Sunday, 7 September 2014

Akta Hasutan, Kepolisan, Ahli Politik Dan ‘Moderates’ Yang Suka Menghasut!

‘Aku ialah seorang anggota polis. Tugas aku ialah untuk menangkap penjenayah seperti kamu. Kamu telah menyalahi undang-undang.’

‘Walaupun aku mungkin tidak senang dengan undang-undang ini. Ataupun aku tidak bersetuju dengan undang-undang ini. Tugas aku ialah untuk memastikan undang-undang ini dipatuhi. Tidak kiralah bagaimana kamu cuba meminta-minta, merayu, memujuk atau cuba untuk membuatkan aku bersimpati. Ketahuilah bahawa tidak ada apa yang dapat kamu buat untuk menidakkan aku daripada memenjarakan kamu. Jika kamu cuba lari, aku akan kejar kamu. Jika kamu bertindak melawan maka aku akan cuba mempertahankan diriku. Jika kamu cuba tembak, kenapa tidak aku? Dari segi undang-undang aku tidak boleh untuk tidak berbuat apa-apa. Akulah akibat daripada perbuatan kamu. Akulah bil yang masih tertunggak yang perlu kamu perjelaskan. Aku patuh dan setia dengan lencana dan
persenjataan. Namun disebalik lencana kepolisanku, terselit segumpal hati yang sama serupa seperti kamu. Aku juga mampu luka tercedera. Aku juga sering melayan rasa. Aku si sang pencinta. Ya dan aku juga boleh mati terbunuh dan dibunuh. Dan walaupun aku adakalanya berseorangan, aku ada beribu lagi saudara seperjuangan. Mereka sanggup berkorban nyawa untukku. Dan begitu juga dengan aku, untuk mereka. Kami berdiri
teguh untuk memastikan udang-undang terlaksana. Satu pekerjaan yang tidak mudah sebenarnya. Untuk melindungi mangsa daripada si pemangsa.Yang baik daripada yang jahat. Namun ketahuilah, bahawa kamilahpasukan polis!’

Bukankah itu yang kita semua mahu?

Salah Polis Ikut Undang-Undang Atau Salah Penjenayah Yang Melanggar Undang-Undang

Seorang anggota polis yang penuh berdedikasi dan sangat bertanggungjawab terhadap tugasnya. Tahu peranannya dalam masyarakat dan pada masa yang sama berani pula untuk berdepan dengan apa saja cabaran yang mendatang. Bukankah itu juga yang sering kita jeritkan kepada pasukan Polis Di-Raja Malaysia (PDRM)?

Bukankah kita semua mahu pasukan PDRM supaya menjadi lebih efisien dan efektif dalam menjalankan tugasan mereka sebagai penjawat awam yang kita semua ‘gajikan’?

Sehinggakan ada dikalangan kita, berani menyalahi undang-undang dengan menubuhkan pasukan ‘kepolisan’ kita sendiri? Dan berani pula mencabar polis untuk menangkap kita, hanya kerana kita berpendapat bahawa pasukan PDRM tidak melakukan tugasan mereka dengan baik?

Jadi kenapakah kita kali ini menjadi sangat celupar dengan melabel polis sebagai anjing pihak-pihak tertentu apabila mereka menjalankan tugas mereka seperti yang kita minta?

Bukankah sudah tiba masanya, kita membantu pihak polis, sekadar yang kita semua mampu, dalam mereka menjalankan tugasan harian mereka, waima dengan ucapan terima-kasih sekalipun sebagai sokongan moral kepada kecekapan si baju biru dalam menyelesaikan isu-isu berbangkit negara dalam masa dan cara yang sangat efisien.

Apa yang kita mahu sebenarnya?

