Wednesday, 24 September 2014

Jalan Kesederhanaan Bapa-Bapa Malaysia

Oleh : Megat Rizal MH

Ketika Tun Mahathir Mohammad (Tun M) membuat komen pukul rata bahawa beliau kecewa dengan bangsa Melayu kerana malas dan adakalanya tidak jujur berdasarkan pengalaman beliau ‘berniaga’, ramai yang mengambil sikap tidak apa dengan apa yang diutarakan oleh Tun M kerana umum memahami bahawa apa yang telah diutarakan beliau tentulah mempunyai asas, berdasarkan pengalaman beliau, dan tentunya, kekecewaan beliau, menjadi pemimpin UMNO dan juga Perdana Menteri Malaysia selama lebih daripada dua puluh tahun!



Walaupun ada yang tidak bersetuju dan kurang senang dengan keterbukaan Tun M dalam membicarakan hal tersebut, namun rata-rata umum sedar, termasuk saya sendiri, bahawa Tun M sebenarnya mempunyai niat yang baik, ‘menegur’ kerana sayangkan negaranya, sama keadaannya seperti yang diperjelaskan oleh, anaknya, Mukhriz Mahathir ketika Tun M menegur Perdana Menteri tempoh hari. Jadi disebabkan itulah agaknya, kita melihat orang Melayu itu sendiri tidak melatah sehingga mengeluarkan kata-kata yang kurang sedap didengar terhadap Tun M.

Tun M nampaknya, rata-rata orang Melayu faham konteks mesej Tun.

Itulah juga yang saya cakapkan kepada sahabat-sahabat saya bahawa, saya akan menjadi ‘kurang marah’ jika seorang  kenalan yang mengkritik saya berbanding dengan seseorang yang tidak dikenali, kerana konteks sesuatu kenyataan itu dibuat juga penting.

Walaupun label tersebut pada sesetengah orang agak kurang adil kerana bersifat ‘unwarranted generalisation’, saya sebagai seorang Melayu, tahu, bahawa saya bukanlah seorang yang pemalas dan merupakan seorang yang jujur dan boleh dipercayai.

Oleh itu saya tidak akan melaporkan perkara berikut, kepada pihak polis. Saya tahu siapa diri saya. Itu sudah cukup untuk saya mengunci mulut dan melihat kritikan Tun M secara terbuka. Namun itu tidak bermakna saya akan mengejek atau mempersendakan mereka-mereka yang bertindak sebaliknya! Kerana itu hak mereka.

Ini penting untuk difahami. Sebagai contoh, sekiranya seseorang mengatakan kepada saya melalui Twitter, bahawa cara saya memimpin syarikat kandungan kreatif dan pengurusan media saya bagaikan Adolf Hitler, saya mungkin akan berasa sedikit marah dan kesal kerana saya merasakan bahawa kenyataan tersebut tidak benar sama sekali. Kerana sejujurnya, walaupun adakalanya, saya pernah berkali-kali menyuruh pereka grafik saya meminda sesuatu tugasan mengikut kehendak pelanggan (selalunya saya yang kurang berpuas hati), percayalah bahawa tidak ada seorang jiwa pun, yahudi atau sebaliknya, yang terkorban semasa proses kreatif tersebut! Jadi dakwaan tersebut sememangnya tidak berasas sama sekali!

Tetapi apa yang pasti, saya tidak akan memanjangkan ketidak-puasaan hati saya ke atas tweet tersebut kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia.

Itu saya, saya sememangnya mempunyai takat toleransi yang tinggi. Syabas kepada diri saya. Syabas juga kepada ibu dan bapa saya, terutamanya bapa, seorang tokoh hebat, yang banyak membantu membesarkan saya dan menjadikan saya, seperti yang tuan-tuan lihat sekarang.

Namun sering juga saya harus mengingatkan diri saya bahawa saya adalah saya dan bukannya orang lain. Dan orang lain juga bukanlah saya. Makanya saya tidak boleh mengharapkan orang lain untuk mempunyai nilai-nilai diri seperti yang saya pegang! Saya tidak harus berperasaan seperti itu. Saya tidak harus meletakkan nilai saya ke atas orang lain.

Adakalanya itu yang sering saya lupa!

Oleh itu, saya sering mengingatkan sahabat-sahabat saya untuk sentiasa menegur saya dan menyedarkan saya bahawa apabila saya memilih untuk tidak berbuat apa-apa di atas kenyataan orang lain ke atas saya, itu merupakan hak saya untuk berbuat sedemikian.

