Tuesday, 1 July 2014

Benarkah Hudud tidak boleh dilaksanakan kerana Malaysia negara sekular?

PENJELASAN: 

MALAYSIA BUKAN SEBUAH NEGARA SEKULAR.
Bukti-bukti berasskan penegasan Perlembagaan Persekutuan (FC) mengenai perkara ini amat jelas sebagaimana berikut:

1. DALAM PERKARA 3 FASAL 1 PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN 

Menegaskan secara terang lagi nyata tanpa memerlukan kepada tafsiran yang berliku-liku: 

“Islam adalah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain bebas untuk diamalkan dengan aman dan damai dimana-mana Bahagian Persekutuan
“Islam is the religion of the Federation; but other religions may be practised in peace and harmony in any part of the Federation.”

2. PERKARA 37 FASAL (1) dibaca bersama Jadual keempat Perlembagaan Persekutuan.

Baginda YDPA sebagai Ketua Utama Negara wajib berikrar dengan melafazkan suatu sumpah atas nama suci Allah untuk memelihara agama Islam pada semua masa.

Sumpah YDPA
• Kami ........................................... ibni ............................................................. Yang di-Pertuan Agong bagi Malaysia bersumpah dengan melafazkan:
Wallahi; Wabillahi; Watallahi;


• maka dengan lafaz ini berikrarlah Kami dengan sesungguh dan dengan sebenarnya mengaku akan taat setia pada menjalankan dengan adilnya pemerintahan bagi Malaysia dengan mengikut sebagaimana undang-undang dan Perlembagaan yang telah disah dan dimasyhurkan dan yang akan disah dan dimasyhurkan di masa hadapan ini. Dan lagi Kami berikrar mengaku dengan sesungguh dan dengan sebenarnya memeliharakan pada setiap masa Agama Islam dan berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam Negeri.

3. TIADA UNGKAPAN SEKULAR DI DALAM PERLEMBAGAAN.

Walaupun memorandum Parti Perikatan kepada Suruhanjaya Reid ada menyebutkan bahawa penegasan Islam sebagai Agama Negara tidak menafikan ciri-ciri sekular Negara ini, namun semasa perundingan untuk meuktamadkan Perlembagaan ungkapan sedemikian tidak diterima untuk dimasukkan dalam Perlembagaan. Hasilnya Negara Malaysia mempunyai Perlembagaan yang langsung tidak menyebutkan sepatahpun perkataan Sekular yang boleh mengakibatkan Malaysia boleh dianggap sebagai sebuah Negara Sekular. Sedangkan bagi negara-negara sekular seperti India, Amerika dan Turki penegasan bahawa negara mereka adalah negara sekular adalah ditegaskan secara nyata dalam perlembagaan negara mereka.

Memang benar Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan meletakkan Perlembagaan sebagai Undang-Undang Tertinggi Negara, namun ia perlu difahami dengan maksud bahawa - Perkara 3(1) yang memartabatkan Islam Agama Negara dan Perkara 37(1) yang mewajibkan lafaz Sumpah Agung adalah sebahagian dari undang-undang tertinggi Negara. Tidak ada percanggahan di antara Perkara 4 dan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Bahkan Perkara 4 menjadi tiang seri yang menyokong dan memartabatkan KETINGGIAN DAN KEDAULATAN AGAMA ISLAM sebagai AGAMA NEGARA yang pada hakikatnya menafikan sama sekali kedudukan Malaysia sebagai sebuah Negara Sekular.

Kewajipan untuk Pelaksanaan Sumpah Agung pula adalah terletak kepada pihak eksekutif iaitu Jemaah Menteri atau mana pihak yang menjalankan tugas eksekutif atas nama SPB YDPA dan dalam hal ini termasuk lah juga kepada Legislative dan Judiciary. Dengan kata lain semua pihak yang terkait dengan aktiviti pemerntahan Negara adalah terikat dengan Sumpah Agung dan Prinsip Kedaulatan Islam sebagai Agama Negara ini.

Prinsip Kedaulatan Islam sebagai Agama Negara ini bukan hanya dipersetujui oleh pemimpin-pemimpin rakyat bagi Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957, bahkan prinsip itu diperkenankan oleh Raja-Raja Melayu yang telah memberi perkenan bagi pembentukan sebuah Negara Persekutuan yang pada asalnya dinamakan Persekutuan Tanah Melayu sebagai simbol perpaduan dan ikatan persaudaraan Negeri-Negeri Melayu yang diterajui oleh Raja/Sultan yang berdaulat sejak dari saat kedatangan penasihat-penasihat British ke Negeri-negeri Melayu.

