Monday, 26 May 2014

Ingat Babi, Ingat Cadburry!

Perintah pertama yang Allah berikan kepada bangsa manusia ialah mengenai perihal pengambilan makanan. Ia mengenai kisah bilamana Adam a.s. bermastautin di Jannah bersama isterinya Hawa.

Dan kami berfirman: "Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu dalam syurga, dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim". (al Baqarah ayat 35)

Satu perintah ringkas tetapi mempunyai kesudahan yang amat buruk jika tidak dijalankan dengan istiqamah.

Dan demi sesungguhnya, Kami telah berpesan kepada Adam pada masa yang lalu, tetapi ia lupa dan Kami tidak mendapatinya mempunyai keazaman yang teguh. (Taha ayat 115)

Perkataan Zalim yang pertama sekali akan dijumpai bagi mana-mana muslim yang membaca dan mengkaji al Qur’an ialah pada ayat di atas (al Baqarah ayat 35). Itulah permulaan perkataan Zalim di dalam susunan Mushaf al Qur’an.  Ia bagi menunjukkan kepada umat Islam, bahawa setiap kezaliman yang berlaku di dalam kehidupan manusia adalah bermula dari masalah pengambilan makanan-makanan yang dilarang Allah. Pengambilan makanan yang salah dan kotor menyebabkan berlakunya masalah kepada matahati yang tertutup.

Kesannya kepada nabi Adam a.s. dan pasangannya sehingga menyebabkan mereka terbuang dari Jannah. Seolah-olah, Allah mahu menggambarkan secara simbolik kepada kita semua pada hari ini supaya kita mengambil pengajaran. Salah makan, maka semakin jauhlah diri kita semua dari Jannah.

Muslim majoritinya faham dan akan menolak untuk mengambil pemakanan haram. Jika dihidangkan kepada mereka makanan-makanan haram yang jelas diketahui mereka akan keharamannya, mereka pasti akan menolaknya. Bangkai, darah, babi dan binatang-binatang yang tidak disembelih atas nama Allah, maka mereka tahu dengan jelas bahawa semua itu diharamkan Allah untuk kebaikan mereka.

Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah, maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak menginginnya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (al Baqarah ayat 173)

Tetapi masalah timbul apabila makanan-makanan haram itu diselindungkan serta dimasukkan ke dalam menu pemakanan umat Islam melalui jalan tipu daya. Mereka membaluti yang haram dengan memasukkannya ke dalam makanan-makanan yang secara zahirnya diketahui halal oleh umat Islam.

Kita tahu dan kita semua faham bahawa salah satu cara untuk menyesatkan umat Islam dan menjauhkan mereka dari kefahaman dan keyakinan mereka terhadap agama Islam ialah dengan membuatkan umat Islam memakan pemakanan yang haram samada dengan sengaja atau pun tidak sengaja.

Ayat 115 dari surah Taha yang dipetik di atas bermula setelah doa meminta ilmu diajarkan Allah kepada manusia untuk memahami al Qur’an di dalam ayat 114.

Maka Maha Tinggilah Allah, Yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Benar (pada segala-galanya). Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) tergesa-gesa membaca Al-Quran sebelum selesai dibacakan oleh Jibril kepadamu, dan berdoalah dengan berkata: "Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku". (Taha ayat 114)

Dengan memasukkan makanan haram ke dalam tubuh umat Islam, pihak-pihak yang melakukannya akan menyebabkan pemikiran serta kecenderungan umat Islam akan menjauhi al Qur’an. Kehidupan seharian mereka akan berubah mendekati perkara-perkara zalim di dalam kehidupan mereka. Perkara yang paling ditakuti yang akan berlaku ialah mereka akan mendekati kezaliman paling besar iaitu mensyriikkan Allah.

Dan (ingatlah) tatkala Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: "Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar". (Luqman ayat 13)

Umat Islam pada hari ini menyaksikan bahawa telah bermula satu gelombang di mana generasi muda pada hari ini cenderung untuk menjauhkan diri dari Islam dan telah tercatat beberapa kes-kes yang melibatkan anak-anak yang dilahirkan di dalam keluarga Islam memilih untuk meninggalkan Islam. Tujuan mereka bukan kerana mencari kebenaran. Kebenaran hanya wujud di dalam agama Islam. Mereka menjadi keliru dan rosak pemikiran kerana sistem pemikiran mereka telah menjadi rosak kerana cara kehidupan mereka. 
Antara sebab perkara ini berlaku ialah sumber pemakanan yang mereka ambil termasuk ibu bapa yang memberikan makan kepada anak-anak mereka dari sumber pendapatan haram.