Lain padang lain belalang.

Oleh itu saya sememangnya tidak berhak untuk membuatkan semua orang mengikut jejak langkah saya dan memaafkan saja, mana-mana kenyataan yang dirasakan oleh mereka sebagai menghina. Mereka berhak memilih untuk tidak berbuat seperti saya!

Dan saya juga sedar bahawa bukanlah menjadi hak saya untuk menidakkan hak orang lain, jika mereka berasakan keperluan untuk memanjangkan perkara tersebut kepada pihak berwajib. Silakan. Saya cuma boleh bertanggungjawab dan berhak ke atas diri saya sahaja dan bukannya ke atas orang lain.

Semestinya saya tidak mahu Malaysia menjadi seperti sesetengah peguam di sebuah acara Majlis Peguam sebelum ini yang memboo rakan-rakan guaman mereka sendiri, hanya kerana, peguam-peguam yang diboo, memilih untuk mempunyai pendapat yang berbeza daripada yang lain berkaitan dengan pemansuhan Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1970). Perbezaan pendapat nampaknya tidak diterima dalam Majlis Peguam itu sendiri. Kepada para peguam yang berlagak seperti ‘lembu suci’ (kambing mengembek, lembu... mengemboo?), suka untuk kita mengingatkan mereka untuk cuba tanamkan sifat ‘sense of humor’ ke dalam diri masing-masing seperti yang pernah diutarakan Presiden mereka sendiri.

Namun kita hairan mengapakah Majlis Peguam yang sentiasa memperjuangkan hak-hak kebebasan bersuara dan berekspresi, rupa-rupanya saling tidak tumpah persis ibu ketam mengajar anaknya berjalan!

Dan tentunya menarik untuk kita semua nanti, tonton cara mereka ‘berjalan’ untuk mendesak kerajaan untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1970) kelak.

Atas dasar inilah saya rasakan bahawa Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1970) itu wajib dikekalkan kerana saya berpendapat bahawa kerajaan patut memastikan bahawa rakyatnya, yang ramai, saya mana mungkin  mampu mengawalnya sendirian, dan dalam konteks negara kita, sangat pelbagai, perlu dikawal.

Kita tidak mahu sesuatu yang bermula dengan kata-kata yang menghina, sama ada di media sosial, suratkhabar mahupun secara bersemuka bertukar menjadi pertumpahan darah kerana ada yang memilih untuk mengamuk kerana tidak berpuas hati. Tentunya peristiwa berdarah 13 Mei yang berlaku pada tahun 1969 masih segar dalam ingatan sesetengah daripada kita, ‘Malaysian who remembers’ seperti yang pernah diungkap oleh Allahyarham Tun Sufian Hashim, bekas Ketua Hakim Negara.

Memanglah, saya boleh menerima pendapat-pendapat yang mengatakan bahawa ‘The State’s business is not to ensure that citizens are not offended’. Namun saya berpendapat bahawa adalah menjadi tanggungjawab sesebuah kerajaan untuk memastikan keselamatan jiwa dan harta benda setiap seorang rakyatnya. Oleh itu mencegah daripada kejadian berdarah dan meragut nyawa seperti yang berlaku di Ambon dan Rwanda, misalnya, adalah penting dan patut menjadi keutamaan negara. Jika bukan kerajaan negara itu sendiri yang sentiasa menjaga kebajikan rakyatnya sendiri, kerajaan negara mana lagi?

Uncle Sam?

Saya juga bersetuju bahawa perbuatan biadab bukanlah suatu jenayah. Tetapi saya tidak faham kenapakah segelintir daripada kita nampaknya memilih untuk tidak menghormati undang-undang seperti Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1970) yang dengan jelas telah menjenayahkan sesetengah perbuatan, biadab atau tidak, saya rasa sudah tidak relevan lagi?!

Kenapakah juga, jika Perlembagaan Persekutuan 1957 itu sendiri membenarkan Parlimen untuk menghadkan perkara-perkara tertentu, dengan jelas, ke atas kebebasan bersuara dan berekspresi, masih ada diantara kita, yang mencuba-cuba, ‘testing the water’ kata penjajah British, bersikap tuli akan hal ini, cuba melakukan provokasi berkenaan dengan isu yang jelas sensitif?

Siapakah diantara kita yang akan sabar dengan satu persatu provokasi yang dilakukan berkali-kali banyaknya? Tentunya sekali dua, mungkin majoriti diantara kita, saya tentunya, akan boleh bersabar, tetapi seperti yang saya katakan tadi, tahap kesabaran saya sememangnya sangat tinggi, tetapi mungkin tidak untuk semua orang?!

