Tuesday, 10 June 2014

Persidangan Meja Bulat PEMBELA & NGO-NGO Islam Utara Semenanjung Tanah Melayu

10 Jun 2010 - PEMBELA bersama NGO-NGO Islam wilayah utara Semenanjung Tanah Melayu telah mengadakan satu persidangan meja bulat di lokasi bertempat di Bilik Perdana 1 Hotel Cititel, Georgetown Pulau Pinang.

Seramai hampir 30 saf kepimpinan dan wakil-wakil NGO Islam hadir mengukuhkan persaudaraan dan berdiri secara bersama bagai benteng-benteng yang kukuh bagi menyatakan solidariti untuk melakukan satu bentuk bantahan tegas dan keras kepada cadangan 3 Deraf Undang-Undang Harmoni yang diserahkan kepada Jemaah Menteri baru-baru ini.

Antara NGO yang hadir ialah ISMA, MuslimUPro, PERKASA, Muafakat, Yayasan Murni Akidah, Raudhatul Huda, YMA, JATI, Persatuan Mukabuku, Solusi, CENTHRA, PAJIM, Gabungan Bela Hak Insan Pulau Pinang(GABUNGAN), Sekretariat Dakwah Pulau Pinang (SDPP), BADAi,Yayasan Nassar, GPEM, Jaringan Muslimin Pulau Pinang(JMPP) dan Muslim Centre.


Sidang Meja bulat dimulakan dengan Pengerusi PEMBELA, Ustaz Mohamed Hafiz Nordin, membuat penerangan mengenai tiga deraf Undang-Undang yang sedang dalam penelitian Pejabat Peguam Negara. Turut dibentangkan ialah beberapa jangkaan serta fakta bagaimana 3 deraf undang-undang yang dikemukakan bercanggah dengan semangat Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip-Prinsip Rukunegara.


Sesi pencerahan kemudian disambung oleh Saudara Azril Mohd Amin dari MuslimUPro. Beliau pertamanya memperjelaskan isu yang cuba dialihkan oleh kenyataan Mujahid Yusuf Rawa bahawa pihak MKPN (Majlis Konsultasi Perpaduan Negara) merupakan pihak yang menyediakan deraf Undang-Undang tersebut. Saudara Azril memberikan bukti deraf pertama secara jelas menunjukkan bahawa pihak Bar Council merupakan pihak sebenarnya yang merangka deraf tersebut. Malah, isu ini hanya dibawakan kepada rujukan hanya 3 ahli MKPN dan menyerahkannya kepada YB Nancy Shukri tanpa melalui pengerusi MKPN Tan Sri Shamsudin Osman.

Saudara Azril kemudiannya membentangkan 8 perkara awal yang perlu diwaspadai semua pihak sebagaimana yang terkandung di dalam RUU tersebut. Bangkit! sebelum ini ada memuatkan penulisannya di sini berkenaan 8 perkara tersebut. Saudara Azril turut sama menyatakan cara bagaimana deraf undang-undang tersebut di deraf dan diserahkan tanpa melalui konsultasi dengan pihak-pihak berkepentingan amat dikesali. Beliau menyatakan dengan jelas, pihak-pihak yang membuat deraf dan menyerahkan undang-undang tersebut jelas tidak menghormati Prinsip Keluhuran Perlembagaan kerana dengan semborono melakukan percubaan menyentuh Artikel153 dalam Perlembagaan tanpa merujuk kepada Majlis Raja-Raja terlebih dahulu. Perlembagaan Persekutuan pada perkara 38 (5) menyatakan dengan jelas perkara berikut :

Majlis Raja-Raja hendaklah diminta fikirannya sebelum dibuat apa-apa perubahan tentang dasar mengenai tindakan pentadbiran di bawah Perkara 153

Tuan Azmi Jaafar Dari Raudhatul Huda Memberi Pandangan
Sesi kemudiannya dibuka kepada penglibatan idea, cadangan dan soalan-soalan daripada pihak NGO-NGO yang hadir. Beberapa peringatan, idea dan cadangan telah dibincangkan dalam nada solidariti yang kukuh dan sihat. Idea-idea diperkembangkan dan diambil notis untuk dijalankan dalam tempoh segera.

Jelas, sebelum sidang media dijalankan, semua NGO yang hadir menyatakan dengan jelas persepakatan mereka untuk merapatkan saf, bekerjasama dengan semua pihak yang akan memperjuangkan isu ini dan akan mula menggerakkan jentera milik mereka masing-masing untuk memberi kesedaran kepada semua pihak tidak kira pemerintah dan orang awam.

