Sunday, 8 June 2014

Zarena Abdul Majid Dilahirkan Muslim & Bukan Mualaf : Benarkan Pihak Berkuasa Menyelesaikan Isu Serbuan JAIS.


Pelbagai berita dan cerita bercanggah ditimbulkan pelbagai akhbar, laoran berita dan portal-portal berita di internet. Masing-masing pihak cuba menjadi juara di dalam isu ini biarpun maklumat lengkap dan hakikat sebenar isu ini masih belum diperolehi sepenuhnya.

Harus diingatkan kepada semua pihak, negara ini merupakan negara dengan komposisi pelbagai kaum dan kepercayaan. Justeru itu, keadaan ini membolehkan mana-mana pihak dengan kepentingan tertentu menggunakan situasi ini untuk kepentingan jangka pendek dan panjang mereka.

Dalam apa jua perkara yang berlaku dan hendak dilakukan, apa yang harus ditegaskan ialah semua pihak harus akur dan mengambil sikap yang tidak bertentangan dengan undang-undang sediada. Prinsip Keluhuran Perlembagaan harus dihormati. Kedaulatan Undang-Undang harus dijaga.

Telah timbul pelbagai berita dan spekulasi serta tuduh menuduh di dalam isu ini. Lebih malang apabila tokoh-tokoh agama dengan kepentingan-kepentingan tertentu turut sama diheret untuk memberi pendapat dan mungkin juga memberi tekanan kepada pihak berkuasa yang menjalankan tugas mereka mengikut undang-undang. Pelbagai label dihamburkan kepada pihak berkuasa termasuk oleh tokoh agama dengan kepentingan tertentu meskipun pihak mereka sendiri tidak mengetahui apa butiran fakta sebenar yang melingkari isu ini.

Sehingga hari ini, telah timbul pelbagai laporan bercanggah antara satu sama lain di dalam berita-berita yang dimuatkan. Pada awalnya, bapa kepada pengantin perempuan dikatakan serorang Mualaf berasal Hindu dan memeluk Islam. Malaysian Insider   membawa cerita menggambarkan seolah Zarena didaftarkan sebagai seorang Islam tanpa pengetahuan mereka semenjak dia kecil. Mengambil berita ini sebagai fakta, ramai pihak termasuk tokoh agama tertentu tampil menghentam dan membuat pelbagai spekulasi dan andaian berkenaan isu ini. Ini temasuklah menghentam bapa kepada pengantin perempuan sebagai seorang yang tidak bertanggungjawab. Malah pihak JAIS yang menjalankan tugasan mereka sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Undang-Undang negeri dituduh sesetengah pihak bersikap seperti Taliban.

Terbaru, timbul berita bahawa Abdul Majid Gulam Kader yang juga merupakan bapa bilologi kepada pengantin perempuan yang ditahan, bukanlah seorang mualaf tetapi seorang Muslim semenjak lahir. Malah, Abdul Majid turut menegaskan bahawa dia tidak pernah mendaftarkan Zarina sebagai seorang Islam kerana Zarina sememangnya seorang Islam semenjak lahir kerana  lahir daripada ibubapa yang beragama Islam. Isterinya Zainab, atau nama asalnya Vasantha telah memeluk Islam di PERKIM pada 1974. Begitu sepertimana apa yang dilaporkan di dalam The Star hari ini.

Zarina berusia 32 tahun semasa ditahan untuk disoalsiasat oleh pihak JAIS. Ini menunjukkan berkemungkinan Zarina dilahirkan kepada pasangan itu pada 1982, lapan tahun setelah ibunya memeluk Islam. Jadi berita yang mengatakan Abdul Majid memeluk Islam dan meninggalkan keluarganya dan mendaftarkan anak-anaknya dari perkahwinan sivil berasaskan adat dan agama Hindu sepertimana yang dicanangkan sebelum ini adalah berita palsu yang diimani pelbagai pihak termasuk sesetengah tokoh agama.

Malah laporan The Star tersebut turut menyebut bahawa Abdul Majid kerap bergaduh dengan isterinya kerana memarahi isterinya yang sering membawa anak mereka ke kuil untuk bersembahyang.

Jelas, satu persatu fakta mengenai perkara ini mula muncul memadamkan berita-berita fitnah dan palsu yang timbul sebelum ini. Atas sebab itulah, seperti mana sebelum ini, pihak kami menyeru semua pihak supaya bertenang dan membenarkan pihak berkuasa iaitu JAIS menjalankan kerja-kerja siasatan mereka.

Perlu diingatkan, Kanun Keseksaan memperuntukkan Imuniti kepada pihak berkuasa agama yang dilantik untuk bertindak menurut undang-undang yang telah diwartakan di bawah Seksyen 298A perkara 6 a) dan b). Benarkan JAIS menjalankan tugas mereka tanpa tekanan.

Dan kepada orang-orang Islam,ingatlah kepada pesan Allah di dalam al Qur’an.

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. (al Hujurat ayat 6)


Ben Yaacob.

0 comments:

Post a Comment

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.