Friday, 16 May 2014

Marina dikenakan kos penghakiman RM3000

KUALA LUMPUR, 16 Mei – Mahkamah Tinggi pada 9 Mei lalu telah menolak permohonan Marina Mahathir supaya pihak ISMA dan saksinya memberi keterangan terlebih dahulu dan menetapkan bayaran kos penghakiman sebanyak RM3000 yang perlu ditanggung oleh pihak Marina.
Berikutan itu, pada 12 Mei pihak Marina memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan memohon agar perbicaraan Mahkamah Tinggi yang dijadualkan pada 15 dan 16 Mei ditangguhkan. 
Marina juga memohon agar pihak ISMA dan saksinya memberi keterangan terlebih dahulu atas alasan memandangkan mereka menuduh beliau orang di belakang Comango, maka mereka sepatutnya memberi keterangan terlebih dahulu untuk membuktikan dakwaan mereka itu.
Peguam yang mewakili 16 pimpinan tertinggi ISMA, Azad Bashir berkata, sepatutnya pihak Marina yang memulakan memberi keterangan di mahkamah tetapi mereka cuba mengelak.
“Dalam kes saman seperti ini, pihak plaintif perlu membuktikan terlebih dahulu terdapatnya penerbitan. Kemudian penerbitan itu perlu dibuktikan telah merujuk dengan jelas kepada plaintif. Kemudian penerbitan kata-kata itu perlu dibuktikan telah memfiitnah atau memalukan plaintif. Selepas itu baru pihak defendan atau ISMA tampil memberi keterangan untuk tujuan pembelaan,” kata beliau kepada ISMAweb.
Sebaliknya, pihak Marina telah memohon di Mahkamah Rayuan, dan pada pagi semalam Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan sekaligus menetapkan tarikh 24 Jun sebagai tarikh keputusan rayuan Marina.
Serentak dengan itu juga, perbicaraan di Mahkamah Tinggi yang sepatutnya berlangsung selama dua hari bermula semalam ditangguhkan.
Hakim Mahkamah Tinggi, Rosilah Yop menetapkan 3 Julai sebagai tarikh pengurusan kes.
“Pada 3 Julai nanti, kita akan mendapat perkembangan terkini rayuan pihak Marina dan kita akan mengetahui pihak mana yang akan memberi keterangan terlebih dahulu,” kata Azad lagi.
Menurut Naib Presiden ISMA Encik Abdul Rahman Mt Dali, tindakan pihak Marina adalah suatu yang memalukan.
“Perkembangan ini memalukan diri mereka sendiri. Mereka yang saman kita, tetapi mereka yang minta tangguh. Amat memalukan,” kata beliau.
Pada 15 Januari tahun ini, Marina Mahathir, 57, memfailkan saman fitnah terhadap Presiden ISMA Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman dan 15 pimpinan tertinggi ISMA yang lain kerana telah menyebarkan 70 ribu risalah bertajuk “Antara 54 NGO dalam Comango” di masjid-masjid di Lembah Klang, Shah Alam, Putrajaya, Melaka, Kuantan dan Kuala Terengganu selepas solat Jumaat pada 8 November 2013.
Pengedaran risalah yang memuatkan wajah Ahli Lembaga Pengarah Sisters In Islam (SIS) Marina Mahathir dan 8 orang lagi tokoh NGO liberal sebagai “dalang di sebalik Comango” turut dijadikan berita di ISMAweb.net dan berita yang sama dimuatnaik di facebook Ikatan Muslimin Malaysia.
Pengedaran risalah tersebut merupakan salah satu usaha kempen kesedaran bahaya ancaman Comango yang perlu disampaikan kepada umat Islam yang dijalankan oleh ISMA selaku sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Islam berikutan giliran Malaysia membentangkan laporan hak asasi manusia di Semakan Berkala Sejagat (UPR) anjuran Majlis Hak Asasi Manusia PBB di Geneva Oktober tahun lalu.

0 comments:

Post a Comment

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.