Walaupun memorandum Parti Perikatan untuk memasukkan prinsip mengenai Islam sebagai Agama Negara hanya disambut oleh seorang sahaja dari ahli Suruhanjaya Reid (bertanggungjawab menyediakan laporan dan syor pembentukan Perlembagaan Persekutuan) iaitu Hakim Abdul Hamid dari Pakistan, namun syor Hakim Abdul Hamid itu telah diterima oleh Raja/Sultan yang berdaulat yang bertanggungjawab untuk membentuk Negara ini. Maka dengan perkenan itu termaktublah dalam perkara 3(1)Perlembagaan Persekutuan – ISLAM AGAMA NEGARA sebagai Undang-undang Tertinggi lagi Berdaulat.

4. TIADA KEPUTUSAN MAHKAMAH YANG MEMUTUSKAN MALAYSIA NEGARA SEKULAR.

Bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohd.Salleh Abas TIDAK PERNAH MEMUTUSKAN BAHWA MALAYSIA ADALAH NEGARA SEKULAR. Dalam kes Che Omar bin Che Soh lwn PP beliau hanya BERPANDANGAN bahawa UNDANG-UNDANG YANG MASIH TERPAKAI DI NEGARA INI ADALAH UNDANG-UNDANG SEKULAR – “…because the law in this country is still what it is today, secular law.” Akan tetapi beliau juga menyatakan sistem undang-undang sekular itu boleh diubah.
Bahkan dalam kes Kalimah ALLAH yang diputuskan di Mahkamah Rayun pada Mahkamah Rayuan pada bulan Oktober 2013 yang lalu, Mahkamah Rayuan telah mengetapikan penghakiman Mahkamah Tinggi dan telah memutuskan bahawa Agama Islam adalah salah satu struktur asas Perlembagaan Persekutuan –

“…Article 3(1) has a historical background and dimension, to the effect that those words are not without significance. The Article places the religion of Islam at par with the other basic structures of the Constitution, as it is the 3rd in the order of precedence of the Articles that were within the confines of Part I of the Constitution. It is pertinent to note that the fundamental liberties Articles were grouped together subsequently under Part II of the Constitution.”

5. Kerajaan telah membuat penegasan di Parlimen bahawa Malaysia bukan Negara Sekular.
Perlembagaan tidak nyatakan Malaysia sebagai negara sekular, kata Nazri:

KUALA LUMPUR, 22 Okt 2012— Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz menegaskan tiada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang mengatakan Malaysia adalah sebuah negara sekular pada sesi perbahasan di Dewan Rakyat pagi ini.

Dalam jawapan balasnya di Dewan Rakyat, Nazri berkata perkataan “sekular” tidak disebut langsung di mana-mana bahagian di dalam Perlembagaan tetapi hanya undang-undang sekular sahaja terus digunapakai dalam perundangan Malaysia.

BERPANDUKAN KEPADA PERKARA-PERKARA YANG SUDAH TERMAKTUB DI DALAM PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN YANG DINYATAKAN DI ATAS AMATLAH JELAS BAHAWA MALAYSIA BUKANLAH SEBUAH NEGARA SEKULAR SEPERTIMANA YANG SERINGKALI DIGEMBAR GEMBURKAN OLEH PELABAGAI PIHAK TERMASUK DI KALANGAN AHLI POLITIK, PENGAMAL UNDANG-UNDANG, PEGAWAI KERAJAAN, AHLI AKADEMIK DAN ORANG RAMAI.
JUSTERU, UNTUK MENYIMPULKAN BAHAWA HUDUD TIDAK BOLEH DILAKSANAKAN DI NEGARA INI KERANA MALAYSIA ADALAH SEBUAH NEGARA SEKULAR ADALAH MELESET SAMA SEKALI.

TERSERAHLAH KEPADA UMAT ISLAM UNTUK MEMPERBETULKAN PERSEPSI SALAH MENGENAI KEDUDUKAN AGAMA NEGARA INI. JIKA TIADA USAHA YANG DILAKUKAN, MAKA KEDAULATAN AGAMA ISLAM BAKAL TERUS TERHAKIS DAN ISLAM AKAN TERUS DIANGGAP SEKADAR AGAMA RASMI BAGI SEBUAH NEGARA SEKULAR.

-Qurrawiy

0 comments:

Post a Comment

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.