Friday, 15 August 2014

“Kenapa kita yang mempertahankan perlembagaan dilabel rasis?”




Prof. Madya Dr. Rafidah Hanim Mokhtar ketika menyampaikan buah fikirannya sambil disaksikan oleh Felo HAKIM Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Prof. Madya Dr. Rafidah Hanim Mokhtar ketika menyampaikan buah fikirannya sambil disaksikan oleh Felo HAKIM Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal. Gambar oleh Siti Farhana Fathy.
KUALA LUMPUR, 13 Ogos – “Kenapa kita yang mempertahankan perlembagaan dilabel rasis?” soal Ketua Penerangan Wanita ISMA Prof. Madya Dr Rafidah Hanim semasa menjadi panelis Forum Asas dan Masa Depan Perpaduan Nasional yang diadakan di Rumah Pena, Bukit Petaling di sini malam tadi.
Ketika membicarakan soal rasisme, beliau mempertikaikan mengapa tiada tindakan tegas diambil terhadap pihak-pihak yang terang-terangan mempersoal isi kandung Perlembagaan seperti dokumen Comango dan Cedaw sebaliknya pihak yang mempertahankan Perlembagaan digelar rasis.
Beliau juga mendatangkan bukti sebuah dokumen yang bertajuk ‘Institutional Racism and Religious Freedom in Malaysia’ yang disediakan khas untuk US House Committees of Foreign Affairs yang tidak diambil tindakan.
Dokumen yang telah dimuatnaik di akaun facebook Karpal Singh beberapa hari sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 itu menyebut bahawa Perkara 153 yang memberi hak keistimewaan orang Melayu merupakan ibu (akar) rasisme di Malaysia.
“Dokumen tersebut masih ada lagi dalam fb mendiang, kenapa yang ini tidak ditangani dulu? Artikel 153 digelar rasis. Kenapa kita yang mempertahankan Perlembagaan ini dilabel rasis?
“Dah lah tu dilabel oleh orang lain, tetapi disokong oleh NGO Islam dan juga ahli politik muslim. Sedangkan kita mempertahankan satu perkara yang amat penting, ini belum masuk lagi dokumen-dokumen seperti Comango dan Cedaw yang di dalamnya ada banyak menyentuh artikel-artikel dalam Perlembagaan sebagai satu perkara yang mengkucar-kacirkan Malaysia menurut mereka,” kata beliau.
Dr. Rafidah yang juga Timbalan Dekan Akademik dan Kajian di Fakulti Perubatan dan Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) merupakan salah seorang daripada 4 panelis yang dijemput dalam forum itu.
Panelis yang lain ialah Ahli Parlimen Parit Buntar Dr Mujahid Yusuf, Naib Presiden Ikram Zaid Kamarudin dan Felo Himpunan Keilmuan Muslim (HAKIM) Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Selain itu, Dr. Rafidah berkata, punca berlakunya pergolakan dalam isu perkauman ini ialah tahaluf di antara PAS dan parti bukan Islam kerana tahaluf telah banyak mendiamkan keindahan Islam yang sebenarnya.
“Gabungan tahaluf yang ada sekarang lebih banyak mendiamkan keindahan Islam yang sebenar daripada menyatakannya secara terbuka dan mencari penyelesaian dalam konteks itu. Kita terlalu malas untuk memberi penyelesaian yang ada dalam Islam. Saya bagi contoh, hak penjagaan kanak-kanak, hadanah.
“Di sebalik kita bercakap tentang dibenarkan ibu yang bukan Islam menjaga anak tersebut dengan pengawasan ayah yang muslim, iaitu level yang keempat yang paling ringan, kebanyakan ahli politik Islam terus mengiyakan permintaan dan kehendak non muslim dalam isu yang sangat sensitif ini.
“Kita ambil jalan mudah untuk mengatakan ‘yes you are right, Islam is not like that’ (kepada pihak non muslim yang menuntut), sedangkan Islam ada banyak level yang perlu kita perbahaskan. We don’t want to crack our heads (Kita tidak mahu memikir lebih untuk menyelesaikan masalah) dalam kerangka syariah untuk menampakkan Islam itu indah.
“We chose to settle things outside Islam and these wouldn’t settle. Dan sebab itu saya merasakan bahawa tahaluf yang mendiamkan kebenaran Islam dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, inilah punca kenapa kita lebih banyak bergolak dan kita lebih banyak dikatakan rasisme dan sebagainya,” ujar beliau.

Pautan asal :

0 comments:

Post a Comment

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.