Tuan Mohd Lutfi Dari ISMA-Sg. Petani Dalam Sesi Soal Jawab

Satu pendirian tegas yang jelas dicapai secara sebulat suara ialah untuk menyatakan bantahan tegas dan keras kepada cadangan golongan Ekstremis Islamufobia yang mencadangkan RUU tersebut. Satu desakan kepada pihak Kerajaan Pusat untuk menangguhkan pembentangan RUU tersebut di Parlimen sehingga semua pihak berkepentingan seperti Majlis Agama Islam negeri, NGO-NGO Islam dan Melayu, Parti-Parti Politik Islam dan Melayu termasuk Majlis Raja-Raja dirujuk terlebih dahulu. Beberapa cadangan telah diberikan oleh beberapa wakil NGO untuk menangani masalah ini.

Ustaz Mohamed Hafiz Nordin kemudian menggulung sesi sidang meja bulat tersebut dengan kenyataan berikut. 

Pihak PEMBELA menjalankan sesi meja bulat dan Sidang Akhbar bertempat di Hotel Cititel ini, adalah untuk membangkitkan peringatan kepada semua pihak yang cuba bermain dengan api perkauman dan bersikap seperti Ekstremis Islamufobia dengan cuba merobek asas-asas yang menjadi sendi pembinaan negara. Kedaulatan Islam dan Hak-Hak Keistimewaan Melayu jangan sesekali disentuh. Ustaz Mohamed Hafiz Nordin kemudiannya mengingatkan dengan perjuangan NGO-NGO Islam lapan tahun yang lalu, bertempat berhadapan dengan Hotel Cititel ini, bagaimana agenda menubuhkan Interfaith Council oleh kumpulan Artikel 11 mendapat tentangan meluas dan akhirnya berkubur bilamana umat Islam BANGKIT menyatakan bantahan secara besar-besaran. Bantahan yang hanya bermula dengan berkumpulnya hampir seribu orang Islam melakukan protes dihadapan Cititel pada 14 Mei 2006, ia kemudiannya memuncak dengan kehadiran puluhan ribu umat Islam di Masjid Wilayah Persekutuan pada Oktober 2006.

Pemimpin kerajaan Pusat pada ketika itu dilihat lemah untuk menangani ancaman terhadap Islam. Kesannya, PRU 2008, menyaksikan umat Islam hilang percaya kepada kesungguhan pemerintah untuk mempertahankan Islam dan Hak-Hak Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan. Lima buah negeri hilang dari dakapan pemerintah. Pulau Pinang dan Selangor sehingga hari ini belum kembali selepas kedua-duanya jatuh pada 2008. Jika pemerintah tidak mahu nostalgia 2008 berlaku dengan lebih teruk di dalam PRU akan datang, maka pandanglah kembali kepada sejarah dan ambil pengajaran.

Sesi Sidang Meja Bulat kemudiannya diakhiri hampir jam 1130 pagi. Sesi Sidang Media bersama media-media tempatan kemudiannya bersambung.





Esok, pihak kami di Bangkit.Info akan memuatkan Kenyataan (Penuh) Media selepas sidang meja bulat tersebut digulung.


Bankit.Info

5 comments:

  1. Mintak dedahkan deraf tu kepada umum supaya Umat Melayu dapat berkongsi kerisauan yang sama dan mengambil tindakan sewajarnya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tuan Hamba Allah 11 June 2014 07:31,

      Deraf itu sekarang sedang dalam peringkat penelitian oleh semua pihak yang mempunyai akses kepadanya..

      Benarkan mereka membuat kerja mereka terlebih dahulu dan kemudian satu persatu akan didedahkan supaya tidak menimbulkan masalah salah interpretasi oleh pihak2 yg tidak biasa memahami teks perundangan.

      Insya-Allah kami di sini juga menyatakan komitmen utk terus memberikan maklumat berkenaan perkara ini sebaik maklumat jelas kami sendiri perolehi.

      Wassalam.

      Delete
  2. teruskan usaha tuan-tuan..semoga diredai Allah.

    ReplyDelete
  3. Syabas sedara. mudah mudahan usaha saudara dan pembela akan mendapat ganjaran jihad disisi Allah. sekarang ni bukan lagi jihad secara perang tetapi jihad pemikiran!!!

    ReplyDelete

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.