Tuesday, 8 July 2014

Pembunuhan Karakter Tun Abdul Hamid Dan Dendam Vincent Wong?

Malaysian Insider sekali lagi memainkan peranan biasa mereka. Menggunakan Modus Operandi memetik sumber yang tidak dinamakan, TMI pada kali ini, seolah-olah cuba melakukan satu bentuk pembunuhan karakter ke atas Tun Abdul Hamid.
Kewartawanan tidak bertanggungjawab TMI, masih cuba menangguk di air yang keruh dengan memanaskan isu berkenaan isu Rang Undang-Undang Harmoni. RUU harmoni sebelum ini dikritik oleh ramai pihak, termasuk ratusan NGO-NGO Islam dan Melayu, kerana dideraf secara berat sebelah termasuk memasukkan elemen-elemen bersifat Anti Rukunegara, Anti Melayu dan Anti Islam di dalamnya.
Ia turut dikritik oleh Tun Abdul Hamid yang pernah menyatakan bahawa beliau pernah ditawarkan untuk menjadi Pengerusi Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional (MKPN-NUCC).  Tun Abdul Hamid juga mengkritik komposisi NUCC yang dikatakan telah dirampas oleh segmen-segmen tertentu dari parti pembangkang. Menilai halatuju serta komposisi NUCC yang ditawarkan kepadanya untuk dipengerusikan, Tun Abdul Hamid dapat menghidu halatuju bersifat anti Nasional dan Anti Islam yang akan dijalankan NUCC.
TMI cuba membunuh karakter Tun Abdul Hamid dengan pemberitaan yang mempotretkan beliau sebagai seorang yang mata duitan dan tidak jujur. Sesiapa sahaja boleh mengatakan apa sahaja dengan sumber yang tidak mahu didedahkan.
Malah untuk menjual cerita tersebut dengan lebih meyakinkan, mereka memetik kenyataan Vincent Wong, Setiausaha Politik kepada Joseph Kurup, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri. Vincent Wong menyatakan Tun Abdul Hamid, sebenarnya ditawarkan jawatan untuk mempengerusikan Jawatankuasa Mempromosi Persefahaman dan Keharmonian Di Antara Penganut Agama (JKMPKA) dan bukan NUCC.
Vincent Wong, NUCC dan Bible Dirampas MAIS
Kita tidaklah hairan dengan kenyataan Vincent Wong tersebut. Ini kerana beliau juga merupakan pihak yang terlibat di dalam mempromosikan RUU Harmoni bersama Bekas Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee sebelum ini. Sebagai penceramah jemputan NUCC, kecenderungan Vincent Wong untuk membela NUCC dengan membuat kenyataan tidak adil kepada Tun Abd Hamid bolehlah dipertikaikan.
Forum yang dianjurkan NUCC pada bulan Mei 2014 sebelum ini, turut dijadikan medan kesempatan untuk membelasah MAIS di dalam kes rampasan Bible di Selangor. Vincent Wong turut hadir sebagai penceramah di dalam forum tersebut.
Vincent Wong bukanlah nama yang asing di dalam kes rampasan Bible oleh MAIS di Selangor. Beliau sebelum ini pernah dilihat menemani Lee Min Choon, Pengerusi Bible Society Malaysia (BSM), semasa disoaljawab JAIS. Malaysiakini menyediakan laporan tersebut sebelum ini. Ia kemudiannya dipetik semula oleh Hornbillunleashed.
Jadi apakah komentar yang dibuat berkenaan Tun Abdul Hamid oleh Vincent Wong dalam TMI bebas dari sebarang sentimen dendam? Apakah Vincent Wong cuba melepaskan kemarahannya kepada Tun Abdul Hamid kerana membongkar kegiatan NUCC?
Seolah-olah terdapat satu bentuk perancangan tersusun supaya kredibiliti sesiapa sahaja yang mempertikaikan NUCC akan dihukum dengan pembunuhan karakter.
Ini termasuk apa yang berlaku kepada Tun Abdul Hamid. Kredibilitinya perlu dihancurkan supaya cita-cita golongan bukan Islam untuk menggunakan NUCC sebagai kenderaan agung cita-cita mereka akan tercapai.
Mana Rasa Hormat Pada Perdana Menteri?
Satu persoalan timbul, apakah barisan kabinet sudah tidak lagi memandang Perdana Menteri dengan rasa hormat? Kita melihat mereka kini dengan beraninya mengeluarkan kenyataan sesuka hati sehingga menjejaskan sentimen sokongan pengundi Islam kepada pemerintah.
Sebelum ini, Joseph Entulu secara melulu mengumumkan tiada lagi ruang kaum untuk borang-borang kerajaan. Kenyataan melulunya sehingga menyebabkan Dato’ Seri Najib Tun Razak terpaksa membetulkan kenyataan tersebut melalui sidang media.
Kali ini, Vincent Wong pula. Mana rasa hormat mereka pada Perdana Menteri? Atau apakah mereka merasakan Perdana Menteri mudah diugut dengan PRN Sarawak sehingga secara sesuka hati melibatkan diri dalam perkara-perkara yang sensitif dan mengeluarkan kenyataan sesuka hati mereka?
Adalah satu langkah yang amat bijak untuk Perdana Menteri memberi perhatian dan memastikan tindakan-tindakan seperti ini tidak berlaku lagi di masa hadapan.


2 comments:

  1. Bubarkan saja NUCC. Tiada faedah jika penubuhan di salah guna.

    Semua tertakluk Perlembagaan Malaysia Jika peraturan dan undang-undang di lihat sebagai kosmetik Malaysia, apa guna nya penguatkuasaan yang tidak berfungsi.

    Mereka tidak hormat PM, Institusi Islam yang di naungi DYM Agong, Raja dan Sultan Melayu malah semakin serius memperlekeh tokoh tokoh Melayu yang telah berjasa kepads Negara.

    Buat saja deklarasi memohon PM melupuskan NUCC. Gantikan dengan komposisi badan lebih berwibawa dan di percayai.

    Itu kenapa Malaysia hilang Pulau Batu Putih kerana kelalaian sengaja di buat....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tiada beban batu digalas. Itulah dia dengan kewujudan NUCC.

      Ia patut kategorikan sebagai sebuah kumpulan Ektremis yang menggugat prinsip2 rukunegara.

      Selagi ia kekal, ia akan menjadi duri dalam daging kepada pentadbiran pemerintah.

      Delete

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.