Saturday, 24 May 2014

Kenyataan Media PEMBELA Berkenaan Sikap Tidak Sensitif Terhadap Agama Persekutuan



Kenyataan Media PEMBELA 
(menerusi Bangkit.info)
PEMBELA memandang serius sikap prejudis & tidak sensitif terhadap Agama Persekutuan dan Keluhuran Perlembagaan
23 Rejab 1435H / 23 Mei 2014M

Pihak kami mengambil serius tentang tindakan-tindakan tidak sensitif yang sedang giat diusahakan oleh segelintir pihak yang tidak senang dengan hak demokrasi yang cuba dijalankan oleh sekumpulan umat Islam di dalam negara. Pihak kami tidak menolak kebebasan mana-mana pihak untuk bersuara dan menyatakan pendapat. Tetapi semuanya harus dilakukan penuh beradab termasuk tidak meletakkan agama Islam menjadi subjek permainan dan penghinaan berikutan isu cadangan pembentangan Rang Undang-Undang Persendirian berkenaan Hukum Hudud ini.
Pihak kami ingin mengingatkan kepada semua pihak, termasuk umat Islam sendiri bahawa agama bagi Persekutuan ini ialah agama Islam. Ia termaktub di dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.
Sebarang penghinaan kepada Islam, membawa maksud penghinaan kepada Persekutuan serta Perlembagaan negara ini. Sebarang penghinaan terhadap Islam, membawa erti penghinaan kepada Yang di Pertuan Agong sebagai Pemerintah Negara yang bertanggungjawab menjaga kesucian agama Islam di dalam negara ini.

Pihak kami ingin merakamkan perasaan kesal dengan penganjuran Forum Meja Bulat mengenai Hudud yang telah dipengerusikan oleh Datuk Saifuddin Abdullah di bawah Global Movement of Moderates kerana dilakukan sebelum semua perkara berkenaan pembentangan Rang Undang-Undang Persendirian tersebut dibentangkan. Penganjuran forum tersebut memperlihatkan kecenderungan sikap membuat persepsi mendahului penelitian fakta dan memberikan ruang prejudis diangkat menjadi pendapat umum tanpa memberi ruang seadilnya kepada pihak-pihak yang sedang berusaha menjalankan amanah Allah dalam usaha membentangkan undang-undang tersebut. Pihak kami ingin menganjurkan supaya Datuk Saifuddin Abdullah bersama Global Movement of Moderates untuk bersikap sederhana dan memberikan ruang supaya Rang Undang-Undang Persendirian tersebut dibentangkan terlebih dahulu sebelum isikandungannya ditelitikan dan didebatkan.
Perlu pihak kami ingatkan serta tegaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan membenarkan Rang Undang-Undang tersebut di bawa ke Parlimen untuk dibentangkan. Samada ia mendapat sokongan yang cukup atau pun tidak, amalan negara berdemokrasi membenarkan ianya di bawa ke Parlimen untuk dicadangkan.
Sehingga ke saat itu berlaku, semua pihak diminta bertenang dan tidak melakukan spekulasi dan tindakan-tindakan provokasi melampau termasuk berbaur penghinaan ke atas agama Islam. Untuk menghalang hak-hak rakyat negara ini membawa perkara tersebut ke dalam Parlimen atas dasar sentimen dan sebagainya, ianya seolah-olah menggambarkan pihak-pihak berkenaan tidak pernah percaya dengan sistem demokrasi yang selama ini dilaung-laungkan.
Kita harus meninggalkan budaya lapuk dan ketinggalan zaman yang membenarkan ruang prejudis tidak berasaskan fakta menguasai mana-mana perbincangan ilmiah.
Sebagai negara majmuk dengan kepelbagaian budaya, perbezaan pendapat harus diraikan tetapi mestilah berada di dalam kerangka paksi-paksi yang membentuk identiti negara ini iaitu tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip-prinsip Rukunegara. Jika semua ini dihormati, pihak kami yakin dan pasti Malaysia akan terus aman dan berjaya di masa hadapan. Tindakan-tindakan melampau yang meletakkan Islam sebagai subjek penghinaan harus dihentikan dengan segera. Pihak berkuasa harus sensitif terhadap sebarang ancaman kepada tonggak yang membentuk tiang-tiang seri negara.
Sekian,
Ustaz Mohamed Hafiz Mohamed Nordin,

