Monday, 11 August 2014

Tuntutan Penambahbaikan Akta Hasutan Dari PEMBELA



Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyuddin Yassin semalam telah menyatakan dengan tegas Akta Hasutan 1948 perlu diperkemaskan serta dibuat penambahbaikan. Ia berikutan tindakan-tindakan diluar batasan sesetengah warga negara yang tidak bertanggungjawab serta berfahaman pelampau mempertikaikan, menghina serta melakukan tindakan provokasi ke atas keharmonian agama dan kaum di dalam negara ini.

Mewakili pihak Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), saya ingin merakamkan ucapan syukur kepada Allah dan berterima kasih di atas perhatian TPM berkenaan isu ini.

Pihak kami, sejak dari awal lagi konsisten dengan pandangan bahawa Akta Hasutan 1948 tidak perlu dihapuskan melainkan dibuat penambahbaikan yang perlu mengikut peredaran zaman dan keperluan melindungi Perlembagaan Persekutuan.

Islam sebagai Agama bagi negara ini dilihat sering menjadi mangsa tohmahan, penghinaan serta cercaan golongan warga yang tidak bertanggungjawab. Malah institusi Raja-Raja Melayu dan lain-lain institusi Islam yang menjadi pelindung kepada kedudukan Agama Negara turut menjadi mangsa penghinaan serta kebiadaban golongan ini.

Melihat rasa tidak hormat yang semakin hari semakin galak ditonjolkan oleh golongan pelampau ke atas kedudukan Islam sebagai Agama Negara ini, pihak kami merasakan telah tiba masanya keperluan penambahbaikan kepada Akta Hasutan 1948 tersebut dilaksanakan.

Pihak kami memohon supaya setiap usaha untuk menjalankan sebarang bentuk penambahbaikan kepada mana-mana undang-undang sedia ada perlu dibuat dengan membuat konsultasi dengan semua pihak-pihak yang berkepentingan. Dalam kes Akta Hasutan 1948, Majlis Raja-Raja, Majlis-Majlis Agama Islam Negeri dan NGO-NGO Islam dan Melayu perlu dijemput sama untuk didengari pandangan serta buahfikiran mereka.

Kami juga melihat, terdapat keperluan mendesak untuk menambahkan pindaan kepada seksyen 3 (1) Akta Hasutan 1948 dengan memasukkan klausa baharu iaitu klausa 3 (1)(g) yang menekankan kepada aspek melindungi Islam dan institusi Islam daripada sebarang bentuk tindakan mendatangkan kebencian dan penghinaan.

Pihak kami ingin mendesak supaya klausa penambahbaikan ini dapat disertakan ke dalam Akta Hasutan 1948 tersebut bagi mengekang gejala penghinaan ke atas Agama Negara ini.

Tanpa undang-undang yang efektif, semua bentuk perkara serta tindakan yang boleh mengancam serta memporak perandakan negara tidak akan dapat dibendung dengan berkesan.

Justeru itu, pihak kami ingin mendesak supaya penambahbaikan ini dapat dilakukan segera dan konsultasi bersama Majlis Raja-Raja, institusi-institusi Islam dan pihak-pihak berkepentingan Islam dan Melayu di dalam negara ini dapat diusahakan dengan lebih serius.


Ke Arah Malaysia Yang Aman Dengan Islam Yang Berdaulat.
Bersama Mendaulatkan Islam Sebagai Agama Negara.

Ustaz Mohamed Hafiz bin Mohamed Nordin,
Pengerusi,
Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA).

4 comments:

  1. Kalo tambahbaik, tp gani jugak AG, ada hasil ke bang??

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kita buat apa yg perlu dibuat dulu.. penambahbaikan ini akan ada di situ walaupun AG bertukar ganti..

      Kita buat tindakan yg lebih kekal..

      Delete
  2. Heran aku, takkan takde undang2 yg boleh charge non muslim hina Islam?

    ReplyDelete
  3. Sangat menyokong saranan ini. Tapi Elok juga PEMBELA turun ke masjid2, daerah2 dan kampung2 bawa gagasan ini untuk dijelaskan kpd masyarakat awam. Terlalu ramai orng awam yg dahagakan penerangan mengenai isu ini. Sekia terima kaseh.

    ReplyDelete

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.