Persoalannya, adakah kita sudah menjadi begitu bebal dan bongkak sehinggakan kita berani menemplak polis dengan kata-kata yang kurang manis hanya kerana, kali ini, kita yang ditangkap kerana menyalahi undang-undang? Apakah kita sudah lupa daratan hanya kerana segelintir daripada golongan masyarakat telah memilih kita pada pilihanraya yang lepas? Sudahkah kita menjadi kebal undang-undang, hanya kerana kita kini merupakan seseorang yang bergelar Yang Berhormat (YB)? Apakah YB merupakan satu lesen untuk kita menjadi lebih tidak bertanggungjawab dan sangat tidak menghormati undang-undang serta sensitiviti orang lain? Bukankah kesamarataan undang-undanglah yang sering kita
perjuangkan dulu? Dan jika benar, bukankah ianya, patut bermula dengan kita sendiri?

Contohnya, kalau kita mengatakan yang mencuri itu merupakan satu kesalahan, sebaiknya jangan kita yang mencuri. Kalau kita tidak mahu ditangkap dan didakwa, sebaiknya jangan kita yang melakukan sesuatu yang boleh menyebabkan kita ditangkap dan kemudiaannya didakwa. Mudah bukan?

Jadi kenapakah kita perlu marah dan tidak berpuas hati apabila kita ini, yang kerap kali menghasut dengan isu-isu yang jelas sensitif dan menyalahi undang-undang sedia ada, ditangkap dan didakwa di makhamah atas tuduhan menghasut?

Hipokrasi bentuk apakah yang sedang kita praktikkan?

Lawyers Are There To Break The Law

Dikatakan ianya sebagai hipokrasi kerana kebelakangan ini terdapat ramai pengamal undang-undang itu sendiri yang ditahan dan didakwa kerana menghasut. Bukankah mereka-mereka ini sepatutnya menjadi warga contoh kepada kita semua, khususnya kepada mereka-mereka yang buta undang-undang? Kemajuan bertamadun apakah yang sedang kita bina, jika pengamal undang-undang kita sendiri acap kali didapati menyalahi
undang-undang? ‘Lawyers are there to break the law?’ Apa benarkah ketamadunan sebegini yang perlu kita semua banggakan?

Hipokrasi juga kerana mereka-mereka inilah, yang selama ini sering mengajar kita semua yang buta undang-undang bahawa, Akta Hasutan 1948 merupakan undang-undang yang patut dimansuhkan. Namun kenapakah mereka tidak pernah mahu berhenti menghasut dalam urusan ‘kerja’ mereka?

Bukankah mereka, tidak kiralah sebenarnya, sama ada terdiri daripada ahli politik, pengamal undang-undang, ahli akademik dan para cendiakawan yang patut ke depan dan menjadi contoh terbaik bahawasanya Malaysia sudah tidak memerlukan Akta Hasutan 1948 lagi kerana kita semua sudah mempunyai budi pekerti yang bertamadun tinggi dan tidak akan sekali-kali menyentuh sensitiviti mana-mana masyarakat, apatah lagi melihat kepada kepelbagaian suku kaum yang negara kita miliki?

Apakah Kita Sudah Benar-Benar Bersedia??

Adakah kita benar-benar sudah bersedia, apabila Akta Hasutan 1948 dimansuhkan kelak?


Adakah kita akan menjadi lebih bertamadun tanpa Akta Hasutan 1948?

Sudahkah kita menjadi lebih bertamadun apabila Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) yang kononnya dikatakan ‘archaic’ dan tidak bertamadun itu dimansuhkan?

Namun tahukah kita, bahawa Akta Hasutan 1948 sudah mengalami pindaan pada tahun 1970 setelah negara mengalami peristiwa berdarah 13 Mei 1969, hanya kerana segelintir daripada kita amat suka menghasut?

Sememangnya ini bermakna ianya bukanlah sebuah akta kuno atau saki baki legasi peninggalan penjajah British seperti yang kerap diungkit segelintir daripada kita kini. Ini kerana setelah 13 tahun negara Merdeka, rakyat Malaysia sebulat suara telah meminda akta tersebut mengikut acuan dan rencah kita sendiri dengan menambah bahawa perihal
kewarganegaraan, kedudukan bahasa Melayu, hak-hak istimewa Melayu dan kekebalan Raja-Raja Melayu sebagai perkara yang dianggap sebagai menghasut dan tidak boleh dipersoalkan. Sememangnya perkara-perkara yang ditambah merupakan perkara yang penting untuk Malaysia dan rakyatnya. Buktinya peristiwa 13 Mei 1969 tidak lagi berulang dan hanya tinggal sejarah. Sememangnya Akta Hasutan 1948 jauh berbeza dengan mana-mana akta hasutan yang lain, "The Malaysian definition has of course been modified to suit local circumstance and in particular, it includes acts or things done "to question any matter, right, status, position, privilege, sovereignty or prerogative established or protected by the provisions of Part III of the Federal Constitution or Article 152, 153 or 181 of the Federal Constitution."

