Friday, 16 May 2014

Islam berdepan ancaman humanrightisme

KUANTAN 13 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, umat Islam kini berdepan dengan satu bentuk ancaman serangan baharu yang begitu agresif iaitu pemikiran dan fahaman humanrightisme.

Perdana Menteri berkata, fahaman itu dilihat seolah-olah menjadi satu cabang agama baharu yang amat pesat berkembang di dalam dan luar negara.

Menurutnya, rencah utama fahaman tersebut adalah berasaskan pemikiran humanisme dan sekula­risme serta liberalisme.

“Fahaman ini bersifat songsang, apabila mengagungkan kehendak dan nafsu manusia semata-mata serta menolak sebarang sistem nilai yang merangkumi normal agama dan adab susila.

“Mereka melakukan segalanya ini di atas satu balutan indah yang diumpani dengan istilah kononnya atas dasar memperjuangkan hak-hak asasi manusia," katanya ketika berucap dalam majlis Perasmian Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-57 di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini malam ini.

Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Pada majlis tersebut, tiga qari dan qariah jemputan yang pernah memenangi tilawah tersebut memperdengarkan bacaan masing­-masing.

Mereka ialah Datuk Abdul Hak @ Abdul Ghani Abdullah, Datuk Ahmad Faizol Ghazali dan Sharifah Khasif Fadzillah Syed Badiuzzaman.

Najib berkata, sebagai sebuah negara Islam yang memartabatkan maqasid syariah, sudah tentu umat Islam amat menitikberatkan kemas­lahatan dan kebajikan setiap insan tanpa mengira warna kulit, bahasa mahupun agama.

“Pemahaman hak asasi manusia yang ekstrem dan tidak mempu­nyai batas diwasatiyyahkan dengan kerangka undang-undang, Perlembagaan dan nilai budaya bangsa," ujarnya.

Beliau berkata, hari ini dengan cabaran globalisasi dunia tanpa sempadan, pemikiran songsang di sisi Islam seperti pluralisme dan liberalisme cuba dicerna dan di­sebarkan dengan mengaitkan kesucian agama Islam.
Hakikatnya kata Najib, pemikiran sesat itu merupakan ancaman yang sangat berbahaya kepada akidah dan syariat Islam sendiri.

“Sudah tentu kita sama sekali tidak akan reda dengan sebarang tuntutan supaya hak untuk murtad daripada Islam diberikan atau hak umat Islam melaksanakan ajaran Islam melalui mahkamah syariah dinafikan, mahupun sebarang pe­rilaku songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) diperakui dan dihalalkan," ujarnya.

Menurut Najib, tuntutan al-Quran yang dibawa oleh wahyu suci telah memerdekakan manusia daripada pemikiran dan kegelapan jahiliah kepada cahaya keimanan serta kemuliaan insan.

“Sebagai umat Islam kita harus berusaha memahami al-Quran mengikut pemahaman Nabi Muhammad SAW yang menekankan konsep keimanan dan ketakwaan hanya kerana Allah SWT serta persaudaraan erat sesama Islam," ujarnya.


Sumber artikel : http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140514/dn_11/Islam-berdepan-ancaman-ihumanrightismei#ixzz31sSGfibW 


© Utusan Melayu (M) Bhd 

2 comments:

  1. Barat sememangnya telah berjaya dalam usaha mereka membaratkan budaya bangsa-bangsa bukan barat. Namun apabila orang Islam memilih untuk tidak tunduk dan akur dengan konsep humanrightisme yang dicipta dan dipopularkan mereka. Mereka mula melatah dan menunjukkan sikap mereka yang sebenar. Muslims sudah mempunyai acuan sendiri bertunjangkan Al-Quran dan Sunnah, mereka (masyarakat Judeo-Kristian barat) dan pengikut-pengikut mereka harus terima dan hormat dengan hakikat itu. Tidak dapat tidak!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Gavriel.. inilah yg mereka sendiri namakan White man's Burden, sempena sebuah sajak dari Rudyard Kipling..

      Dunia gasar ini perlu menerima tunjuk ajar mereka.. mereka lupa tentang satu hakikat, yang kebanyakan negara Asia termasuk Tanah Melayu sudah mempunyai tamadun dan bergelar empayar beribu tahun lamanya sebelum perkataan Amerika itu sendiri wujud..

      Delete

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.