Pengerusi Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA)

14 comments:

  1. "Kebebasan bersuara tapi hanya kalau anda bersetuju dengan saya, kalau anda tak bersetuju dengan saya anda menyalahgunakan hak kebebasan bersuara" Kebebasan Bersuara berdasarkan PEMBELA

    ReplyDelete
  2. Peter Ashraf,
    Selagi kebebasan bersuara itu berada dalam kerangka yg menghormati Hak2 Perlembagaan dan Rukunegara, kami tiada masalah untuk bertegas menghormatinya.

    Prejudis dan berprasangka terhadap perkara yang belum ada dihadapan mata, adalah satu sikap yang tidak bertanggungjawab terhadap hak kebebasan bersuara manusia lainnya. Seolah2, ia satu bentuk I.S.A. yg menghukum sesetengah pihak tanpa ada apa2 bukti untuk dilakukan penghukumannya.

    Saudara juga menggunakan prasangka tanpa memberikan keadilan kepada pembuktian bhw apa yg saudara sangkakn itu dapat dibuktikan kebenarannya. Selagi ia berada di dalam skop kebebasan bersuara yg tidak melanggar undang2 krn hanya berpersepsi, kami tiada masalah utk terbitkan komen berprasangka itu walaupun ia kelihatan mendahului penelitian akal berasaskan bukti-bukti yg ada.

    Terima kasih kerana berkunjung dan meluangkan masa membaca Kenyataan Media tersebut.

    ReplyDelete
  3. i agreed 100%.. will surely support all effort to make harmony msia in our own way. Islam for all.

    ReplyDelete
  4. Ayat I support all effort tu mcm pernah dengar... Alhamdulillah..

    ReplyDelete
  5. 1) Masalahnya ialah kami tak bersetuju dengan intepretasi perlembagaan berdasarkan PEMBELA, intepretasi kami akan dianggap sebagai bertentangan dengan perlembagaan dan "menyalahgunakan hak bersuara"

    ReplyDelete
  6. Penghinaan adalah satu yang subjektif, pendapat yang berbeza boleh dianggap sebagai penghinaan kalau disalahtafsir, whats constitutes as penghinaan can be taken as perbezaan pendapat for different people, apa kata kita terima kebebasan bersuara dengan sepenuhnya walaupun mungkin ada pendapat yang berbunyi menghina.... itulah lumrah kebebasan bersuara, kalau ia menghina orang akan tolak, kalau ia logik dan baik, ia akan diterima

    ReplyDelete
  7. Peter Ashraf,
    Apabila pendapat berbunyi menghina, ia tidak digelarkan sebagai pendapat melainkan satu celaan atau satu makian. Kerap kali makian dan celaan tidak akan terbit dari justifikasi akal yg dapat berfikir secara waras.

    Pendapat akan sentiasa dikeluarkan setelah lengkap proses hitungan yg dibuat setelah mengambilkira set-set hitungan yg perlu sebagai ramuan yang boleh dirancukan sebagai sebuah pendapat. Itulah pendapat.

    Jika semua org dibenarkan menghina, maka pendapat akan mula terhapus sebagai option pilihan manusia untuk menyatakan hasrat dan idea-idea yang sedang terbentuk di minda. Ia akan terhapus dari keupayaan pemikiran manusia. Ini kerana penghinaan akan menyuburkan budaya pembalasan penghinaan dan seterusnya dan seterusnya.

