Friday, 22 August 2014

Berkabung Menangisi Kematian Legasi Tun Abd Razak



Hari ini, telah dijadikan hari bersedih demi mengenangkan mangsa-mangsa pesawat MH 17. Sebuah peristiwa yang jika tidak ditangani dengan cermat, boleh sahaja mencetuskan satu lagi perang besar bertaraf perang dunia ketiga.

Setakat ini, semua perkara melibatkan peristiwa MH17 telah ditangani dengan penuh hati-hati oleh semua pihak. Salah langkah, maka konflik yang seharusnya boleh dielakkan bakal meletuskan suasana huru hara hampir di seluruh dunia.

 Apabila manusia, tidak lagi menghormati nyawa, maruah serta persaudaraan sesama manusia, maka disanalah bermula bunga-bunga permulaan konflik. Ia tidak hanya unik diperingkat antarabangsa, tetapi ia tetap terpakai sehingga di dalam peringkat tempatan.

Malaysia melalui beberapa detik-detik hitam di dalam sejarah peradabannya. Peristiwa 13 Mei 1969, antara yang terburuk di dalam sejarah kewujudan Malaysia. Bagi mengelakkan perkara yang sama daripada terus berlaku di masa hadapan, Allahyarham Tun Abdul Razak, pengerusi Majlis Perundingan Negara (MAPEN) telah mengumumkan tentang keperluan menghormati Lima Prinsip Rukun Negara. Ikrarnya berbunyi seperti berikut :

MAKA KAMI, rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut :
·         KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN;
·         KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA;
·         KELUHURAN PERLEMBAGAAN;
·         KEDAULATAN UNDANG-UNDANG;
·         KESOPANAN DAN KESUSILAAN

Tetapi malangnya kini, Lima Prinsip Rukun Negara yang selama ini telah dijadikan sempadan serta penyemai benih perpaduan di dalam negara telah tidak begitu dipedulikan.

Malah, semakin ramai individu-individu biadab muncul mempersoalkan prinsip-prinsip ini dengan melakukan perbuatan menghina agama, memperlekehkan kesetiaan kepada raja dan negara, meludah perlembagaan dengan tafsiran songsang mereka, mencebik kedaulatan undang-undang kerana tidak mampu berbuat apa-apa kepada mereka disebabkan penguatkuasaan undang-undang yang lemah dan kelucahan serta perbuatan bertentangan dengan moral dan tata susila kini mahu diangkat sebagai hak yang tidak boleh didiskriminasikan.

Malang sekali antara pelaku-pelakunya ialah pihak-pihak yang dilantik oleh pemerintah seperti NUCC itu sendiri berusaha keras untuk memperkenalkan rang undang-undang yang mengiktiraf golongan tidak bertuhan, pengamal LGBTIQ serta membuka ruang bagi sebarang tindakan cercaan dan penghinaan tanpa melibatkan sentuhan fizikal sebagai satu hak yang boleh diiktiraf sebagai hak asasi manusia.

Malang, seribu kali malang apabila mereka-mereka ini dilantik oleh pemerintah yang seharusnya lebih kuat mempertahankan legasi Tun Abd Razak ini.

Bagi kami di Bangkit!, kami akan terus berjuang mempertahankan Islam, Perlembagaan dan prinsip-prinsip Rukun Negara.

Ini adalah saat yang sangat menyedihkan bagi negara. Bukan hanya kerana pelbagai ujian dari serangan Lahad Datu, pencerobohan ke atas kedaulatan negara oleh agen-agen asing yang bergerak di dalam puluhan NGO-NGO ekstremis, peristiwa MH370, peristiwa MH 17 malah agen-agen yang dilantik oleh kerajaan sendiri sedang cuba merobek dan mengubah demografi serta sifat negara bernama Malaysia ini ke arah sebuah negara yang hampir bersifat republik.

Melihat ancaman-ancaman ini yang tidak berhenti-henti bergerak meruntuhkan setiap sesuatu yang ada, maka janganlah hairan jika legasi Tun Abd Razak di dalam rupa bentuk Lima Prinsip Rukun Negara hanya akan menjadi sebagai sebuah sejarah lampau yang dipelajari di dalam buku teks sejarah pada masa hadapan.

Bangsa yang tidak pernah belajar dari sejarah, ialah bangsa yang akan dimasukkan ke dalam buku sejarah di dalam bab tamadun-tamadun yang telah pupus ~ Imran Haaz


1 comments:

  1. Simpati saya dgn Tun Razak. Usaha kerasnya kini menjadi bahan terajang manusia biadab.

    ReplyDelete

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.