Tidak sampai 48 jam sebelum ini, negara telah dikejutkan dengan berita tentang sebuah syarikat pengeluar makanan ternama, menjual produk coklatnya yang dimasukkan unsur-unsur babi.

Pihak Kementerian Kesihatan telah mengeluarkan kenyataan bahawa Coklat yang dipasarkan di bawah label Cadburry mempunyai unsur-unsur Porcine. Pihak JAKIM juga telah menarik kembali sijil Halal yang dikeluarkan kepada produk Syarikat terbabit.

Persoalannya, sudah berapa banyak coklat berunsur babi tersebut telah dijual dan dimakan oleh pengguna-pengguna beragama Islam? Sudah berapa ramai orang Islam yang dirosakkan matahatinya dengan memakan produk keluaran Cadburry ini?

Damage has been done!” Kerosakan telah dilakukan! Yang menjadi mangsa ialah umat-umat Islam yang percaya kepada pihak Cadburry untuk menyediakan coklat bagi memenuhi keperluan rasa suka mereka terhadap produk koko tersebut. Tetapi pihak Cadburry membalas kepercayaan umat Islam kepada mereka dengan memasukkan unsur najis mughallazah, najis paling berat, ke dalam mulut dan perut-perut umat Islam!

Percaya umat Islam beri, dibalas dengan najis mughallazah!

Ada perkara yang kita boleh maafkan begitu sahaja. Ada perkara yang umat Islam boleh lupakan tanpa menyimpan sebarang rasa marah dan dendam. Tetapi apabila rasa percaya umat Islam dibalas dengan cara hina tersebut, maka perkara ini harus diselesaikan dengan cara yang sepatutnya.

Pihak Bangkit.info akan menyokong mana-mana usaha dari mana-mana pihak untuk mengambil tindakan saman ke atas syarikat Cadburry. Ini adalah generasi Muslim yang baru. Jika generasi terdahulu boleh sahaja melupakan perkara seumpama ini dengan memaafkan begitu sahaja, tetapi tidak dengan generasi Muslim Bangkit!

Sehingga isu ini tidak diselesaikan dengan cara yang sepatutnya, sehingga pihak-pihak yang menyumbat najis mugallazah sebagai balasan kepada kepercayaan umat Islam kepada mereka tidak dibawa ke muka pengadilan dan dihukum, selagi itulah kami mahu semua umat Islam untuk ingat perkara ini.
   
Ingat Babi Ingat Cadburry!



Berhenti bersikap tidak apa. Ini adalah generasi Muslim Bangkit!

Bangkit mempertahankan apa yang hak!


Bangkit menentang apa yang batil!

Bangkit!


2 comments:

  1. Alhamdullilah. JMM dan PPIM akan menyaman Cadbury Malaysia berkenaan dengan sikap tidak bertanggungjawab dan menghormati sensitiviti masyarakat Muslims di negara ini.

    Malah isu ini juga telah membuatkan golongan 'vegetarian' dan mereka-mereka yang mempunyai kekangan dalam urusan beribadat tertentu marah dan teraniaya kerana sikap tidak apa Cadbury. Ini bukan hal Muslims sahaja.

    Makanya amatlah penting untuk pihak berwajib atau gerakan-gerakan warga marhaen perlu mengenakan tindakan keras ke atas syarikat tersebut.

    Cadbury Malaysia, sebuah konglomerat besar dunia, patutkah kita maafkan mereka dengan begitu saja? Kenyataan Media mereka juga menampakkan keangkuhan syarikat asal penjajah tersebut, mereka tidak pernah mahu mengaku, jauh sekali memohon maaf.

    Bila lagi PEMBINA dan yang lain-lain NGO Muslims, mahu menguruskan proses saman terhadap Cadbury? Mungkin dana tersebut boleh digunakan untuk gerakan kerja-kerja dakwah Islam.

    Mungkin juga, Allah SWT nak bagi durian runtuh kepada gerakan Muslims?! Wallahualam.

    ReplyDelete
  2. Saudara Gavriel..

    Kami juga memandang kenyataan Cadburry sebagai angkuh. Lebih sibuk menjaga imej dan prosedur PR korporat.. Kenyataan yang dikeluarkan tidak disertai permohonan maaf..

    Perlu bagi mereka2 yg telah menyatakan untuk memulakan tindakan saman ke atas Cadburry melakukannya. Tidak hanya sekadar melepas batuk ditangga.

    Pengurusan Cadburry dan pihak yang bertanggungjawab tentang hal ini perlu dibawa ke muka pengadilan. Kes ini harus dijadikan satu precedent supaya langkah2 yg sama boleh diambil ke atas pihak-pihak yang menghina, menggugat serta mencemarkan Agama Negara iaitu Agama Islam.

    ReplyDelete

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.