Friday, 23 May 2014

Konsistensi, Kredibiliti & Persepsi Pra Matang Mengenai Hudud

Konsistensi yang berpaut kepada kebenaran bakal membentuk kredibiliti kepada hujah-hujah yang perlu diberi perhatian untuk didengari. Tetapi apabila konsistensi yang bersangkut dengan kebenaran itu tidak wujud, ia seolah-olah menjadi hujah-hujahan yang bergantungan pada angin.




Chandra Muzaffar
Semasa era Reformasi, Chandra Muzaffar mengeluarkan kenyataan jangan mengundi Barisan Nasional yang ketika itu dikatakannya boleh diibaratkan sebagai harimau yang cedera. Apalah guna berpakat sesama Barisan Alternatif sekiranya mereka memberikan ruang untuk Barisan Nasional untuk bangkit kembali. Itu pesan Chandra Muzaffar pada ketika itu kepada penyokong Barisan Alternatif.

1999- Jangan Jadikan Barisan Nasional Kuat
Pada ketika itu, Chandra Muzaffar percaya dengan pendapatnya bahawa bersama Anwar Ibrahim dan Barisan Alternatif, ada harapan untuk Malaysia berubah menjadi lebih baik. Kemudian terdengar berita angin kisah fail-fail yang dicampakkan ke muka Presiden parti KeAdilan. Siapa yang mencampak dan siapa sasaran campakan tidak dapat dipastikan. Tetapi berita-berita angin tersebut seolah-olah mencadangkan ia pernah berlaku. Chandra Muzaffar kemudiannya tidak lagi terlibat dengan Parti KeAdilan.

2008 - Jangan Biar Anwar Ibrahim Ke Tampuk Kuasa
Tidak lama sesudah itu, di dalam sebuah forum bertajuk “2008 Malaysian General Election” yang dianjurkan  The Star-Asian Centre for Media Studies, the Star melaporkan sebagaimana berikut mengenai pandangannya tentang Anwar Ibrahim :

If Datuk Seri Anwar Ibrahim becomes Prime Minister, it will be an “unmitigated disaster” for Malaysia, a former Parti Keadilan Nasional (before they joined forces with Parti Rakyat Malaysia to become PKR) deputy-president said at a forum yesterday.1

Jika dulu, dia percaya Malaysia akan lebih cemerlang dan baik bersama Barisan Alternatif yang dipimpin Anwar Ibrahim melalui proksinya, tetapi sesudah keluar dari Parti KeAdilan, beliau mengubah pandangannya.

2008 – Hudud Melemahkan Barisan Alternatif dan Menguatkan Barisan Nasional
Dalam forum yang sama, beliau mendakwa bahawa, kegagalan Barisan Alternatif bertahan adalah disebabkan oleh tindakan PAS yang bertegas mahu melaksanakan bentuk Islam konservatif di Terengganu.
Pada ketika itu, Terengganu, di bawah pemerintahan Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Terdapat percubaan untuk membawa hukum Hudud untuk dilaksanakan di Terengganu. Perkara ini menyebabkan berlakunya pertembungan ideology antara PAS dan DAP.
DAP pula menurutnya cuba memberi penekanan supaya negara ini mengamalkan dasar secular yang lebih agresif tanpa memahami peranan agama di dalam pembentukan negara ini. Perpecahan lantas berlaku. Berikut petikan kata-katanya di dalam forum tersebut :

“BA did very well and it was one of the best performances by the Opposition but after the elections, PAS decided to pursue an ultraconservative Islam in Terengganu and this made it difficult for us. 
“DAP emphasised on an aggressive type of secularism which did not understand the role of religion in the country. A deep chasm was developed and the Opposition could not hold the middle ground and I don’t think they can for many, many years,” he said. 1

Walaupun lidah rasmi PAS penuh dengan keyakinan bahawa Barisan Alternatif tidak akan hancur, tetapi siapa boleh menahan kehendak Allah jika Dia mahukan Barisan ALternatif untuk hancur.

