Monday, 30 June 2014

Pendirian Anarkis Anti Perlembagaan MCCBCHST?

Gambar Hiasan Antara Aktiviti MCCBCHST

Majlis Antara Agama semalam mengeluarkan satu KENYATAAN PALSU yang menyatakan Malaysia adalah sebuah negara sekular.

Majlis Antara Agama yang dimaksudkan ialah Majlis Rundingan Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoism (MCCBCHST). Ia merupakan sebuah majlis perundingan menghimpunkan agama-agama yang tidak disebutkan kewujudan mereka di dalam Perlembagaan Persekutuan.  Kenyataan dikeluarkan oleh Presidennya, Sardar Jagir Sigh.

Presiden MCCBCHST Jagir Singh dilihat masih berusaha memetik Memorandum Perikatan yang dihantar kepada Suruhanjaya Reid pada 1956 sebagai BUKTI PALSU yang menyatakan negara ini dibentuk untuk menjadi negara sekular.

Pihak PEMBELA telah berkali-kali menjelaskan serta menegaskan fungsi dan peranan Suruhanjaya Reid dalam proses penyediaan Perlembagaan Persekutuan hanyalah untuk menyediakan laporan. 

Sebuah jawatankuasa kerja dikenali sebagai Jawatankuasa White Paper bertanggungjawab untuk menjelaskan pindaan-pindaan terakhir ke atas cadangan Suruhanjaya Reid.  Parti Perikatan menyerahkan memorandum kepada Jawatankuasa White Paper yang antaranya memasukkan:

i. Islam sebagai Agama Persekutuan,
ii. tetapi tidak menafikan hak penganut agama lain untuk mempraktis agama mereka, dan
iii. tidak menafikan ciri-ciri sekular Negara ini.
Jawatankuasa White Paper menjelaskan Memorandum Perikatan yang menuntut 3 Perkara tersebut. Walaupun hanya seorang sahaja Ahli Suruhanjaya Reid Beragama Islam, iaitu Hakim Abdul Hamid, beliau telah bersetuju menerima cadangan perikatan itu. Namun begitu, Raja-Raja Melayu telah memuktamadkan penerimaan cadangan tersebut dengan hanya menerima dua prinsip cadangan Perikatan tersebut iaitu yang Pertama dan yang Kedua. Manakala prinsip Ketiga yang mengandungi pernyataan " tidak menafikan ciri-ciri sekular Negara ini" ditolak dan tidak dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan. Sebaliknya Raja-Raja Melayu menegaskan mengenai kedudukan Sultan dan Raja-Raja sebagai Ketua Agama bagi negeri masing-masing dan Yang DiPertuan Agong sebagai Ketua Agama bagi negeri-negeri yang tidak beraja.
Untuk pihak MCCBCHST cuba menyembunyikan fakta sejarah apabila masih berdegil berpegang dengan cadangan yang ditolak ini sebagai alasan untuk menyokong hujah Malaysia sebagai sebuah negara Sekular, maka tindakan ini bolehlah dianggap sebagai satu perbuatan menjalankan penipuan terancang.

Hujah yang dibawakan mereka ini merupakan hujah yang sama dengan apa yang dibawakan selama ini oleh IRF, Parti-Parti Politik Perkauman Cina, serta kumpulan-kumpulan ekstremis Islamufobia tempatan yang didanai oleh campurtangan politik negara luar ke atas kedaulatan Malaysia.

Telah jelas direkodkan di dalam sejarah bahawa cadangan negara sekular di dalam Memorandum Perikatan tersebut telah DITOLAK SAMA SEKALI sebagai sebahagian daripada PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN.

MCCBCHST harus faham perbezaan antara cadangan dan apa yang diterima serta ditolak di dalam cadangan Memorandum Perikatan tersebut. Bukan semua cadangan diterima. Apa yang diterima itulah yang membentuk apa yang kita namakan sebagai Perlembagaan Persekutuan yang wujud pada hari ini.

Mahkamah Syariah

Jagir Singh juga kemudiannya mengungkit bahawa perkataan Mahkamah Syariah tidak pernah wujud di dalam Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1957.

Presiden MCCBCHST harus diperingatkan bahawa Artikel 3 (1) Perlembagaan Persekutuan telah membuat rujukan yang menyeluruh kepada semua aspek yang terkandung di dalam agama Islam termasuk amalan dan sisi perundangan Islam yang menjadi susuk-susuk tiang pendiri agama Islam di sini.

Perlembagaan juga bukanlah sebuah dokumentasi rigid dan  harus sentiasa bersifat statik dan kaku. Perlembagaan Persekutuan membenarkan isi-isikandungan di dalamnya diubah, ditambah dan dibuang mengikut syarat yang telah ditetapkan. Ini termasuklah kewujudan Artikel 121 (A) yang menyebut secara jelas status hak serta kewujudan Mahkamah Syariah di dalam negara ini.

Jika Jagir Singh mahu menafikan hak umat Islam untuk ditadbir perundangan syariah dengan menggunakan alasan bahawa perkataan Mahkamah Syariah tidak wujud di dalam Perlembagaan, apa pula perasaannya nanti apabila umat Islam mula mempertikaikan kewujudan serta hak-hak beragama pihak lain dengan menggunakan alasan bahawa agama mereka tidak pernah disebut oleh Perlembagaan yang sama?

Untuk pengetahuan Presiden MCCBCHST,  agama Kristian, Buddha, Hindu, Tao yang membentuk persatuan MHCCBHST juga tidak pernah disebut walaupun sekali di dalam Perlembagaan Persekutuan bermula 1957 hingga sekarang ini.