Siapa yang mahu kita tipu dengan mengatakan ianya merupakan legasi peninggalan penjajah British? Cool Aid ciptaan siapakah ini?

Namun majoriti daripada kita semua tentunya tahu dan sedar akan kejumudan dan kedunguan jelmaan ini!

Tun Mohamed Suffian Hashim : Malaysian With Short Memories

Bekas Ketua Hakim Negara yang bijaksana Allahyarham Tun Mohamed Suffian Hashim pernah berkata ‘Malaysians with short memories and people living in mature and homogenous democracies may wonder why in a democracy discussion of any issues and in Parliment of all places should be suppressed. Surely it might be said that it is better that
grievances and problems about language, etc. should be openly debated rather than be swept under the carpet and allowed to fester. But Malaysians who remember what happened during May 13 1969, and subsequent days are sadly aware that racial feelings are only too easily stirred up by constant harping on sensitive issues like language and it is to minimise racial explosions that the amendments 
were made (to the Sedition Act).

Kata-kata Tun Suffian ini baru diluahkan Allahyarham pada tahun 1983 dan kini, setelah hanya beberapa dekad kita sudah mahu memansuhkan sesuatu yang kita sendiri adakan untuk memastikan supaya peristiwa berdarah 13 Mei 1969 tidak berulang dan ‘to minimise racial explosions that the amendments were made’.

Kebodohan apakah yang kita cuba ciptakan kini? Siapakah Rasputin yang bakal menghancurkan negara kita ini? Kenapakah kita mahu membiarkan saja si Luncai terjun dengan ‘labu-labu’ kepunyaan kita semua?

Nampaknya benarlah kata-kata Tun Suffian bahawa kitalah ‘Malaysians with short memories’ yang mudah lupa dengan kejadian berdarah yang menimpa Malaysia.

Melayu mudah lupa, kata anda? Tidak.

Semua rakyat Malaysia yang sebenarnya kaki pelupa!

Namun semuanya masih belum terlambat. Si Luncai belum terjun dengan ‘labu-labu’ kita! Dan kita masih berpeluang untuk menjadikan kita semua sebagai rakyat Malaysia yang tidak lupa dan tidak pernah mahu lupa akan peri-pentingnya untuk kita semua menghargai kemakmuran yang kita nikmati sekian lama dengan memupuk kesederhaan dan semangat
hormat menghormati sesama kita. Jika para pelajar tingkatan empat kita yang terdedah dengan subjek pendidikan moral tahu bahawa Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1970) sebenarnya cuba untuk memupuk nilai-nila positif seperti harga diri, hemah tinggi, keadilan, rasional, kesederhanaan dan mematuhi peraturan dan undang-undang, kenapa tidak kita?

Dan kenapakah pula akta yang mempunyai dasar yang sebegitu murni mahu dimansuhkan dengan tiba-tiba?

Kecerdikan dari mana yang cuba kita pinjam kini?

Akta Kuno, Alasan Dangkal Dari Pemikiran Bebal

Alasan remeh dan dangkal bahawa ianya merupakan sebuah akta kuno peninggalan penjajah British tidak dapat diterima akal yang sihat kerana jika itu kayu ukur kita, maka negara terpaksa memansuhkan juga Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Makhamah Juvana 1947 dan Akta Kerja 1955. Bayangkan keadaan negara tanpa akta ini semua? Manakah mahu kita letak pesalah-pesalah dadah yang sekian banyaknya?

