan, Pengerusi TSP Sendiri Turun Padang Menyelesaikan Masalah.

Ceramah dimulakan dengan Ustaz Budiyanto Unggun, Pengerusi Aman Palestin Cawangan Pulau Pinang. Bersama slide yang memperuntukkan maklumat-maklumat teknikal serta perkongsian maklumat tentang apa yang sedang berlaku di Palestin, tiada ruang untuk sesiapa sahaja yang hadir untuk bersungut bahawa mereka tidak diberikan penjelasan yang secukupnya tentang permasalahan yang sedang berlaku di sana. Bermula dari sejarah kemasukan Yahudi secara besar-besaran melalui gerakan Zionis antarabangsa yang dicetus ideanya oleh Theodore Hertzl, sehingga ke status dan keadaan umat Islam dan sosio politik Palestin sehingga kini, semuanya dijelaskan oleh Ustaz Budiyanto Unggun di dalam tempoh masa yang terhad. Malah apabila gambar-gambar mangsa kekejaman rejim negara haram Zionis dipaparkan, kelihatan pengunjung diusik emosi yang tidak tertahan. 

Pesan akhir Ustaz Budiyanto Unggun kepada semua yang hadir, apa sahaja bentuk keupayaan yang ada, hendaklah kita menggunakannya untuk membantu saudara sesama Islam kita tidak kira di mana sahaja mereka berada. Satu lagi pesan Ustaz Budiyanto Unggun ialah, supaya umat Islam di Malaysia, mengambil berat tentang perjuangan dan survival umat Islam dan hal berkaitan Islam di Malaysia. Beliau menyampaikan pesan itu sebagai mengingati pesan seorang warga Palestin yang berkhidmat dengan Aman Palestin di sana, bukanlah warga Palestin tidak mahukan orang-orang luar hadir secara fizikal membantu perjuangan umat Islam di Palestin, tetapi secara strategiknya, orang-orang luar dari Palestin perlu terus menjalankan kerja-kerja mereka memberikan bantuan, tekanan politik, menyampaikan kesedaran serta mengumpulkan kekuatan sokongan dalam semua bentuk kepada umat Islam di Palestin. Masing-masing menjalankan kewajipan atas keupayaan masing-masing.

Ustaz Hafiz Nordin menyambung tugasan menyampaikan nasihat dan maklumat kepada semua yang hadir. Berbeza dengan Ustaz Budiyanto Unggun, fokus Ustaz Hafiz Nordin adalah tertumpu kepada ancaman terhadap umat Islam di dalam negara. Ancaman “Yahudi Tempatan”, meminjam istilah yang digunakan Ustaz Hafiz Nordin. Sepertimana biasanya dia yang kami sendiri kenal, ucapan, khutbah dan ceramahnya bisa membuatkan ruh terpelanting ke belakang.

Berapi!
Jika di Gaza dan Palestin, umat Islam berhadapan dengan ancaman pembunuhan nyawa, tetapi berbeza di Malaysia, umat Islam kini sedang berhadapan dengan usaha pembunuhan akidah. Kemasukan golongan Islam Liberal di dalam tanah air menjadi punca serta akar kepada masalah ini. Dengan pendanaan berjuta-juta ringgit setahun, musuh-musuh Islam di luar membajai gerakan pembunuhan akidah umat Islam dengan mendanai aktiviti-aktiviti kumpulan-kumpulan NGO, parti politik tertentu, syarikat Sendirian Berhad yang berselindung di bawah nama NGO dan banyak individu-individu berpengaruh.

Menangani ancaman mereka-mereka ini yang sentiasa menerima pendanaan yang sangat banyak dan sofistikated dan sentiasa mengalir seperti air sungai selepas hujan, merupakan satu bentuk usaha perjuangan yang besar dan sangat mencabar bagi NGO-NGO Islam untuk bangkit melawan. Tetapi, itu semua tidak pernah dijadikan sebagai alasan untuk berhenti dan berundur menurut kata Ustaz Hafiz Nordin. Walaupun bergerak dengan segala macam bentuk kekangan dan keupayaan yang terhad, perjuangan tetap diteruskan kerana pejuang-pejuang ini percaya bahawa upah kerja mereka di akhirat sana lebih lumayan serta tiada tolok bandingnya.

Ustaz Hafiz kemudiannya menjelaskan tentang ancaman Islam Liberal, siapa dibelakang mereka dan apa hala tuju gerakan mereka di sini. Mereka-mereka di sini adalah untuk mencabut umat Islam dari akar sebenar agama mereka. Mereka mahukan umat Islam menurut kata hati dan hawa nafsu dan tidak perlu mempedulikan apa yang seharusnya umat Islam ikuti berlandaskan kehendak Allah. Bagi golongan Islam Liberal ini, mereka mahu menanamkan ke dalam pemikiran masyarakat bahawa agama itu merupakan urusan hati antara individu dengan Tuhannya. Tidak mengapa tidak bersolat, berzina, mengamalkan pluralisme agama, mempertikaikan ayat-ayat al Quran dan sebagainya asalkan hati itu tetap dikatakan menyembah Allah. Persoalannya Allah yang mana satu? Bukankah golongan ini jugalah yang membenarkan Allah turut dirujuk secara syiriknya oleh golongan pelampau Kristian tempatan?

Ustaz Hafiz Nordin berpesan supaya semua ini diambil peduli. Gerakan musuh-musuh Islam ini semakin rancak kerana umat Islam tidak mengambil peduli dan terlalu sibuk dengan urusan dunia masing-masing. Inilah masanya untuk mengejutkan umat Islam supaya Bangkit! dari tidur yang sangat lama.

Segalanya berjalan lancar dan Ustaz Hafiz Nordin berterima kasih kepada semua tenaga kerja, pihak penganjur, pengunjung-pengunjung serta pasukan Polis yang turut hadir memantau aktiviti ceramah.
Segalanya berjalan lancar. Jelas, doa Pengerusi Majlis yang diaminkan atas semangat persaudaraan Islam penduduk Taman Sri Pinang dimakbulkan Allah. Bermula jam 9 sehingga ke tamat majlis menghampiri tengah malam, tiada perkara yang mengganggu kelancaran majlis berlaku.

Semoga semua yang hadir mendapat balasan pahalayang dijanjikan Allah dan dapat memahami, mengambil pengajaran dan menyampaikan kepada mana-mana pihak yang tidak dapat hadir.


Ceramah Ustaz Hafiz Nordin diakhiri dengan pesanan, apa yang berlaku di Palestin tidak mustahil akan boleh berlaku di Malaysia. Beliau mengiakan pesanan Ustaz Budiyanto Unggun tentang nasihat wakil Aman Palestin di Palestin seorang warga Palestin kepada beliau satu ketika dahulu, bahawa umat Islam di Malaysia perlu berjuang mempertahankan tanah air mereka sendiri supaya kita kuat di sini untuk terus membantu umat Islam di Palestin.

Ini Palestin Kita, dan jangan lupa tentang perkara itu.

Gabungan Bela Hak Insan Pulau Pinang (GABUNGAN) 
No Hubungan : 
No G-07, Jalan Jeti Lama, Kompleks Bagan, 12200, Butterworth, Pulau Pinang. 
013-5124721 
Tuan Haji Mohamed Nordin, Presiden.

Aman Palestin Pulau Pinang 
No Hubungan : 
No. 12 Tingkat Bawah, Jalan Perda Barat, Bandar Baru Perda, 14000 Bukit Mertajam, Pulau Pinang. 
04-5300929 
Ustaz Budiyanto bin Unggun, Pengurus Cawangan.

0 comments:

Post a Comment

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.