Yang ada hanyalah referensi kepada agama-agama lain yang dibenarkan diamalkan secara aman dan damai dengan agama Islam di dalam artikel 3 (1) Perlembagaan Persekutuan. 

Tanpa sikap aman damai kepada Islam, mana mungkin agama-agama yang tidak disebut di dalam Perlembagaan Persekutuan boleh dibenarkan diamalkan di negara ini?

Artikel 3 (1) Perlembagaan Persekutuan seperti berikut:

“Islam adalah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain bebas untuk diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan

“Islam is the religion of the Federation; but other religions may be practised in peace and harmony in any part of the Federation.”


Kenyataan Biadap Menghina Perlembagaan Persekutuan, Sultan Selangor Serta Undang-Undang Negeri Selangor oleh Dato RS Mohan Shan
Malah kenyataan dari Datuk RS Mohan Shan dari Persatuan Hindu Sangam yang merupakan salah satu ahli di dalam MHCCBHST dilihat sebagai satu kenyataan SANGAT BIADAB, apabila beliau menyatakan perkara berikut :
“Rampasan Bible membuktikan mereka mahu mengatur agama lain.”
Ini adalah satu kenyataan yang seharusnya tidak diucapkan oleh Presiden Persatuan Hindu Sangam.
Datuk RS Mohan harus diperingatkan bahawa Perbuatan Pencerobohan ke atas Perlembagaan Persekutuan, menghina Titah Sultan Selangor serta mencabul Undang-Undang Negeri oleh pihak-pihak yang menerbitkan, membawa masuk serta menyimpan Bible tersebut adalah satu perbuatan jenayah yang tidak seharusnya disokong oleh mana-mana pihak.
Malah, di dalam penghakiman yang dibuat di dalam Mahkamah Rayuan pada Oktober 2013 di dalam kes Menteri Dalam Negeri v Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur, Mahkamah menyatakan kalimah Allah bukanlah sebahagian daripada ajaran asas agama Kristian dan perkataan ‘peace and harmony’ di dalam Artikel 3 (1) Perlembagaan Persekutuan adalah bermaksud melindungi agama Islam daripada sebarang bentuk ancaman.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh ahli MHCCBHST ini adalah merupakan satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab serta mencerminkan sikap biadab beliau terhadap kedudukan serta kadaulatan agama Islam di Malaysia.

Pendirian Anarkis MHCCBHST?
Apakah pihak MHCCBHST sedang cuba menjadi agen anarkis negara dengan membawa satu bentuk budaya anarki bersifat :
i)         Anti Perlembagaan
ii)        Tidak mempamerkan rasa hormat kepada YDPA Sultan/Raja-Raja yang merupakan Ketua Agama Islam bagi Negeri-Negeri.
iii)        Berterusan mempamerkan sikap degil dengan enggan menerima kewajipan Negara untuk memelihara agama Islam pada semua masa sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan.
iv)        Enggan menerima hakikat bahawa agama-agama lain bukanlah agama Negara sebaliknya hanyalah agama yang dibenarkan untuk diamalkan secara bersyarat seperti disyaratkan di dalam Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan.
v)         Cuba menggugat keharmonian Negara dengan bertindak secara agresif mempertikai Kedaulatan Islam di dalam negara.
Dengan pendirian-pendirian bersifat anarkis ini, pihak PEMBELA ingin mendesak supaya MCCBHST diharamkan dan pemimpin-pemimpinnya dilarang dari terus bergerak aktif dalam mana-mana pertubuhan termasuk pertubuhan agama.
Pendekatan Anarkis mereka ini secara jelas telah melanggar syarat beragama untuk agama-agama lain yang ditetapkan di dalam Artikel 3(1) dan Artikel 11 (5) Perlembagaan Persekutuan.

PEMBELA menghormati hak penganut-penganut agama lain untuk mengamalkan agama mereka, tetapi kenyataan-kenyataan MCCBCHST telah mencetuskan kemarahan dan menimbulkan suasana tidak harmoni terhadap kedudukan Islam sebagai Agama Negara. Hanya Pertubuhan-pertubuhan Agama yang tidak bersikap sedemikian wajar dibenarkan untuk terus bergerak di dalam  negara ini.

Pihak PEMBELA juga ingin mendesak pihak berkuasa supaya menyiasat elemen-elemen anarkis yang sedang meresapi serta menghasut kumpulan-kumpulan agama ini yang semakin hari semakin biadab mencetuskan provokasi dan mengambil sikap tidak aman kepada Kedaulatan Islam di negara ini.

Kenyataan PEMBELA ini dikeluarkan kerana ada pihak dengan sewenang-wenangnya mencetuskan kenyataan-kenyataan bersifat provokasi dan mencetuskan rasa permusuhan antara agama di dalam negara ini tanpa diambil tindakan ke atas mereka.

Ingat, syarat untuk mengamalkan agama-agama lain selain Islam di Malaysia ini ialah dengan bersikap aman dan damai terhadap Islam.

Tanpa sikap aman damai terhadap Islam, PEMBELA mahu satu gerakan mengharamkan pertubuhan-pertubuhan bersifat anarkis ini untuk dijalankan oleh pihak-pihak berkuasa.

Sila jalankan TANGGUNGJAWAB YANG DIAMANAHKAN KEPADA ANDA!


Bersama Mendaulatkan Islam Sebagai Agama Negara

Ustaz Mohamed Hafiz Mohamed Nordin,
Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA)


0 comments:

Post a Comment

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.