Sunday, 24 August 2014

Sampai Bila Mahu Mengharap Tragedi Untuk Menyemai Perpaduan?



Berapa tragedi lagi yang kita perlukan untuk memastikan rakyat negara ini dapat bersatu padu dan hidup dengan aman dan damai? Sepuluh Tragedi? Seratus Tragedi? Seratus Ribu Tragedi?

Lahad Datu, MH370 dan MH 17, jika mahu dilihat satu persatu perkara yang menimpa negara, tragedi-tragedi kebanyakannya seolah melibatkan campurtangan luar yang cuba menggunakan Malaysia sebagai bidik catur di dalam percaturan mereka.

Tragedi-tragedi ini meninggalkan kesan trauma yang mendalam kepada mereka yang mengalaminya. Seluruh negara juga terkejut dan gempar apabila peristiwa pada skala mengancam nyawa rakyat Malaysia, secara tiba-tiba berlaku dengan kerap ke atas negara ini.
Mengharapkan sesuatu yang positif dapat dituai dari tragedi besar yang menimpa ini, terdengar seruan dari ramai pihak termasuk pihak pemerintah untuk menggunakan kesedihan yang sedang menyelubungi kita ini sebagai baja untuk menyemai perpaduan dan penyatuan seluruh negara.

Tetapi, apakah kaedah menggunakan tragedi-tragedi ini sebagai penyemai perpaduan negara akan berhasil di kala mana, terdapat agen-agen subversif, pelampau malah NGO-NGO haram yang mendapat dana tajaan dari luar negara untuk terus membuat kacau di dalam negara?

Keupayaan membuat kacau ini ditambah pula dengan penghapusan Akta Keselamatan Dalam Negeri ISA dan Deklarasi Darurat sebelum ini, telah membuatkan hampir semua gerakan pelampau dan subversif yang dormant sebelum ini, mula menonjolkan sisi-sisi ekstremis masing-masing.

Apabila negara teruk diuji dengan rusuhan perkauman pada 1969, Allahyarham Tun Abd Razak nyata bertindak bijak apabila memperkenalkan Lima Prinsip Rukun Negara sebagai agenda penampan supaya tragedi pada skala yang sama tidak lagi berulang.

Selama hampir lebih 4 dekad ianya berjaya meletakkan keamanan ditempat yang sepatutnya di dalam negara ini. Keamanan yang dikecapi selama lebih 4 dekad sejak prinsip-prinsip Rukun Negara diajarkan serta disemai di kalangan rakyat, membolehkan ekonomi negara ini berkembang dan kemajuan dapat berlaku dengan pesat.

Tetapi semua itu tidak lama. Sebaik Akta Keselamatan Dalam Negeri dan Deklarasi Darurat serta undang-undang yang hampir serupa dimansuhkan, muncullah gerakan demi gerakan subversif, pemisah dan ekstremis bagai cendawan yang tumbuh selepas hujan.

Keadaan lebih memburukkan apabila penguatkuasaan undang-undang juga kelihatan seakan  bersifat dan bersikap selektif. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri menyatakan bahawa persepsi berlakunya pendakwaan selektif ini ada asasnya. 1

Tidak cukup dengan memansuhkan ISA, Deklarasi Darurat dan sebagainya, kini Akta Hasutan 1948 pula mahu dimansuhkan. Dengan keadaan sedia ada, tanpa undang-undang yang cukup untuk menyekat elemen ekstremis, subversif, anarkis dan pemisah, pemansuhan Akta Hasutan 1948 bakal mengundang satu bentuk tragedi yang lebih besar ke atas negara nanti.

Rukun Negara tidak lagi dihormati. Ia sudah menjadi satu bahagian yang dilupakan di dalam sejarah. Mengejar pujian dunia dan pengiktirafan dengan cara yang salah dengan mencabut semua bentuk pagar yang selama ini berkesan menahan sang serigala daripada merobek keamanan negara amatlah dikesalkan. Amerika masih mempunyai Akta Patriot untuk perpaduan dan keamanan. Singapura masih teguh berdiri mempertahankan ISA untuk perpaduan dan keamanan. Kita yang mempunyai semua itu, membuangnya kerana mahukan glamor dan pengiktirafan songsong sehinggakan terpaksa mengemis kepada tragedi-tragedi besar sebagai baja perpaduan baharu negara.

Maka terpaksalah pemerintah mengemis kepada tragedi demi tragedi yang menimpa negara sebagai sumber utama hujah dan bekalan untuk menyuburkan rasa perpaduan di dalam masyarakat.


Sayang, kebijaksanaan Tun Abdul Razak tidak diwarisi oleh generasi pemimpin-pemimpin baru negara.


Rujukan :

0 comments:

Post a Comment

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.