Saturday, 16 August 2014

Sebarang pindaan Akta Hasutan perlu menjamin kedaulatan Perlembagaan Persekutuan

Peguam Tuan Muhammad Luttfi Abdul Khalid iPeguam

BANGI, 13 Ogos – Sebarang cadangan pindaan atau penggantian Akta Hasutan 1948 dengan akta baharu haruslah menjamin dan mempertahankan kedaulatan Perlembagaan Persekutuan, kata Pengerusi Gabungan Peguam Ikatan Muslimin Malaysia (iPeguam), Encik Muhammad Luttfi Abdul Khalid.
Menurutnya, ISMA berpendirian bahawa aspek pelaksanaan akta dan undang-undang harus mengatasi aspek pindaan atau penggantian akta itu.
Dalam ertikata lain, jika dikekalkan sekalipun, Akta Hasutan tidak boleh disalahguna hanya untuk kepentingan politik ataupun diganti dengan akta baharu semata-mata atas alasan menjaga keharmonian seperti yang dicadangkan oleh Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) dan kumpulan liberal yang lain.
“Perkasakan pelaksanaan undang-undang. Ini yang kita mahu.
“Selain itu, Akta Hasutan tidak boleh dikekalkan untuk tujuan politik oleh mana-mana parti. Begitu juga ia tidak boleh diubah atau diganti dengan tujuan semata-mata mahu menjaga keharmonian kaum sehingga orang Melayu tidak lagi boleh mempertahankan hak mereka jika terdapat bangsa lain yang menganggu gugat Perlembagaan,” tegasnya kepada wartawan ISMAweb.
Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan bahawa pihak kerajaan bersedia untuk meminda Akta Hasutan dan undang-undang lain sedia ada bagi membolehkan tindakan tegas diambil terhadap individu yang menggunakan media sosial untuk menghina agama atau menyebar kenyataan berunsur hasutan tanpa mengira kaum dan agama.
Menurut Encik Muhammad Luttfi, terdapat segelintir pihak yang terlibat dalam arena politik atau berfahaman liberal yang mahu Akta Hasutan dihapuskan dengan menggunakan modal ‘menjaga keharmonian kaum’.
“Bagi mereka, keharmonian kaum itu apabila orang Melayu tidak boleh bercakap soal hak yang telah dijamin Perlembagaan, manakala orang bukan Melayu boleh persoal apa yang ada dalam Perlembagaan atas alasan “kebebasan bersuara”. Sebab itu mereka mahu Akta Hasutan dimansuhkan.
“Sedangkan keharmonian kaum yang hakiki adalah apabila Perlembagaan didaulatkan dan kedudukan Islam dan Melayu diletakkan pada kedudukan yang tidak boleh diganggu gugat . Dan mana-mana pihak yang mempertikai peruntukan-peruntukan dan jaminan-jaminan Perlembagaan berkaitan Melayu, Islam dan raja itulah yang dianggap menghasut dan melanggar Akta Hasutan 1948 dan seharusnya didakwa dan dikenakan tindakan undang-undang,” katanya lagi.
Untuk rekod, terdahulu daripada ini, Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah menyifatkan bahawa Malaysia boleh menjadi huru-hara jika kerajaan meneruskan cadangan untuk menghapuskan Akta Hasutan 1948. Ini berikutan undang-undang baharu yang dicadang untuk menggantikan akta berkenaan tidak mampu untuk menghalang pelbagai jenayah hasutan yang akan berlaku.

0 comments:

Post a Comment

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.