Thursday, 15 May 2014

Kelantan Tangguh Pembentangan Hudud

KUALA LUMPUR: PAS tidak akan meneruskan hasrat membawa Rang Undang-Undang Persendirian (RUU) di Dewan Rakyat pada Jun ini yang membolehkan Kanun Jenayah Syariah (ii) 1993 dilaksanakan di Kelantan, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Abdul Hadi berkata, perkara itu diputuskan bagi membolehkan penubuhan Jawatankuasa Teknikal antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Kelantan.

Katanya, Mesyuarat Jawatankuasa PAS hari ini telah membuat pertimbangan dalam isu berkaitan pelaksanaan kanun berkenaan.





"Oleh kerana itu cadangan membawa RUU Persendirian di Dewan Rakyat pada persidangan bulan Jun 2014 ini tidak akan diteruskan.

"Ini bagi memberi ruang kepada Jawatankuasa Teknikal diatas untuk merumuskan cadangan dan tindakan selanjutnya," kata Hadi melalui kenyataan yang dibacakan timbalannya, Mohamad Sabu pada satu sidang media hari ini.‎

Mohamad berkata, biarpun PAS mengambil keputusan untuk menangguhkan pembentangan RUU Persendirian itu di Dewan Rakyat Jun ini, namun pihaknya akan memastikan Kanun Jenayah Syariah (ii) yang mengandungi hukum hudud dapat dilaksanakan pada satu masa kelak.

"Terserah kepada Jawatankuasa Teknikal yang akan berbicang dengan Kelantan dan Pusat.

"Ini jawatankuasa antara kerajaan dengan kerajaan, bukan lagi antara parti dengan parti, jadi seriuslah," katanya.

Beliau juga memaklumkan sekutu PAS dalam Pakatan Rakyat belum dimaklumkan mengenai keputusan terbaru yang dibuat itu.

"Mereka belum tahu. Mereka akan mengetahuinya melalui laporan adil media hari ini," katanya.

Pada April lalu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob mengumumkan ahli parlimen PAS dari negeri itu akan membawa RUU Persendirian ke Dewan Rakyat pada sesi akan datang bagi membolehkan pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah (ii) 1993 Kelantan seperti yang diperuntukkan oleh Perkara 76 (A) Perlembagaan Persekutuan.

Pengumuman tersebut mendapat tentangan hebat dari DAP mankala UMNO pula menyokong cadangan tersebut biarpun rakan mereka, MCA tidak bersetuju.


0 comments:

Post a Comment

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.