Wednesday, 4 June 2014

IRF MASIH TIDAK MAMPU MEMBUKTIKAN “KALIMAH SEKULAR” DALAM PERLEMBAGAAN : CABARAN PEMBELA KEPADA DR. FAROUK MUSA KEKAL


The history of mankind is one of continuous development from the realm of necessity to the realm of freedom.

Itu kata-kata Mao Tse Tung (Mao Ze Dung) yang dipetik di dalam Laporan Chao En Lai. Sepertimana Jeneral Mao, Karl Marx dan Adolf Hitler juga mempromosikan sistem politik dan kenegaraan mereka dibentuk bagi memberi kebebasan mutlak kepada manusia. Manusia boleh mendakwa mana-mana ideologi atau fahaman ciptaan mereka termasuk SEKULAR sebagai jalan menuju kebebasan mutlak manusia yang terbaik. Sama sepertimana Korea Utara menamakan republik mereka dengan nama Republik Demokratik Korea Utara. Tetapi satu persoalan sama yang tidak dijawab mana-mana satu di antara mereka ialah, sejauh mana kebenaran apa yang diucapkan dan diutarakan mereka mengenai prinsip Kebebasan dan Demokrasi?  

Pihak PEMBELA telah mengeluarkan Kenyataan Mencabar Dr. Farouk Musa dan Islamic Renaissance Front (IRF) untuk membuktikan wujud perkataan Sekular di dalam Perlembagaan Persekutuan. Jika gagal, forum Perdebatan Negara Sekular yang dijadualkan akan berlangsung di Hotel Perdana, Kota Bahru Kelantan pada 7 Jun 2014 hendaklah dibatalkan kerana ia bersifat hasutan.

Pihak IRF masih belum menjawab cabaran pihak PEMBELA kepada mereka yang dibuat menerusi Bangkit.Info. Apa yang dipaparkan di dalam jawapan bertulis yang dimuatkan di dalam Malaysian Insider bolehlah dikatakan percubaan bermain-main di celah semak samun.

Candu Khayal Sifat Sekular Perlembagaan?

Pihak IRF sendiri memperakui bahawa perkataan suci Sekular yang disanjung tinggi oleh Dr. Farouk Musa tidak terdapat dan malah tidak tercatat di dalam Perlembagaan Persekutuan. Ternyata pihak IRF dan Dr. Farouk Musa TIDAK BERUPAYA untuk  membuktikannya wujud melainkan bermain-main dengan persepsi yang cuba diada-adakan. Ia tidak ubah seperti bomoh yang cuba mengubati pesakitnya dengan mengatakan terdapat hantu raya dalam rumah pesakit itu. Sedangkan sang bomoh pun tidak dapat menunjukkan wujudnya hantu raya tersebut.

Pihak IRF cuba bermain-main dengan interpretasi sendiri dengan menyatakan bahawa peruntukan-peruntukan yang termuat di dalam Perlembagaan Persekutuan menterjemahkan Perlembagaan tersebut sebagai bernada sekular. Hanya satu contoh diberikan. Bahawa negara ini memberikan kebebasan beragama dan mengamalkan agama selain Islam kepada penduduk bukan Islam. Apakah ia cukup solid sebagai sebuah bukti bahwa ia sebuah tafsiran sifat sekular di dalam Perlembagaan? Jawapannya tidak sama sekali. Adakah kewujudan Nasarani, Yahudi dan Musyrikin Madinah menjadikan negara Madinah sebagai sebuah Negara Sekular, yang tidak terikat dengan wahyu Allah? 

Umum telah mengetahui bahawa Perlembagaan Negara Islam Madinah semasa di zaman Rasulullah s.a.w. juga memberikan kekebasan menganut agama anutan masing-masing. Ia diamalkan tanpa sebarang paksaan menganut Islam ke atas golongan bukan Islam. Apakah piagam yang membentuk negara Islam Madinah itu bernada sekular? Malah al Qur’an juga dengan tegas membenarkan pemisahan antara kepercayaan, dogma dan agama untuk kumpulan-kumpulan agama yang wujud di dalam mana-mana negara Islam.

Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku (al kafirun ayat 6)

Apa yang dinyatakan IRF tidak cukup untuk mewarnakan Perlembagaan Persekutuan di dalam corak sekular sepertimana yang sering mereka mimpikan. Apa yang seharusnya IRF lakukan ialah mengemukakan bukti dari mana-mana peruntukan di dalam Perlembagaan yang menyifatkan negara ini bukan negara Islam tetapi sebuah negara sekular.

Jika Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan dan Artikel 37 di mana Ketua Tertinggi negara perlu bersumpah dengan nama Allah wujud di dalam Perlembagaan, maka IRF perlu mengemukakan pernyataan yang sama kuat, terang dan jitu seperti kedua-dua peruntukan tersebut untuk membuktikan perkataan sekular memang wujud di dalam Perlembagaan yang sama.

Perlembagaan atau al Qur’an Sebagai Undang-Undang Tertinggi Negara?

Islam adalah agama  Persekutan. Perkara itu termaktub dengan jelas dan terang di dalam Artikel 3 Perlembagaan Pesekutuan. Sebagai sebuah Persekutuan yang beragama Islam, Al Qur’an dan As Sunnah sudah secara jelas menjadi bahagian terpenting di dalam Undang-Undang Utama negara. Ini kerana Islamnya sesuatu yang dinamakan sebagai Islam hanya boleh dipastikan dengan melakukan satu periksa balas dengan hanya menggunakan al Qur’an dan As Sunnah.

Maka khayal persoalan tentang perebutan tempat sebagai Undang-Undang Utama Negara antara Perlembagaan dan Al Qur’an tidak seharusnya timbul. Ini kerana antara Perlembagaan dan al Qur’an, keduanya berpisah tiada di dalam Persekutuan yang beragama Islam ini. Perkara 4 hanyalah mekanisme meletakkan semua peruntukan Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi. Adakah dalam proses meninggikan Perlembagaan itu Perkara 3 yang memartabatkan Islam sebagai Agama Negara tertinggal atau terjatuh ke bawah? SEHINGGA KITA BOLEH BERANGGAPAN PERLEMBAGAAN ADALAH UNDANG-UNDANG TERTINGGI, KECUALI PERKARA 3? 

Kenapa Hanya Kes Che Soh Che Omar v PP Dipetik?

IRF cuba menyempitkan tafsiran Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan dengan hanya merujuk penghakiman yang telah dibuat oleh Tun Salleh Abbas di dalam kes Che’ Omar Che’ Soh vs PP (MLJ 1988).  Kes ini telah menjadi salah satu kes wajib yang menjadi bentuk ikutan pengamal serta pelajar-pelajar undang-undang untuk diindoktrinasikan bagi memahami Artikel 3 Perlembagaan. Mereka merujuk Tun Salleh Abbas yang dikatakan menyatakan bahawa negara ini bukan negara Islam tetapi sebuah negara sekular. Cerita ini amat mengelirukan sama sekali kerana Tun Salleh hanya mengatakan undang-undang yang sedang berkuat kuasa adalah undang-undang sekular dan BUKANNYA NEGARA INI NEGARA SEKULAR. Bahkan Tun Salleh memberikan pendapatnya di dalam kes berkaitan hukuman mati, samada ia bercanggah dengan Islam dan bukan merujuk isu sama ada negara ini Islam atau negara sekular.

Kes Che’Omar langsung tidak merujuk kepada Sumpah Agung atas nama Allah untuk memelihara Agama Islam pada semua masa. Negara Sekular apa yang mewajibkan ketua negara membuat komitmen dengan Allah SWT? Komitmen untuk memelihara agama islam, Hifzuddeen!

Amnesia selektif di dalam penulisan tersebut gagal merujuk kepada penghakiman yang dibuat di dalam kes Lina Joy v Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan & 1 Lagi [2007} 4 MLJ 585 yang telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan, Mahkamah tertinggi negara.