Bagaimana pula dengan Akta Kawalan Harga 1946 yang jauh lebih kuno daripada Akta Hasutan 1948, perlukah ianya dimansuhkan juga?

Kemudiaannya apa, Seksyen 377, undang-undang liwat, yang juga dikatakan kuno oleh sesetengah pihak yang berkepentingan?

Kemudiaan lagi apa? Tolong jangan kata Perlembagaan Negara, ya, kawan-kawan?!

Malaysia tentunya akan menjadi badut sarkas kelas dunia dengan pendirian yang sedemikian rupa! Jika sekarang the economist ‘mentertawakan kita’, percayalah mereka akan ketawa lebih lagi dengan kebodohan baru yang kita cipta!

Lebih kelakar lagi jika kita asyik memansuh dan mendraf semula, lalu memansuh dan mendraf lagi akta baru bagi mana-mana akta yang ‘kuno dan legasi penjajah’ dengan sesuatu akta yang sama atau dengan akta yang lebih baik daripada akta yang telah kita mansuhkan. Anda ‘nampak’ akan kegilaan baru yang sedang kita ciptakan? Banana Republic apa pula yang sedang kita bina?

Bukankah lebih baik jika penambahbaikan dilakukan ke atas mana-mana akta yang difikirkan mempunyai beberapa kelemahan? Bukankah ini lebih bijak daripada kita tergopoh-gapah mahu menidakkan apa yang ada dan mengadakan apa yang tiada?
Jika sesuatu akta itu didapati terlalu luas dan bebas skopnya, terbuka kepada salah guna, salah tafsir dan sebagainya, mungkin yang diperlukan ialah ianya dibuat penambahbaikan. Sama keadaannya jika ianya masih kurang taring, maka pemerkasaan itu perlu dilakukan
segera.

Tun Abdul Hamid : Kekalkan Akta Hasutan Dan Buat Penambahbaikan

Itu juga merupakan pendapat bernas bekas Ketua Hakim Negara yang bijaksana Tun Abdul Hamid Mohamed, salah seorang daripada ‘Malaysian who remembers’ yang baru-baru ini mencadangkan supaya ‘Akta Hasutan 1948 tidak dimansuhkan kerana ia dilihat sebagai benteng mengekang perbuatan menghasut berkaitan agama Islam, perpaduan dan kedudukan Melayu termasuk anak-anak Sabah dan Sarawak di negara ini. Beliau berkata, pemansuhan akta berkenaan bermakna membenarkan sesiapa sahaja yang tidak berpuas hati dengan hal kepentingan Melayu dan agama Islam boleh menghasut agar keistimewaan itu dihapuskan’.

Ini benar. Kebelakangan ini, mereka-mereka yang pelupa dikalangan kita asyik dan leka dengan perbuatan menghasut! Ini dengan kewujudan Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1970) itu sendiri.

Bayangkan apa akan berlaku tanpa kewujudan akta tersebut?Adakah perkara-perkara yang selama ini sensitif boleh dipertikaikan di Parlimen kelak?

Makanya Tun Hamid juga ada menyarankan agar ianya dibuat penambahbaikkan! Cadangannya itu juga telah mendapat sokongan daripada beberapa tokoh negarawan tanahair yang banyak berjasa kepada kita semua seperti, bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohamed Hanif Omar, bekas Pengerusi MAS Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman dan bekas Ketua Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Tan Sri Zaman Khan. Ini juga sebenarnya selari dengan pendirian Timbalan Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juga Menteri Pertahanan Dato Seri Hishamuddin Tun Hussein yang sama-sama berpendapat bahawa Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1970) perlu diperkasakan!

Mahu Layan Golongan Pemikir Atau Mahu Layan Tuntutun OKT??

Persoalannya, perlukah kita melayan seruan sekumpulan OKT (orang kena tahan) yang tidak lain dan tidak bukan sememangnya sedang cuba untuk meloloskan diri masing-masing daripada dakwaan menghasut? Anda nampak permainan OKT-OKT ini?