Chandra Muzaffar, seolah-olah menyatakan bahawa kecenderungan PAS untuk membawa negara ini kea rah dasar Islam konservatif menyebabkan Barisan Alternatif menjadi lemah dan kemudiannya berpecah.

Sejarah membuktikan Hudud,  sentiasa memberikan kekuatan kepada pihak pemerintah.

2014 – Hudud Akan Melemahkan Barisan Nasional
Walau bagaimanapun pendapatnya sekali lagi berubah di dalam forum meja bulat mengenai Hudud yang dianjurkan Global Movement of Moderates semalam (22 Mei 2014). Perubahan pendekatan serta cara berpolitik mungkin menyebabkan beliau melontarkan pandangan sebagai sebuah nasihat yang perlu didengari pemerintah. Untuk pemerintah menyantuni isu Hudud ini dengan kecenderungan untuk menyokongnya ditegakkan di Kelantan, ia bakal menyebabkan kekuatan kerajaan sekarang merosot. Itu katanya.

Sukar bagi mereka-mereka yang sentiasa bergantung kepada kredibiliti hujah berasaskan konsistensi untuk kini merasa percaya kepada apa yang dilontarkannya sebagai pendapat yang perlu diberi perhatian. Sebagai seorang tokoh yang dihormati, pandangan-pandangan beliau mengenai masa depan politik negara yang bercelaru, tidak pernah konsisten, malah tersasar  sejak 1999 tidak memungkinkan kita untuk terus memberikan kredibiliti percaya kepada apa yang dikatakannya.

Professor Shad Salem Faruqi
Professor Shad Salem Faruqi merupakan seorang tokoh akademik serta pakar Perlembagaan. Beliau sering dijemput dan ditagih pendapatnya untuk persoalan-persoalan mengenai Undang-Undang Negara termasuk Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata benar bahawa Hudud akan mengubah dasar lanskap perundangan negara. Tetapi perlu diingatkan juga bahawa keadaan ini adalah keadaan yang hampir sama sepertimana undang-undang yang diimport dari Westminster yang mengubah dasar perundangan asal negara ini dari berpaksikan hukum Islam kepada Common Law yang diimport dari negara bekas penjajah.

Beliau turut dijemput di dalam forum yang turut menyaksikan Pengerusi Islamic Renaissance Front, Dr Ahmad Farouk terlibat sama. Berbeza dengan pendekatan sebelum-sebelum ini yang melibatkan pembentangan fakta, pada kali ini Professor Shad Salem cuba berhujah dengan persepsi-persepsi liar yang terbit dari imaginasi yang membayangkan bagaimana situasi negara jika hukum Hudud itu dilaksanakan. Kebimbangannya mengenai keadilan yang sama rata akan di antara golongan elit dan bawahan mungkin terbit dari pemerhatiannya yang melihatkan keadilan social tidak dijalankan dengan adil di dalam sistem sediada sekarang.

Jangan Jadi I.S.A.
Tetapi, adalah tidak adil untuk menjatuhkan hukum kepada sesuatu yang belum pun dibentangkan dan ditelitikan. Malah hukum Islam tersebut juga belum lagi dilaksanakan. 

Bertindak memberikan persepsi dan prasangka buruk sebelum sesuatu itu dijalankan seolah-olah melakukan tindakan ala I.S.A. ke atas undang-undang Islam. Kesilapan belum lagi dilakukan, tetapi undang-undang ini telah dijatuhkan hukuman-hukuman persepsi yang begitu teruk.

Seharusnya semua pihak bertenang serta menahan diri dari berkelakuan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri dan memberi ruang kepada Akta Persendirian berkenaan Undang-Undang Hudud dibentangkan terlebih dahulu. Dalam amalan demokrasi di dalam sistem Raja Berpelembagaan, hak-hak untuk membentangkan sebarang undang-undang di Parlimen, kecuali sebagaimana yang disebut di dalam Bab 5 (Acara Perundangan) Perlembagaan Persekutuan, adalah tidak dilarang.