Dalam kes Lina Joy tersebut, Mahkamah Persekutuan telah memberikan tafsiran yang lebih luas kepada Islam yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan. 

Islam itu bukan sahaja suatu himpunan dogma-dogma dan ritual-ritual tetapi ianya adalah juga suatu cara hidup yang lengkap merangkumi semua bidang aktiviti manusia, persendirian atau awam, perundangan, politik, ekonomi, sosial, budaya, moral atau kehakiman.

Jelas bahawa Mahkamah tertinggi Negara telah mengubah tafsiran Islam yang sempit yang diberikan oleh Tun Mohd Salleh Abas dalam kes Che’ Omar kepada tafsiran yang luas . Akan tetapi kenapa pihak IRF masih mahu berpegang kepada tafsiran sempit itu dan tidak mempedulikan tafsiran yang luas dalam kes Lina Joy? Banyak lagi autoriti terkini yang membuktikan Malaysia sebuah Negara Islam, kenapa IRF dan BAR diamkan? Prejudis atau sengaja berniat jahat?

Beza Antara Hasrat dan Apa Yang Diterima Sebagai Perlembagan Oleh Suruhanjaya Reid.

IRF sekali lagi cuba bermain dengan salahtanggapan berkenaan hakikat kedudukan negara sebagai sebuah negara sekular dengan merujuk kepada HASRAT yang pernah dikemukakan kepada Jawatankuasa Kertas Putih.

Perlembagaan Negara dirintis oleh sebuah suruhanjaya yang diketuai oleh Lord Reid dengan dianggotai oleh hanya seorang hakim beragama Islam dari Pakistan. Namun begitu tidak ramai yang menyedari fungsi dan peranan Suruhanjaya ini yang pada hakikatnya hanya menyediakan laporan (syor). Sebuah Jawatankuasa Kerja yang dikenali sebagai Jawatankuasa White Paper juga bertanggung jawab untuk mencadangkan pindaan-pindaan terakhir kepada cadangan Suruhanjaya Reid selaras dengan kehendak Raja-Raja Melayu, pemimpin-pemimpin politik, pemerintah British bagi memuktamadkan Perlembagaan dalam proses penubuhan Persekutuan Tanah Melayu. Jawatankuasa itu juga telah mengambil pendekatan menerima memorandum Perikatan untuk memasukkan prinsip Islam sebagai Agama Persekutuan “tetapi ia tidak menafikan ciri-ciri sekluar negara ini.”

Namun begitu perlu diberi perhatian bahawa hanya Hakim Abdul Hamid dari Suruhanjaya Reid dan Jawatankuasa White Paper yang bersetuju menerima memorandum perikatan untuk memasukkan Islam sebagai Agama Persekutuan; tetapi ia tidak menafikan hak penganut agama lain untuk mempraktiskan agama mereka dan “ia tidak menafikan ciri-ciri sekular Negara ini.”

Dari TIGA cadangan  dalam memorandum Perikatan berkaitan agama Negara itu, HANYA DUA perkara sahaja yang TELAH DITERIMA DAN DIPERSETUJUI iaitu - Islam sebagai Agama Persekutuan; tetapi ia tidak menafikan hak penganut agama lain untuk mempraktis agama mereka; namun limb ketiga yang berbunyi “tidak menafikan ciri-ciri sekular Negara ini” telah DITOLAK DAN TIDAK DIMASUKKAN dalam mana-mana bahagian dalam Perlembagaan. Dengan menggugurkan ayat ini, perkataan “sekular” lenyap sama sekali dari Perlembagaan Persekutuan. Justeru warga negara Malaysia berkewajipan untuk menerima hakikat bahawa tiada sepatah pun perkataan “sekular” yang wujud di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Persoalannya kenapa IRF masih bertegas dan berdegil mahu menganggap negara ini sebagai negara sekular?