Mudah bukan, sekiranya kita ditangkap, kita tidak perlu menghadapi pertuduhan tersebut dimahkamah tetapi kita patut mengusahakan agar ianya dimansuhkan segera! Jika tidak kita semua akan keluar ke jalanan dan berdemo supaya ianya dimansuhkan juga akhirnya dengan tekanan dan aktivisme kita! 

Tentunya kita masih ingat dengan pepatah Melayu, ‘bagai melepaskan anjing tersepit’, yang banyak menyuruh kita supaya sentiasa berwaspada.

Penangkapan dan pendakwaan menghasut yang dilihat kebelakangan ini merupakan satu langkah kerajaan yang harus dipuji. Ianya menampakkan kematangan kerajaan dalam menangani sekumpulan masyarakat yang tidak pernah serik mahu memecah-belahkan hubungan baik sesama kaum yang pelbagai. Kerajaan tidak perlu berasa malu atau rendah diri kerana melakukan sesuatu dalam parameter perundangan negara. Sesebuah negara perlukan kepada undang-undang. Dan undang-undang yang ada perlu dikuatkuasakan.


Namun kerajaan juga perlu sedar dan perlu bersedia apabila melakukan pendakwaan menghasut yang kelihatan bermusim, kebelekangan ini, tentunya akan mengundang suara-suara sumbang yang tidak berpuas-hati dengan keiltizaman baru kerajaan kini.

Mereka-mereka ini tidak lain dan tidak bukan terdiri daripada OKT-OKT itu sendiri dan juga ‘partners in crime’ mereka yakni OBKT-OBKT yakni orang bakal kena tahan, yang kebelakangan ini, kelihatan sibuk pula melabel diri sendiri sebagai moderates (angkat bakul sendiri nampak?!), dengan baju dan mekap mengalahkan pelakon-pelakon A list Hollywood dalam majalah The Hollywood Reporter, edisi Oskar.

OBKT-OBKT lazimnya sibuk berkomentar tentang perkara-perkara yang tidak kurang ‘seditious’ tetapi masih lagi dibiarkan bebas berkeliaran ke sana ke mari, seolah-olah kebal. Sememangnya mereka ini tidak pernah mahu bersederhana dalam komentar-komentar mereka. Oleh itu adalah penting bagi kerajaan untuk menghantar mesej teladan kepada
semua rakyat Malaysia, tidak kira pangkat dan kedudukan supaya sentiasa mematuhi peraturan dan menghormati undang-undang!

Yang Melanggar Undang-Undang Perlu Dihukum & Bukan Disokong

Golongan-golongan OBKT perlu diberitahu bahawa, siapa jua mereka, undang-undang sememangnya tidak mengenal sama ada anda merupakan seorang bapa, ibu, pelajar IPT, doktor, ahli politik, cendiakawan, wartawan waima pensyarah sekalipun, jika anda tidak bertanggungjawab, bercakap atau menulis sesedap mulut tanpa perlu rasa hormat kepada Perlembagaan Persekutuan, undang-undang tertinggi negara yang kita dukung ataupun Institusi Raja-Raja Melayu, yang kita semua hormati, anda tentunya akan didakwa! Bekas Hakim Makhamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah berkata, ‘mereka yang melanggar undang-undang perlu dihukum dan bukannya disokong. Dengan menolak kumpulan kecil yang tidak menghormati undang-undang kita akan dapat melahirkan masyarakat yang hidup aman dan harmoni’. Datuk Mohd Noor Abdullah juga menyokong seruan sesetengah pemimpin kerajaan yang menyeru supaya Akta Hasutan 1948 diperkasakan malah beliau menambah supaya Akta Derhaka digubal memandangkan berlaku pelbagai insiden menderhaka kepada Raja-Raja Melayu kebelakangan ini.

Persoalannya, perlukah kita memberi perlindungan istimewa kepada seseorang pensyarah hanya kerana pelajar-pelajar pensyarah tersebut gusar dan sedih dengan dakwaan yang dihadapi oleh pensyarah mereka? Seseorang pensyarah juga harus bertanggunjawab dan jika tidak, perlu belajar dan diajar untuk bertanggungjawab!