Perlembagan Persekutuan bukanlah sebuah buku perundangan rigid yang perlu kekal dengan Status Quo sepertimana keadaanya semasa tahun 1963. Ini merupakan tanggapan serta khayal yang terbit dari imaginasi liar pihak-pihak tertentu yang cuba membentuk pemikiran rakyat Malaysia untuk percaya Perlembagaan Persekutuan dibentuk supaya tidak akan diubah selama-lamanya. Mungkin irihati dengan keupayaan majoriti 2/3 di dalam Parlimen yang hanya boleh dinikmati oleh Ahli-Ahli Parlimen Islam, maka persepsi Perlembagaan Persekutuan sebagai sebuah kitab sacrosanct yang tidak boleh diubah cuba dimainkan.

Jika benar Perlembagaan Persekutuan itu memang diniatkan oleh generasi pengasas negara ini supaya perlu kekal di dalam bentuknya sebagaimana ia di tahun 1963, kenapa pula mereka tidak memansuhkan Artikel 159 (1) pada ketika itu? Sebahagian Artikel 159 (1) berbunyi seperti berikut :

…., peruntukan-peruntukan Perlembagaan ini boleh dipinda oleh undang-undang Persekutuan.

Bukankah pengasas-pengasas negara ini meninggalkan kepada kita ruang dan kebebasan kepada kita memilih halatuju negara ini dengan wujudnya Artikel 159 ini? Bukankah dengan wujudnya Artikel 159 ini, ia bermaksud bahawa kita diberikan pilihan untuk menentukan apa hala tuju negara ini . Pengasas-pengasas negara tidak pernah menghalang ianya berlaku, jadi tidak perlulah sesetengah pihak berlebih-lebihan berhujah seolah-olah dilantik menjadi jurucakap mereka.

Sehingga Undang-Undang tersebut dibentangkan, didebatkan serta diwartakan, maka tidak perlulah kita menjadi I.S.A. dengan menghukum jelik undang-undang itu sebelum sebarang kekurangannya atau kesilapannya muncul.

Menghalang rakyat Malaysia yang mahukan Undang-Undang itu ditegakkan bermakna ianya satu tindakan tidak menghormati asas demokrasi negara ini. Dan hak demokrasi itu bukan hanya milik minority bukan Islam, tetapi majority Islam juga diberikan hak yang serupa. Tolong hormati hak ini dan berhenti menjadi I.S.A. dalam bentuk manusia.



Oleh : Ben Yaacob



Rujukan :
1)    jaNE RITIKOS AND LISA GOH,  ‘Disaster if Anwar is PM’ , http://www.thestar.com.my/story.aspx/?file=%2F2008%2F3%2F4%2Fnation%2F20528294


3 comments:

  1. Prejudis dan pramatang...tertutup pintu hati mereka dan cuba menutup hati dan pemikiran org lain

    ReplyDelete
  2. Hamba Allah 23 May 2014 15:58..
    Kami bersetuju dgn pandangan tersebut.. terlalu prejudis tanpa memberi ruang untuk ia dibentangkan dahulu sebelum apa2 komen adil dibuat.. Semuanya berasaskan prasangka. Tiada pendekatan ilmiah dan bertamadun untuk menunjukkan mereka meraikan hak kebebasan bersuara.

    ReplyDelete
  3. Kenapalah agaknya mereka-mereka yang tidak faham tentang Islam, terutamanya yang tidak menganut agama Islam, lebih berminat bercakap dan berkomentar tentang sesuatu yang mereka tidak tahu. Adakah mereka itu layak digelar pemikir hebat apabila bercakap tentang perkara yang tidak akan tercapai oleh akal mereka?

    Bukankah ini merupakan satu penghinaan kepada kesuciaan Islam dan kedudukan Islam sebagai satu-satunya Agama Persekutuan?

    ReplyDelete

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.