Khayal Hanya Sistem Sekular Dapat Menjamin Hak Beragama Orang Bukan Islam

Kerasukan rasa percaya IRF terhadap segala yang sekular menyebabkan mereka menyatakan hanya sistem sekular dapat menjamin hak kebebasan  beragama bukan Islam di negara ini. Jelas pendirian mereka terlalu kabur sebagaimana kaburnya mereka tentang hakikat hak beragama yang telah dinikmati warga bukan Islam di sini sejak ratusan tahun lamanya.

Satu fakta yang tidak dapat dinafikan mana-mana pihak sekalipun ialah hakikat sejarah kemasukan kumpulan-kumpulan pendatang bukan Islam dari luar Tanah Melayu. Mereka ke sini untuk berdagang, berurusniaga, mengembara, belajar dan sebagainya. Kebanyakan dari mereka kemudiannya memilih untuk terus bermastautin dan tidak lagi pulang ke negara-negara asal mereka.

Kesultanan Melaka pada ketika itu diperintah menurut Undang-Undang Islam. Hak beragama golongan bukan Islam ini dijamin oleh Kesultanan Melayu Melaka. Buktinya, sehingga hari ini kita dapat melihat masyarakat  Baba dan Nyonya serta masyarakat Chettiar masih berpegang kepada agama asal nenek moyang mereka meskipun mereka sudah berada di sini sejak dari zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Hak beragama mereka dijamin dan diiktiraf oleh sistem ini lebih awal beratus-ratus tahun sebelum negara-negara barat bereksperimen dan mengalami kerasukan sistem sekular.

Sekular Membolehkan Muslim Mengamalkan Agama Mereka dengan Ikhlas dan Bukan Dipaksa.

Kecenderungan menggunakan hujah ini sebagai alasan untuk membolehkan sistem sekular wujud di sini sudah kerap kali dilihat membasahi lisan-lisan serta penulisan-penulisan yang berasal dari IRF.

IRF memetik sebahagian ayat 256 surah al Baqarah yang membawa maksud “..tiada paksaan di dalam beragama,” tanpa mereka sendiri faham bahawa ayat tersebut sebenarnya ditujukan kepada golongan bukan Islam yang tidak boleh dipaksa memeluk Islam. Ayat yang sama merujuk secara terang Islam sebagai jalan kebenaran.

Tidak ada paksa dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh, yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (al Baqarah ayat 256)

IRF cuba membawa faham terbalik dengan mengatakan bahawa ayat tersebut bermaksud bahawa Muslim tidak boleh dipaksa untuk mengamalkan agamanya. Hujah mereka, bahawa Muslim akan menjadi Muslim yang lebih baik jika tidak dipaksa mengamalkan agamanya dengan campurtangan pemerintah. Ini adalah satu tanggapan tidak matang dari pemahaman rosak Islam mengikut hawa nafsu IRF sendiri .

Sedangkan pada hakikatnya, Islam itu adalah satu jalan hidup merangkumi tanggungjawab individu terhadap dirinya sendiri sehinggalah tanggungjawab negara kepada rakyatnya. Pemerintah di dalam sistem Islam harus menyediakan negara yang damai dan aman daripada sebarang ancaman kepada aspek akidah, iman, keselamatan serta kebajikan rakyat-rakyatnya. Inilah hakikat yang cuba dikelabukan pihak IRF.

Impak Sekular Amat Besar

Sekurang-kurangnya 13 gejala kerosakan aqidah bakal berlaku jika idea Negara Sekular tajaan IRF, Dr.Farouk Musa, COMANGO, BAR Councill, DAP, PKR dan pihak-pihak lain yang tidak menghormati prinsip Keluhuran Perlembagaan bakal berlaku -

  1. Merelakan nama suci Allah disalahgunapakai kepada sembahan bukan Islam.

  1. Menyamaratakan semua agama/kepercayaan - sama taraf dengan agama Islam   dan menafikan ketinggian Islam sebagai Agama Negara

  1. Menganggap semua agama adalah benar - Pluralisme agama.

  1. Menganggap perbuatan murtad sebagai suatu hak asasi manusia

  1. Perkahwinan campur tanpa perlu menukar agama.

  1. Menuntut hak supaya kanak-kanak yang dilahirkan tidak ditentukan agama mereka sehinggalah mereka mencapai umur 18 tahun.