Undang-Undang Itu Buta Warnanya

Tentunya ini akan menunjukkan satu teladan dan pengajaran yang baik, bahawa, undang-undang tidak mengenal sesiapa. Oleh itu hormatilah udang-undang. Apa gunanya jika kita saban tahun berbondong-bondong menghasilkan graduan lepasan undang-undang jika mereka tidak tahu dan mahu menghormati undang-undang itu sendiri?

Apakah pembaca-pembaca undang-undang yang bakal menjadi peguam-peguam Malaysia kelak, tidak pernah terdedah dengan petikan kata-kata Al marhum bekas Ketua Hakim Negara, Sultan Azlan Shah bahawa ‘The right to free speech ceases at the point where it comes within the mischief of the Sedition Act.’?

Dan dengan semangat kata-kata tersebutlah kita harus mengatakan tidak kepada mereka-mereka yang cuba menipu diri sendiri dengan seribu satu alasan supaya Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1970) dimansuhkan!

SUHAKAM Dengan Kelapukan

Kita harus mengatakan tidak kepada Suhakam yang menyatakan kekesalannya di atas pengunaan Akta Hasutan 1948 dengan mengatakan ianya lapuk dan digubal oleh pihak berkuasa penjajah kerana hakikatnya untuk pengetahuan pihak Suhakam ianya telah dipinda pada tahun 1970 untuk memupuk keharmonian kaum setelah berlakunya tragedi berdarah 13 Mei pada tahun 1969, seperti yang dinukilkan sebelum ini. Suhakam patut kesal kerana kebelakangan ini semakin ramai mereka-mereka yang tidak mahu menghormati undang-undang dan sering pula cuba menghasut masyarakat untuk tidak menghormati Raja-Raja Melayu seperti yang jelas termaktub dalam Artikel 181 Perlembagaan Persekutuan.

Adakah Raja-Raja Melayu yang mempunyai tanggungjawab ke atas rakyatnya seperti yang termaktub dalam undang-undang tidak mempunyai hak asasi langsung di mata Suhakam?

Sejak Bila Golongan Akademik Boleh Berkata Apa Sahaja Termasuk Melanggar Undang-Undang?

Kita harus mengatakan tidak kepada sekumpulan 300 orang akademik yang mendakwa penggunaan akta ini ke atas salah seorang rakan mereka bertentangan dengan fitrah seseorang manusia itu untuk berfikir ke arah pencerahan, kerana pada pandangan kita seorang manusia yang bertanggungjawab, apatah lagi seorang akademik, harus tahu perimeter boleh dan tidak boleh untuk berkomentar tentang sesuatu perkara apatah lagi untuk pencerahan.

Katakan Tidak Kepada Golongan PRO HASUTAN

Kita harus mengatakan tidak kepada gerakan sekumpulan OKT dan OBKT yang mahu menjelajah Malaysia untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1970) dengan tuduhan batil dan dangkal hanya kerana sesetengah daripada mereka itu sendiri terdiri daripada OKT dan OBKT! Katakan kepada mereka juga bahawa mereka harus bekerja dengan lebih kuat lagi dan memberikan kita semua, alasan yang lebih kukuh selain
daripada mengulang-ulang alasan remeh bahawa akta ini sudah lapuk dan diwarisi daripada penjajah!

Antara Dua 'Lembu'

Kita harus mengatakan tidak kepada usaha Gerakan yang cuba menidakkan proses undang-undang dengan meminta kerajaan masuk campur dalam pendakwaan seseorang kolumnis, hanya kerana parti tersebut berpendapat bahawa beliau tidak bersalah. Gerakan harus tahu, jika itu dibenarkan berlaku, porak-perandalah institusi kehakiman kita kerana
undang-undang kita boleh dikawal selia dengan sentimen sesetengah pihak. Tahukah Gerakan bahawa ramai juga penjenayah yang pada pendapat ahli keluarga mereka sendiri merupakan ‘lembu suci’ yang bebas sebarang dosa?

