Tuesday, 15 July 2014

Israel langgar konvensyen antarabangsa PBB

Seorang sarjana terkemuka Eropah, Stephen Hopgood, telah menulis di dalam karya terbarunya, “The Endtimes of Human Rights” (2013) tentang kegagalan sistem hak asasi manusia sejagat dalam melindungi hak Negara-negara yang tertindas. Menurut pandangan Hopgood, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan NGO-NGO hak asasi manusia bersifat sebagai kuasa imperialisme yang bertopengkan moralisme yang pada satu masa dulu bermula sebagai suatu perkara yang baik dan kini hanya menjadi suatu industri. Lebih besar sesebuah NGO itu, besar lagi kemungkinan bahawa ianya telah berjinak dengan modal, dan hanya wujud untuk mengumpul wang dan bukannya mengumpul wang untuk wujud.
Kegagalan PBB dan NGO hak asasi manusia yang digambarkan Hopgood terzahir dengan lebih jelas apabila dunia menyaksikan sendiri kekejaman Israel terhadap masyarakat awam Palestin berlaku tanpa ada kutukan yang keras serta tindakan berkesan menghentikan serangan ketenteraan regim Zionis tersebut. Sehingga saat rencana ini ditulis, tidak kurang 1518 kanak-kanak Palestin telah terkorban semenjak tahun 2000, secara puratanya seorang setiap tiga hari. Israel terus menyerang penduduk awam Palestin dengan sengaja dan menyebabkan beratus-ratus kematian dan kecederaan yang serius terhadap beribu-ribu penduduk tidak berdosa. Ramai lagi penduduk yang sudah mulai meninggalkan kediaman mereka untuk melarikan diri ke sempadan Mesir demi menyelamatkan nyawa.
Israel ternyata telah melanggar Konvensyen antarabangsa PBB, khususnya yang melibatkan kanak-kanak iaitu Konvensyen PBB mengenai Hak Kanak-kanak (United Nations Child Rights Convention, UNCRC). Baru-baru ini. suatu delegasi peguam kanan dari Eropah telah melawat Israel dan tebing Barat serta menganalisis kesan sistem kehakiman Israel terhadap kanak-kanak Palestin. Hasil analisis tersebut menemukan bukti yang nyata bahawa Israel telah melanggar tidak kurang dari enam artikel UNCRC.
Laporan terkini pada bulan Jun 2012 tersebut yang bertajuk “Children in Military Custody” telah menyatakan pelanggaran Israel terhadap Artikel 2 (diskriminasi), Artikel 3 (kepentingan terbaik kanak-kanak), 37(b) (cara penahanan yang pra-matang) 37(c) (larangan pemisahan kanak-kanak dari orang dewasa), 37(d) (akses segera kepada peguam) dan 40 (penggunaan belenggu besi sebagai rantai). Israel telah menandatangani UNCRC dan pada tahun 2004 Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah memutuskan bahawa konvensyen tersebut terpakai keatas hak kanak-kanak di tebing Barat.
Laporan tersebut juga menyatakan bahawa Israel juga telah melanggar Artikel 76 Konvensyen Geneva Keempat (4th Geneva Convention), berhubung larangan memindahkan tahanan ke Negara yang menahan mereka. Artikel 65 pula mewajibkan penterjemahan undang-undang kanun kesiksaan ke dalam bahasa tahanan tersebut. Menurut para peguam kanan yang melakukan siasatan tersebut, pihak berkuasa Israel telah gagal menterjemahkan Perintah Ketenteraan 1676 dari bahasa Hebrew kepada Bahasa Arab, sekaligus menafikan hak kanak-kanak yang ditahan untuk mendapat keadilan sewajarnya. Israel merupakan parti di dalam Konvensyen Geneva tersebut, maka terikat dengan segala tanggungjawab di dalamnya.