    Maka pupuslah keupayaan memberi pendapat dan suburlah budaya manusia-manusia gasar yg bercakap mendahului rasa hati sebelum diproses akal. Tiada siapa akan sempat memberi pendapat lagi ketika masing-masing sibuk membalas penghinaan demi penghinaan. Fahami batasannya. Semua akan selamat jika manusia memahaminya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Di negara-negara maju seperti Jepun, kebebasan bersuara di amalkan dengan baik tanpa sebarang kepupusan, Jepun juga satu negara yang paling sekular didunia lebih sekular dari negara2 barat,

      Tidak pupus keupayan memberi pendapat, manusia2 gasar akan terdedah kebodohannya tanpa perlu ditangkap, akan ada manusia2 arif dan bjaksana yang melihat penghinaan itu dengan minda terbuka dan masih boleh memberikan jawapan yang bijaksana, dalam kebebasan suara yang bodoh dapat dilihat dan juga yang bjaksana akan kelihatan

      Delete
  8. Peter Ashraf,
    Dalam mana2 sistem demokrasi, interpretasi Perlembagaan akan sentiasa menjadi hak dan dibuat oleh golongan yang membentuk majoriti di dalam Parlimen. Ini kerana sistem demokrasi tidak memahami lenggok bahasa manusia.

    Tetapi ia hanya faham tentang jumlah suara manusia yang bersuara. Lebih besar jumlah suara maka lebih dekat ianya kepada sabitan autoriti. Jumlah suara ini kemudiannya akan ditafsirkan oleh sistem inisbg kumpulan berautoriti untuk mengubah, menolak and menambah apa2 yang perlu di dalam Perlembagaan.

    Jadi sistem ini memberikan hak autoriti kepada golongan majoriti untuk membentuk apa yang mereka mahu tafsirkan mengenai keperluan negara ini. Ia semudah itu. Oleh kerana ia satu sistem ciptaan manusia, maka ia mempunyai kelemahan-kelemahan yang ketara. Tetapi, setiap kelemahannya harus diterima oleh golongan yang sentiasa menganjurkan serta golongan yang mahukan sistem demokrasi ini menjadi sistem yg membentuk pemerintahan negara.

    Di dalam sistem ini, suara minoriti didengari, tetapi suara majoriti diberikan autoriti untuk membuat sebarang interpretasi termasuk mempertimbangkan suara-suara minoriti. Tetapi, hak menentukan samada ia diterima ataupun tidak, sentiasa menjadi hak milik golongan majoriti di dalam sistem demokrasi ini. Harap jelas.

    ReplyDelete
  9. Perlembagaan sebenarnya adalah untuk mengimbangi demokrasi, demokrasi adalah di mana majoriti memerintah,perlembagaan ada supaya majoriti tidak boleh buat sesuka hati, perlembagaan ada untuk melindunggi minoriti daripada penganiayaan majoriti, sistem perlembagaan ini dicipta barat untuk mengimbangi kuasa majoriti, can refer to perlembagaan british atau amerika, by the saya juga bumiputera tetapi bumiputera bukan muslim

    ReplyDelete
  10. Pepatah Melayu

    "Jika cerdik teman berunding, jika bodoh disuruh diarah."

    "Hati orang yang bodoh itu di mulutnya, dan lidah orang yang cerdik itu di belakang hatinya."

    Salam

    ReplyDelete
  11. Kerana itu penting perlembagaan tak boleh diubah2 oleh majoriti atau minoriti, majoriti atau minoriti berubah rubah berdasarkan kadar kelahiran, sebagai contoh, bayangkan kalau tiba2 cina menjadi majoriti kerana kelahiran (hanya contoh) mungkin kaum lain akan dianiaya dengan polisi2 pro majoriti, tapi dengan perlembagaan kaum melayu sentiasa dilindungi, begitu juga apabila melayu ialah majoriti, kaum lain dilindungi perlembagaan, perlembagaan adalah pengimbang demokrasi

    ReplyDelete
  12. Saudara Peter Ashraf harus bertenang semasa menulis komen. Jika perasaan tenang itu muncul, baharulah saudara mula mengatur apa yang hendak dikomenkan supaya ia tidak terpecah kepada set-set komen dengan cadangan yang bercelaru antara satu sama lain.