Jadi tentunya atas kesedaran itulah pindaan kepada Akta Hasutan 1948 itu dibuat selepas 13 tahun penjajah British pulang meninggalkan kita!

Keamanan dan kestabilan yang kita kecapi telah lama tidak harus diperjudikan sahaja oleh kerana sesetengah daripada kita amat suka menghasut dan memperkatakan perkara-perkara yang telah diklasifikasikan sebagai hasutan mengikut Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1970).

Ada juga yang mengatakan, saya petik “You cannot compel people to love each other through criminal sanctions”, saya setuju.  “You cannot make people support the Government by punishing people who do not support the Government’, saya setuju dan rasa isu ini tidak timbul sebenarnya, kerana kerajaan yang ada sekarang ini kelihatan kalau boleh tidak mahu mendakwa sesiapa pun sebenarnya.

Tetapi saya tidak bersetuju dengan pendapat yang ini, “You cannot make people respect royal institutions by punishing those who show disrespect”. Sebenarnya begini, saya setuju sebahagian dan tidak bersetuju dengan sebahagian lagi. Saya bersetuju bahawa kita tidak boleh memaksa orang ramai daripada mempunyai rasa hormat atau tidak terhadap institusi beraja selagi mereka tidak mepersoalkan, mempermainkan atau merendah-rendahkah institusi tersebut mengikut kerangka Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1970).

 Kenapa pula kita tidak boleh menguatkuasakan dan menghukum (jika kesalahan bersabit) sesuatu yang jelas melanggar perundangan negara kita?

Saya juga bersetuju bahawa semangat cintakan negara ‘cannot be forced’, namun itu tidak bermakna bahawa undang-undang sedia ada ‘can’t be enforced’ juga?!

Saya bersetuju dengan pandangan bahawa, keamanan, keharmonian, kebersamaan dan patriotisme patut dipupuk dengan pelbagai cara yang sesuai. Ada yang boleh dipupuk dengan slogan semata-mata, namun ketahuilah bahawa manusia tidak akan patuh peraturan dan undang-undang semata-mata dengan retorik sahaja. Keamanan dan keharmonian boleh juga dikawal selia dengan undang-undang berbentuk pencegahan seperti Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1970) yang berupaya mencegah permasalahan itu daripada awal.

Ini tidak bermakna bahawa saya tidak boleh menerima pandangan yang berbeza dan sebarang kritikan, walaupun mungkin beberapa bekas rakan kongsi saya akan mengatakan sebaliknya (Hitler la katakan!), namun saya masih percaya bahawa ianya masih boleh dibuat mengikut kerangka perundangan negara!

Negara kita punya undang-undang, namun mengapakah masih terdapat seruan supaya undang-undang tertentu tidak dikuatkuasakan?

Pandangan-pandangan tidak bertanggungjawab berbentuk hasutan seharusnya tidak dibiarkan belarutan, tanpa sebarang tindakan undang-undang. Perkara-perkara yang jelas dan tidak boleh diperbincangkan lagi seharusnya tidak patut diberi sebarang kompromi. Ruang kompromi yang dibiarkan inilah nanti yang akan mengundang ketidak-puasan hati dan akan membawa kepada perpecahan dalam masyarakat.

Sememangnya pada pendapat saya, kita boleh menjadi bangsa yang matang dengan belajar untuk menghormati peraturan dan undang-undang. Bercakap ikut sedap mulut, tanpa perlu bertanggungjawab seperti menghina dan menghasut akan perkara-perkara yang sensitif tidak lain dan tidak bukan akan mengundang bencana.

Jalan kesederhanaan yang telah kita ambil dan patuh sejak sekian lama tidak harus dipergadaikan hanya kerana ada segelintir daripada kita sudah tidak menghargai nilai-nilai tempatan yang menjadi benteng pengikat kepada kekuatan kita sebagai satu bangsa yang bertamadun dan dihormati. Setelah 51 tahun Malaysia, apa yang telah dipersetujui oleh bapa-bapa kita haruslah dipegang erat supaya kita jelas arah tuju ketika terdapat cubaan bertali-arus untuk menidakkan prinsip asas-asas negara.

Tetapi itu pandangan saya semata-mata. Pandangan Tun M mungkin berbeza.


Pandangan anda, tepuk dada, tanya selera? 

0 comments:

Post a Comment

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.