Wednesday, 6 August 2014

Tubuh Suruhanjaya DiRaja Untuk Hentikan Tuding Menuding Antara AG dan IGP

Isu pendakwaan selektif melibatkan Ketua Polis Negara (IGP) dan Peguam Negara (AG) nampaknya tidak mungkin dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat. Meskipun begitu PDRM telah mengambil langkah baik dengan tampil menjelaskan perkara yang menjadi buah mulut kemarahan ramai pihak di Malaysia. Berbeza dengan PDRM, Peguam Negara mengambil jalan untuk terus tidak mahu melayan permintaan ramai pihak yang mahukan penjelasan daripada Pejabat Peguam Negara yang diketuainya berkenaan isu pendakwaan selektif ini. Engagement dengan rakyat seolah tidak wujud di dalam kamus seorang Peguam Negara.

Prof Shamrahayu, seorang pakar Perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa telah menasihatkan kepada Tan Sri Abdul Gani Patail untuk mengendurkan sedikit kekakuan Pejabat Peguam Negara dengan melakukan engagement yang kerap dengan pihak rakyat. Zaman telah berubah,tetapi sikap dan pendekatan Peguan Negara dalam menerajui Pejabat Peguam Negara tidak langsung membantu imej kemampuan pemerintah untuk menjalankan keadilan dengan seadil-adilnya. Penulisan penuh teguran Prof Shamrahayu boleh dibaca pada pautan ini.



Bangkit.info telah berkali-kali menyatakan bahawa isu persepsi ini harus di atasi dengan segera dan tuntas supaya semua ketegangan yang sedang merebak dengan pantas di dalam negara dapat dikendurkan. Malah, bukan hanya dengan membuat tuntutan melalui penulisan di dalam laman web ini, pihak kami menerusi Pengerusi PEMBELA telah mengadakan pertemuan dengan pihak Ketua Polis Negara pada 25 Ramadhan 1435 (24 Julai 2014) yang lepas, untuk mendapatkan gambaran sebenar dan menuntut penjelasan daripada IGP berkenaan isu ini.

Dalam pertemuan tersebut,Tan Sri Khalid Abu Bakar menyatakan bahawa pihak PDRM telah melakukan siasatan penuh dan menyerahkan semua kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara. Beliau juga telah menganjurkan supaya pihak NGO dan PEMBELA yang mengadakan pertemuan dengannya supaya bertanyakan perkara tersebut kepada AG.

Atas nasihat IGP, itulah juga perkara yang kami lakukan dengan menuntut penjelasan daripada AG di dalam surat terbuka Pengerusi PEMBELA sebelum ini. Malang sekali apabila isu ini terus dijadikan seperti bola yang ditendang ke kiri dan ke kanan apabila AG tidak mahu memberikan sebarang respons tetapi menyuruh semua pihak untuk bertanyakan kembali kepada pihak PDRM. Apa erti semua ini???


Atas sikap itulah, pihak kami mendapati bahawa isu persepsi pendakwaan selektif melalui tuding menuding ini tidak akan dapat diselesaikan dengan baik dan jayanya. Atas sebab itulah juga, pihak kami mendapati bahawa telah tiba masanya satu Suruhanjaya DiRaja ditubuhkan bagi membawa kedua-dua IGP dan AG bagi memberi penjelasan serta disiasat masalah ini sehingga ke akar umbi. Tanpa Suruhanjaya DiRaja, janganlah diharap isu ini dapat diselesaikan dengan mudah.

Sikap ini telah menimbulkan perasaan tegang dikalangan masyarakat. Pemuda UMNO yang merupakan sebahagian dari parti pemerintah sendiri sudah terbangun dari lamunan mereka dengan turut menuntut AG untuk segera mengambil tindakan ke atas kes-kes yang telah dilaporkan. Cuma apabila mereka memberikan tempoh tujuh hari kepada AG dan SKMM untuk mengambil tindakan dengan amaran akan mendedahkan lebih banyak bukti penghinaan ke atas Islam, Raja-Raja Melayu dan sebagainya, pada kami tindakan lanjut tersebut tidak akan membawa perkara ini kepada sebarang bentuk penyelesaian. Untuk makluman, pihak Polis mempunyai semua maklumat tentang penghinaan yang telah dilakukan melalui laporan-laporan yang telah dibuat kepada mereka. Malah ada diantaranya telah disiasat dengan lengkap menurut apa yang dimaklumkan IGP kepada pihak PEMBELA. Yang menjadi masalahnya ialah, kenapa semua hasil siasatan itu tidak membuahkan hasil tindakan yang diharapkan. Jika setakat mahu mendedahkan, google sahaja perkataan 'hina Islam', ratusan screenshot dan penulisan-penulisan menghina Islam akan muncul pada paparan skrin. Ini tidak akan menyelesaikan masalah. Yang perlu pihak pemuda UMNO lakukan selepas tamat tempoh tujuh hari tersebut ialah dengan mengadakan pertemuan dengan Presiden UMNO itu sendiri dan memujuk serta memintanya bersetuju untuk mencadangkan penubuhan satu Suruhanjaya Siasatan DiRaja bagi mengembalikan kepercayaan pihak awam kepada sistem keadilan di Malaysia.

Cuma kesunyian suara dari blok penyokong pembangkang menimbulkan satu bentuk misteri. Seolah-olah mereka redha dan berpuashati dengan cara dan corak kerja AG selama ini. Jika pemuda UMNO dan parti UMNO yang merupakan parti pendukung kepada Najib Tun Razak sehingga diangkat sebagai Perdana Menteri berasa sangat resah dengan tindak tanduk AG ini, ia seolah sedang mencadangkan bahawa sikap yang sedang diambil oleh AG boleh memberikan tekanan politik ke atas keupayaan kepimpinan Najib Tun Razak.

Sejarah kejatuhan Presiden UMNO yang terdahulu bermula dari rasa tidak berpuas hati sebegini. Ia bermula dengan cakap-cakap bahawa kerajaan terlalu berlembut dengan tuntutan demi tuntutan bersifat Anti Perlembagaan oleh golongan pelampau bukan Islam. Ketidakmampuan dirinya untuik menunjukkan kepimpinan yang tegas menyebabkan munculnya tuntutan supaya beliau meletakkan jawatan. Pasti Dato' Seri Najib Tun Razak mengingati saat beliau sendiri, sebagai Timbalan Perdana Menteri pada waktu itu,  terpaksa bersuara menenangkan suara-suara di dalam mesyuarat yang menyerang mantan Perdana Menteri supaya segera meletak jawatan. Jika isu AG ini tidak dapat diselesaikan dengan tegas, pantas dan adil, maka putaran yang pernah berlaku kepada pemimpin yang dipertahankannya di dalam mesyuarat tersebut, akan datang segera pula kepadanya nanti.

2 comments:

  1. Ya. UMNO MESTI DESAK NAJIB UTK TUBUH SURUHANJAYA DIRAJA.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Mrk yg plg dekat dgn Najib, jd mrklah yg perlu lebih kuat mendesak.

      Delete

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.