    Untuk Komen Saudara pada 20:16, saudara Peter Ashraf sedang kecanduan Utopia. Mengangkat Perlembagaan sebagai sesuatu yang Sacrosanct sehingga tidak boleh diubah, bererti mengangkatnya ke satu tahap yang sama dengan sesuatu dogma. Jepun, negara yang paling sekular di dalam dunia sendiri pun tidak akan bersetuju dengan saudara. Mereka sendiri rimas dengan Perlembagaan mereka yang dirangka oleh penjajah. Maka hasrat majoriti rakyat mereka yang mahu melihat Perlembagaan yang ditentukan oleh rakyat Jepun sendiri sedang rancak dibincangkan di sana. Untuk keadaan ini, Malaysia lebih bebas mengenai halatuju Perlembagaan mereka. Hairan juga dengan kesongsangan kiblat kebebasan Perlembagaan yang dicari saudara.

    http://rt.com/news/japan-revise-pacifist-constitution-052/
    http://www.theguardian.com/world/2014/feb/05/japan-constitutional-changes-enhance-defence-capacity

    Untuk komen saudara Peter Ashraf pada 20:04 yang mengangkat Jepun sebagai model kebebasan bersuara agung sehinggakan seolah-olah mencadangkan segala yang dilakukan Jepun perlu menjadi kiblat rujukan kepada kita di sini. Benar Jepun mengiktiraf kebebasan bersuara dan berekspresi. Tetapi kebebabasan itu tidak pernah mutlak. Kepentingan awam dan hak-hak pemerintah sentiasa diambil kira sebagai keutamaan melebihi hak bersuara yang mahu dijalankan. Sebagai seorang pengagum kebebasan bersuara Jepun, tentu sahaja saudara Peter pernah mendengar kes melibatkan golongan petani yang membuat seruan supaya hasil padi dan tanaman mereka tidak dijual kepada kerajaan. Walaupan hasrat dan kemahuan mereka itu termasuk di dalam hak-hak kebebasan bersuara, tetapi Mahkamah Jepun telah menafsirkannya sebagai satu perbuatan hak kebebasan bersuara yang melampaui batas sehingga menjejaskan pihak pemerintah. Kes ini sentiasa dirujuk apabila berlaku pertembungan dengan kes-kes hak kebebasan bersuara. Ia dirujuk sebagai Emergency Food Supply Order Case of 1949.

    Begitu juga dengan kes Sapina Stesen TV Hakata kerana menyiarkan rakaman pertembungan ganas antara polis dan penunjuk perasaan. Dalam kes ini, Mahkamah Jepun meletakkan kepentingan awam lebih tinggi dari hak kebebasan untuk menyiarkan footage tersebut. Dalam mana pertembungan Antara hak bersuara yang dikatakan bebas di Jepun, hakikatnya kepentingan awam dan pemerintah itu selalunya didahulukan.

    Malah hakikat Jepun sebuah Negara dibentuk satu bangsa Jepun majority (98.5%) tidak harus ditolak. Pendekatan sesebuah Negara dikuasai sepenuhnya ras sesuatu bangsa dengan hak-hak demokrasi mereka tidak harus disamakan dengan Negara multiracial seperti Malaysia. Fahami perbezaan ini.

    Meskipun warga Korea hanya membentuk 0.5% dari keseluruhan penduduk Jepun, mereka masih menjadi mangsa gasakan serta tuntutan Patriotisma oleh kumpulan-kumpulan pendesak Bangsa Jepun di sana. Jelas, orang-orang Jepun sendiri tidak senang dengan sikap chauvinis dan rasis bangsa Korea di sana. Kemunculan semakin banyak kumpulan2 seperti kumpulan Zaikotai menunjukkan rasa tidak senang dgn cara asimilasi golongan Korea di sana menyebabkan banyak demonstrasi muncul.

