Tuesday, 17 June 2014

PEMBELA Desak Peguam Negara BERUNDUR atau DIPECAT.


Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (PEMBELA) bersama wakil lebih dari 100 NGO Islam tempatan telah mengadakan satu pertemuan dengan pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pada jam 11 pagi tadi. Pertemuan yang menyaksikan wakil-wakil NGO Islam diketuai PEMBELA di dalam satu solidariti yang utuh bagi mendapatkan penjelasan tentang isu yang sedang dihadapi oleh MAIS.

Pihak PEMBELA dan lebih 100 NGO Islam ingin merakamkan perasaan berpuashati dengan penjelasan yang telah diberikan Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa, Pengerusi MAIS. Semua penerangan yang diberikan dapat difahami dengan jelas malah pendirian MAIS untuk tidak memulangkan semula Bible yang melanggar undang-undang tersebut mempunyai sandaran justifikasi yang benar dan kukuh.



Sehubungan dengan pertemuan itu, pihak PEMBELA dengan sokongan teguh lebih 100 NGO Islam negara akan terus tegas mempertahankan tindakan MAIS untuk tidak memulangkan Bible yang jelas melanggar undang-undang yang telah ditegakkan di dalam negeri Selangor.

Pihak PEMBELA dan MAIS secara bersama menjunjung Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang mahukan nama Allah tidak dicemar serta mempertahankan kedaulatan undang-undang yang telah ditegakkan di dalam negeri Selangor Darul Ehsan.

Pihak PEMBELA dan NGO-NGO Islam juga ingin merakamkan perasaan kesal dengan kenyataan tidak bertanggungjawab Peguam Negara, Tan Sri Abd Gani Patail yang menyatakan Bible yang dirampas sebagai mengandungi kitab Taurat, Zabur dan Injil. Ini adalah jelas satu perbuatan menyampaikan ajaran yang amat terpesong daripada ajaran Islam sebenar. Ini adalah satu perbuatan menyampaikan doktrin yang salah.

Di bawah Seksyen 7 (Doktrin Palsu), Enakmen 9 Tahun 1995 Enakmen Jenayah Syariah (Selagor) 1995, Bahagian 11 – Kesalahan Yang Berhubung Dengan Aqidah:
(1)  Mana-mana orang yang mengajar atau menjelaskan apa-apa doktrin atau melaksanakan apa-apa upacara atau perbuatan yang berhubungan dengan agama Islam di mana-mana tempat, sama ada tempat persendirian atau tempat awam, adalah melakukan suatu kesalahan jika doktrin atau upacara atau perbuatan itu bertentangan dengan Hukum Syara’ atau mana-mana fatwa yang sedang berkuatkuasa di Negeri ini dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.
Melihat kenyataan tidak bertanggungjawab Peguam Negara ini, pihak PEMBELA ingin mengemukakan satu desakan yang kuat kepada Tan Sri Gani Patail untuk segera mengambil tindakan berundur dari jawatan Peguam Negara. Jika tiada tindakan pengunduran dilakukan, PEMBELA akan memulakan langkah-langkah mendesak Perdana Menteri untuk MEMECAT Tan Sri Abd Gani Patail daripada terus memegang jawatan sebagai Peguam Negara dan mendesak tindakan undang-undang diambil ke atasnya disebabkan kenyataannya itu.
PEMBELA melihat Tan Sri Abd Gani Patail tidak lagi mempunyai kredibiliti untuk mempertahankan Kedaulatan Islam sebagai Agama Negara dan mempertahankan Keluhuran Perlembagaan yang seharusnya menjadi fungsi utama tanggungjawabnya.
Sehubungan dengan itu, dua Laporan Polis telah dibuat PEMBELA (13 Jun 2014)  dan NGO Islam (16 Jun 2014) ke atas Peguam Negara mendesaknya agar disiasat.  
Empat lagi laporan telah dibuat pagi tadi (16 Jun 2014) kepada pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mendesak pihak JAIS memulakan siasatan terhadap Peguam Negara.
Ini hanya satu permulaan. Bermula esok (17 Jun 2014) PEMBELA akan menggerakkan NGO-NGO Islam di seluruh negara untuk membuat Laporan Polis ke atas Tan Sri Abd Gani Patail.

Pihak PEMBELA juga sedang berusaha untuk mengadakan satu pertemuan susulan dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abd Razak dalam tempoh terdekat.
PEMBELA juga sedang menunggu perkenan untuk merafak sembah Ke Bawah DYMM Sultan Selangor bagi satu sembah maklum berkenaan hasrat solidariti NGO-NGO Islam negara untuk terus menjunjung titah Paduka Tuanku berkenaan isu kalimah Allah di negeri Selangor. Sembah maklum itu juga akan turut membawa isu kenyataan terpesong Tan Sri Abd Gani Patail supaya beliau diambil tindakan.
PEMBELA akan terus menggerakkan sokongan bertali arus kepada MAIS.
AKHIR SEKALI, TANPA KREDIBILITI, GANI PATAIL HARUS SEDAR DIRI UNTUK BERUNDUR SEGERA ATAU TERUS BERDEPAN DESAKAN SUPAYA DIPECAT DARI JAWATAN.

Bersama mendaulatkan Islam sebagai Agama Negara.

Ustaz Mohamed Hafiz bin Mohamed Nordin,

Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (PEMBELA).

2 comments:

  1. Ya Latifu Ya Kafi, Ya Hafizu Ya Shafi, Ya Latifu Ya Wafi, Ya Karimu antaAllah...

    Kita selalu amalkan. Menegakkan kebenaran - yakni Umat Islam Malaysia telah di CEROBOH halaman dan rumah nya, kini Islam tidak lagi tenang kerana mainan politik terlampau yang menggoyang akidah dan keimanan anak-anak kita. Serangan dari semua sudut namun yang di beri AMANAH juga telah berpaling tadah dengan menjadi MUNAFIK yang Allah dan Nabi Junjungan PERINGATKAN !

    Kita tidak memusuhi bukan Islam. Kita memusuhi sikap ektremis mereka yang bukan lagi bergerak dan bersatu demi perpaduan dan keharmonian bersama Agam Persekutuan, Islam sebelum ini tetapi mereka telah 'berkeinginan' menguasai dan melanggar ketetapan Perlembagaan Malaysia dan Rukun Negara.

    Semoga Allah SWT memberkati dengan seribu kerahmatan seluruh alam.

    Maka kami jawab, " kami dengar dan kami patuh "

    Insya Allah.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tuan Maae,
      Ini adalah ujian dan desakan buat kita dari Allah untuk memaksa kita untuk kembali bersatu dalam satu jemaah.

      Apabila kita lulus ujian nanti, Insya-Allah kebangkitan Islam itu akan muncul tiba2 dan bangkit sehingga mengejutkan ramai pihak.

      Buat masa ini kita sabar dan teruskan usaha mempertahankan apa yg ada, terus menyeru kepada perpaduan Islam dan menuntut Islam didaulatkan sebagai agama negara sebagaimana yang telah termaktub dalam Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan.

      Kita tidak memusuhi mereka, tetapi kita memusuhi sikap anti Islam dan sikap anti Perlembagaan mereka. Kami bersetuju tentang itu saudara MAae.

      Delete

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.