Kita juga harus mengatakan tidak kepada pandangan Guan Eng dan menjelaskan kepadanya bahawa isu samada kerajaan mempunyai lidah bercabang adalah tidak benar apabila yang didakwa menghasut kebelakangan ini bukan saja terdiri daripada ahli-ahli politik pembangkang, malah ‘ahli akademik undang-undang tanpa perkaitan politik’ dan wartawan juga turut didakwa.

Kita harus mengatakan tidak kepada pemikiran bahawa sesetengah wakil-wakil rakyat sengaja didakwa menghasut supaya mereka kehilangan kerusi mereka jika didapati bersalah apabila mahkamah menjatuhkan denda RM2000 atau lebih atau hukuman penjara sekurang-kurangnya setahun kerana menghasut. Sebenarnya wakil rakyat terbabitlah yang
patut dipersalahkan kerana gagal mengawal diri sendiri untuk tidak menghasut!

Berhenti Membuli Malaysia

Kita harus mengatakan tidak kepada ICJ dalam usaha mereka untuk campurtangan dalam urusan kedaulatan undang-undang negara dan cuba membuatkan Emerlynne Gil, wakil Asia Tenggara organisasi antarabangsa itu bahawa Malaysia dan rakyatnya tidak perlu risau dengan standard antarabangsa yang amat mencurigakan!

Malaysia dan rakyatnya hanya perlu patuh kepada undang-udang negaranya sendiri, dan ICJ perlu belajar untuk menghormatinya juga dan hentikan segera segala bentuk buli, ke atas negara kecil seperti Malaysia!

Mimpi Basah Wong Chen

Kita juga harus ingat untuk mengatakan tidak kepada dakwaan tidak berasas Wong Chen bahawa apabila Malaysia perkuatkuasakan undang-undangnya, para pelabur akan lari meninggalkan Malaysia dan bakal menjejaskan ekonomi negara yang semakin mengukuh kini. Untuk pengetahun Wong Chen, Malaysia yang aman damai lah yang menjadi sebab
musabab kemasukan FDI berkualiti yang berterusan!

Kita harus mengatakan tidak kepada pandangan yang dilontarkan Anwar Ibrahim bahawa pelaksanaan undang-undang kepada mereka-mereka yang didakwa menghasut bukanlah sebuah bentuk penjajahan. Malah mana-mana negara berdaulat tidak perlu mendapatkan arahan mana-mana pihak untuk sesuatu proses undang-undang itu berjalan!

Shamini Darshini & Celik Masa Yang Rosak

Katakan tidak kepada Shamini Darshni yang mengatakan bahawa Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1970) ‘belongs to 1948, not 2014’. No Sharmini, please, do think. Please, do express yourself. Please, do write. But please do all this within the boundary of the laws. Please don’t break the law. Of course be daring and say what you think. Just don’t be afraid to face the music too. And by the way, Sharmini, do you think the Federal Constitution belongs to which year, again? 


Oskar Untuk Sang Loyar

Monolog di permulaan penulisan ini saya ambil secara verbatim daripada sebuah filem Hollywood yang baru saya tonton. Anda juga patut cuba menontonnya. Mungkin golongan OKT dan OBKT perlu menonton filem yang sama, ianya sangat menghiburkan. 

Sama seperti terhiburnya saya ketika membaca respon mereka-mereka yang siang malam kerjanya asyik menghasut, cuba pula menghasut orang ramai supaya meminta kerajaan memansuhkan Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1970), bila mereka dan ‘partners in crime’
mereka didakwa menghasut. Memang layakpun ‘bintang-bintang’ moderates tersebut menjadi penghias muka depan The Hollywood Reporter. Lakonan mereka mengalahkan pemenang Oskar!



Oh ya, watak utama filem End Of Watch, seorang anggota polis yang bermonolog di awal cerita, mengatakan yang dia tidak sanggup untuk membiarkan anaknya nanti membesar dan menjadi seorang anggota polis.

Dia mahu anaknya kelak mempunyai pekerjaan yang 'LEBIH JUJUR'. ‘Kerja apa?’ tanya rakan sejawatannya. Sambil tersenyum dia menjawab ‘ahli politik!’.

Megat Rizal M.H.


0 comments:

Post a Comment

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.