Ini bukanlah kali pertama Israel melanggar konvensyen serta peraturan hak asasi manusia sejagat. Malah, semasa tiba giliran Israel disemak rekod hak asasi manusianya di Sesi Semakan Berkala Sejagat (UPR) Geneva pada awal tahun 2013, Israel telah dengan sengaja menarik diri dari sesi tersebut sehingga menerima celaan dari pelbagai Negara tentang sikap tidak bertanggungjawab. Israel juga gagal dan enggan hadir semasa laporan UPR terhadapnya dimuktamadkan pada 27 Mac 2014, iaitu beberapa hari selepas Malaysia membuat penerimaan muktamad (final adoption) laporannya. Tentunya, Israel ketakutan untuk membiarkan rekod hak asasi manusia Negara tersebut disemak, dengan kadar pembunuhan kanak-kanak Palestin yang sengaja dilakukan semenjak sekian lama. Dengan serangan terbaru yang tercetus semenjak 1 Julai baru-baru ini, rekod hak asasi manusia Israel terus menjadi semakin buruk, tetapi malangnya kedegilan Israel meneruskan pembunuhan masayarakat awam Palestin semakin menjadi-jadi oleh kerana kelemahan PBB dan sifat hipokrit NGO antarabangsa dalam menangani kejahatan Israel.
Walaupun pada 13 Julai Majlis Keselamatan PBB telah sebulat suara mendesak Israel agar menghentikan serangan terhadap masyarakat awam Palestin, namun regim Zionis tersebut telah secara berterusan melancarkan serangan roket. Malah serangan darat terhadap kedudukan kedaiman awam Palestin dibuat hanya beberapa jam selepas desakan sebulat suara Majlis Keselamatan PBB tersebut dikeluarkan.
Pelbagai usaha telah dilakukan untuk memaksa Israel menghentikan kekejamannya terhadap masyarakat awam palestin, khususnya kanak-kanak dan wanita. Malaysia telah menggesa agar PBB dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk melakukan campurtangan kemanusiaan demi menyelamatkan nyawa masyarakat awam Palestin dari terus menjadi mangsa keganasan regim tidak berperikemanusiaan ini. Di Negara kita, masyarakat dari pelbagai latarnelakang agama dan bangsa juga melakukan inisiatif bersama untuk memboikot pelbagai barangan yang dipercayai mempunyai kaitan menyumbang kearah peningkatan hasil ekonomi Israel yang digunakan untuk tujuan jenayah peperangan. Namun begitu, Israel terus mengganas kerana mereka mengetahui bahawa masyarakat antarabangsa tidak bersatu padu di dalam menentang perakuan jenayah mereka.
Pada tahap ini, Negara-negara yang masih mempunyai sifat kemanusiaan sepatutnya bergabung untuk menggunakan Artikel 8 Statut Rome untuk mengheret Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa. Tindakan boleh diambil terhadap keganasan Israel termasuklah menghentikan jenayah peperangan yang sedang dilakukan dan memaksanya menarik diri dari wilayah Palestin. Artikel 8 memberikan mahkamah tersebut kuasa untuk mengelakkan jenayah perang, khususnya peperangan yang dirancang sebagaimana yang dilakukan Israel. Negara-negara OIC khususnya, sepatutnya menggunakan kekuatan Negara-negara anggotanya untuk mencetuskan tindakan ini. Khususnya di bulan Ramadhan yang mulia ini, tidak sepatutnya nilai persaudaraan dengan umat Islam palestin dibiarkan dimamah oleh keangkuhan dan kekejaman regim Zionis Israel tanpa sebarang pembelaan.
AZRIL MOHD AMIN ialah seorang peguam yang mengetuai MuslimUPRo, iaitu Delegasi Pertubuhan-pertubuhan Islam Bukan Kerajaan ke Semakan Berkala Sejagat (UPR) di Geneva, Switzerland.

Pautan Asal :
http://azrilmohdamin.com/2014/07/14/israel-langgar-konvensyen-antarabangsa-pbb-3/

0 comments:

Post a Comment

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.