  1. Memperjuangkan hak kebebasan berfikir hingga ke tahap mengenepikan wahyu Allah menerusi alQuran dan Sunnah

  1. Memperjuangkan hak kebebasan asasi hingga menuntut supaya semua undang-undang Syariah di Negeri-Negeri dan  kewajipan amar makruf nahi mungkar dibatalkan.

  1. Menuntut kebebasan orientasi seks LGBT - sebagai suatu hak walaupun Allah mencerca dan undang-undang Kanun Keseksaan mengharamkannya.


  1. Menuntut supaya dihapuskan semua hukuman yang disifatkan sebagai capital  punishment termasuk hukuman mati dan sebat.

  1. Menuntut hak supaya orang bukan Islam diberikan peluang mendiayahkan agama mereka kepada orang Islam bercanggah dengan Perkara 11 Fasal 4 Perlembagaan.


  1. Bertekad untuk menyelewengkan keutuhan aqidah dan syariat Islam kononnya mengikut jejak Reformed Jews dan Reformed Christian.

  1. Membela kekufuran dan penyelewengan aqidah dalam buku-buku pemikiran semasa termasuk buku-buku Liberal tersohor dari Indonesia dan termasuk buku Irsyad Manji di Malaysia.

Jika penegasan Perlembagaan persekutuan bahawa Malaysia adalah sebuah Negara yang beragama Islam yang membawa maksud Malaysia adalah Negara Islam yang telah berjaya membawa keamanan dan kesejahteraan kepada seluruh umat manusia yang tinggal di Negara ini, kenapa kedudukan Negara Islam ini perlu dicemburui? Hingga mahu membawa pendekatan melakukan gempar hantu raya Islamufobia kepada rakyat Malaysia yang terdiri dari pelbagai agama dan bangsa? Inilah penyakit OGS yang menghantui kelompok ekstremis Islamufobia yang dilaungkan secara hasutan melalui balutan dan salutgula akademik sebegini.

Cabaran PEMBELA kepada Dr. Farouk Musa Kekal.

Oleh kerana Dr. Farouk Musa dan  IRF berterusan gagal untuk membuktikan yang perkataan Sekular wujud di dalam Perlembagaan, maka pihak PEMBELA ingin menegaskan kepada pihak IRF supaya membatalkan forum Perdebatan Tentang Negara Sekular pada 7 Jun 2014 yang bersifat hasutan.

TOLONG HENTIKAN PROVOKASI YANG MEMBANGKITKAN KEMARAHAN UMAT ISLAM DAN MENCEMAR KEDAULATAN ISLAM. PERBUATAN ANDA ADALAH BERSIFAT HASUTAN!


1 comments:

  1. Saya bersyukur dan berterima-kasih kepada PEMBELA kerana masih lagi mahu berdakwah dengan agen NED seperti IRF supaya mereka insaf dan pulang ke pangkal jalan. PEMBELA menyayangi sesama Muslims dan ini harus dipuji.

    Namun ingin saya tegaskan di sini, bahawa pengkhianatan yang IRF lakukan dengan berkiblatkan NWO dan Setan Dunia sangatlah mengecewakan. Dengan bermimpi basahkan barat dan kebaratan, dengan seribu satu isme dibawa masuk dan dihidangkan dengan rencah yang kelihatan menarik pada mereka yang naif.

    Sudah terang lagi bersuluh apa yang diperjuangkan oleh NED, adakah cerdik pandai-cerdik pandai, melihat tapi tidak nampak?

    Saya doakan semoga mata hati mereka tidak tertutup dengan sumber ratusan ribu dana NED!

    ReplyDelete

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.