Sunday, 22 June 2014

Isu Nama Allah : Petikan buku 'Mengapa Nama Yahweh Semakin Popular' karya paderi Indonesia

BERIKUT adalah petikan dari buku tulisan paderi Indonesia, Jahja Iskandar yang mengakui kalimah Allah hanya untuk orang Islam di dalam bukunya 'Mengapa Nama Yahweh Semakin Popular':

"Apabila kita lihat dalam realiti sehari-hari, tidak dapat dinafikan bahawa kata 'Allah' secara umum lebih banyak difahami dan berkonotasi sebagai nama diri Tuhan atau Sembahan yang khas untuk umat Islam.
Dari ungkapan yang kita dengar sehari-hari dalam takbir azan: 'asyhadu an-laa ilaha illallah' yang ertinya, kami bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah, jelas ditunjukkan bahawa kalimah Allah berkonotasi kata nama dan tidak mungkin berkonotasi sebutan umum.

Begitu juga dalam setiap terjemahan al-Quran, baik ke dalam bahasa Inggeris atau ke dalam bahasa Indonesia, kata Allah tidak pernah diterjemahkan menjadi God atau Tuhan melainkan tetap ditulis sebagai Allah".
Dalam petikan di muka surat lain, Jahja menjelaskan:

"Kerana rupanya tetap tidak mudah untuk menyelesaikan persoalan yang telah sangat mengakar dalam tradisi penterjemahan. Masih banyak hal yang memerlukan usaha dan kerja keras dalam penyelarasan kedua kata tersebut.

Di mana salah satunya adalah berkaitan dengan makna kata Ilah itu sendiri yang berada pada posisi neutral dalam penggunaannya. Maksudnya kata itu di satu sisi dapat tampil sebagai 'ilah'. Ertinya, kata itu dapat dikonotasi sebagai Tuhan monoteistik (tuhan yang satu), tetapi di tempat lain dapat disebut sembahan politeistik (tuhan yang banyak).

Sementara dari kaca mata pemikiran ortodoks, tidak mungkin dan tidak sesuai untuk menyamakan Tuhan monoteistik dengan Sembahan politeistik dengan satu istilah yang sama.

Maka jalan keluar terbaik adalah mahu tidak mahu harus dicarikan kata baru yang dapat diguna secara khusus untuk menunjukkan Tuhan monoteistik.

Dengan melihat kepada bahasa asli Perjanjian Lama, iaitu bahasa Ibrani (bahasa digunakan orang Yahudi) di mana kata yang sedang dipersoalkan adalah Elohim. Maka alangkah baik jika kita cuba menggunakan kata tersebut sebagai alternatif.

Apalagi jika kita melihat bentuk dan fungsi kata tersebut yang sangat sesuai dengan kepercayaan Kristian pada umumnya, iaitu bahawa kata tersebut sebenarnya adalah kata yang berbentuk plural tetapi dalam fungsinya boleh berfungsi singular (Elohim) selain fungsi plural (elohim) yang memang melekat pada bentuknya.

Tentu saja proses penterjemahannya adalah dengan menggunakan kata tersebut ke dalam ruang bahasa Melayu dan bahasa Indonesia sebagai kata serapan atau klausa kata baru yang berasal dari bahasa lain.

Apa yang diperlukan adalah kata yang akan digunakan untuk menjadi sebutan bagi Tuhan monoteistik, maka tentu saja kita hanya memakai kata yang berfungsi singular iaitu Elohim. Sebab untuk sebutan bagi sembahan politeistik, kita sudah mempunyai kata di dalam bahasa Melayu dan bahasa Indonesia iaitu kata 'ilah'.

Inilah jalan keluar yang cuba ditawarkan untuk menjawab kontroversi dan kesulitan-kesulitan pemakaian sebutan bagi Tuhan/Sembahan kita".


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130113/dn_06/Petikan-buku-Mengapa-Nama-Yahweh-Semakin-Popular-karya-paderi-Indonesia#ixzz35IFJJ5TH
© Utusan Melayu (M) Bhd 

0 comments:

Post a Comment

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.