    Lihat pula bagaimana kumpulan Zaitokai diharamkan untuk berhimpun menyatakan pendapat dan hasrat tidak puas hati mereka mengenai Korea. Jelas, tiada kebebasan bersuara mutlak di sana.

    http://bigstory.ap.org/article/japanese-court-anti-korea-hate-speech-illegal

    samb. di bawah ...

    ReplyDelete
    Replies

    1. Untuk komen saudara Peter Ashraf pada 20:11, saya ingin mengucapkan tahniah kerana menggunakan peribahasa Melayu. Memetik peribahasa itu sesuatu yang mudah. Itu satu perkara. Memahaminya pula, adalah satu perkara yang lain. Saudara Peter Ashraf, mempunyai yang pertama. Untuk memahaminya, biar saya jelaskan. Tidak perlu membayar yuran kelas bahasa, cukup dengan kehadiran saudara yang kerap di sini. Saya sangat menghargai mana-mana pengunjung Bangkit! Yang setia.

      Jika cerdik teman berunding, jika bodoh disuruh arah. Peribahasa itu tidak bermaksud semua yang diajak atau mengajak berunding itu adalah orang-orang yang cerdik. Peribahasa itu membawa maksud, orang Melayu harus tahu memilih orang yang sesuai diajak berunding dan orang yang hanya perlu disuruh-suruh. Dalam hal ini, orang-orang Melayu Islam telah lama mempraktiskannya. Apabila mereka menolak untuk berbincang dengan sesetengah pihak, bukanlah bererti mereka takut atau sebagainya, tetapi mereka telah mengenalpasti apa jenis orang yang mahu berunding dengan mereka. Orang Melayu Islam hanya berunding dengan kumpulan-kumpulan atau individu-individu yang berakal waras dan cerdik beradab. Jika, melihat mana-mana kumpulan NGO Islam atau individu Islam tidak mahu berbincang dengan mana-mana pihak, ketahuilah saudara bahawa, sepertimana peribahasa tersebut, mereka telah mengenalpasti bahawa sebarang usaha untuk berunding dengan orang di dalam kategori tersebut, adalah perbuatan yang sia-sia. Untuk jenis kumpulan ini, hanya arahan dan suruhan

      Hati orang yang bodoh itu dimulutnya, dan lidah orang yang cerdik itu dihatinya.
      Peribahasa itu cuba mengajar kita sifat orang yang bodoh. Orang yang bodoh kebiasaannya terlalu gopoh. Mereka tidak sempat memberikan ruang masa kepada mata hati mereka untuk berfikir. Lalu dengan keadaan gopoh mereka akan bercakap, menyatakan sesuatu dalam keadaan gopoh gapah tanpa habis berfikir terlebih dahulu. Kerap kalinya apa yang dikatakan sebelumnya, tidak akan memberi kepuasan kepada mereka, lalu mereka perlu mengulanginya semula dalam cara yang diubah-ubah. Menyatakan sesuatu itu termasukkan di dalam menulis tentang sesuatu. Apabila hati berada di mulut, selang beberapa minit mereka akan mengeluarkan kenyataan demi kenyataan, komen demi komen kerana mereka merasakan komen yang dibuat sebelumnya tidak dapat memenuhi apa yang ingin disampaikan oleh hati mereka. Kerana itulah saya berpesan kepada saudara supaya bertenang sebelum menulis apa-apa komen. Kelak nanti, sepertimana peribahasa yang saudara petik itu, ianya akan terpercik ke muka sendiri.

      Bertenang saudara. Kerana lidah orang yang cerdik itu dihatinya. Terima kasih atas kunjungan kerap dan terima kasih juga kerana sudi meluangkan masa-masa berharga untuk komen di sini.

      Wa’alaikum.

      Delete

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.