Friday, 30 May 2014

Halal, Cadburry dan Maruah Umat Islam

Kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak-pihak yang berkepentingan di dalam kes unsur babi di dalam beberapa produk Cadburry  menyebabkan timbul banyak kekeliruan di kalangan umat Islam. Seolah-olah, kesalahan Cadburry yang besar terhadap umat Islam cuba diringankan. Pelbagai andaian yang belum pun berasas telah pun cuba disogokkan ke dalam minda umat Islam bahawa semua episod ini berlaku kerana tidak disengajakan, atau dalam Bahasa yang digunakan oleh Menteri Kesihatan, ianya mungkin satu kemalangan.

Semua pihak telah secara sinis membuat andaian bahawa kepentingan golongan kapitalis akan lebih diberikan perhatian dan simpati berbanding kepentingan umat Islam secara keseluruhan. Umat Islam sebenarnya pihak yang telah dianiayai di dalam kes ini. Jelas, andaian sinis yang berlegar-legar di ruang maya itu hampir-hampir benar berlaku. Jangan salahkan mereka. Mereka membuat andaian kerana mereka telah melihat perkara ini telah berlaku berkali-kali di dalam sejarah penghinaan maruah umat Islam di Malaysia.

Jelas juga, di dalam kes Cadburry, status halalnya seolah-olah sedang cuba dikembalikan setelah pihak Cadburry berusaha keras ‘meneliti permasalahan tersebut.’ Kini ia merupakan satu kemalangan. Kini ia satu bentuk pencemaran tidak sengaja ke dalam produk-produk yang dimaksudkan.

Persoalan timbul, dalam pelbagai jenis haiwan atau serangga yang lebih lojik mungkin terlepas masuk ke dalam kawasan produksi sebarang produk makanan mereka, kenapa DNA babi menjadi bahan yang telah mencemarkan produk tersebut? Apakah terdapat unsur-unsur babi dibiarkan berterbangan dan berkeliaran di dalam ruang produksi  makanan tersebut sehingga menyebabkan kemasukan pencemaran itu berlaku?

Melihat kesudahan episod ini sepertimana yang sebelum ini secara sinis dijangkakan, maka apakah mereka fikir umat Islam akan berdiam diri membiarkan hati, perasaan, akal serta maruah mereka boleh dipijak-pijak begitu sahaja tanpa ada tindakan balas? Apa mereka fikir umat Islam merupakan komuniti yang boleh dijadikan bola yang boleh ditendang ke tengah dan ke tepi sesuka hati mereka?

Tidak! Tidak sama sekali. Ini adalah generasi Muslim Bangkit!

Sekalipun dijemput mana-mana tokoh besar melakukan demonstrasi memakan produk tersebut, kami akan terus pastikan yang diri kami, anak-anak kami serta keturunan-keturunan kami akan selamanya menolak produk tersebut dengan istiqomah. Kami berpegang di atas prinsip ambil yang jelas dan tinggalkan yang syubhah.

Dari Abu 'Abdillah An-Nu'man bin Basyir radhiallahu 'anhuma berkata,"Aku mendengar Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya yang Halal itu jelas dan yang haram itu jelas, dan di antara keduanya ada perkara yang samar-samar, kebanyakan manusia tidak mengetahuinya, maka barangsiapa menjaga dirinya dari yang samar-samar itu, berarti ia telah menyelamatkan agama dan kehormatannya, dan barangsiapa terjerumus dalam wilayah samar-samar maka ia telah terjerumus kedalam wilayah yang haram, seperti penggembala yang menggembala di sekitar daerah terlarang maka hampir-hampir dia terjerumus kedalamnya. Ingatlah setiap raja memiliki larangan dan ingatlah bahwa larangan Alloh apa-apa yang diharamkan-Nya. Ingatlah bahwa dalam jasad ada sekerat daging jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya dan jika ia rusak maka rusaklah seluruh jasadnya. Ketahuilah bahwa segumpal daging itu adalah hati”. [Bukhari no. 52, Muslim no. 1599]

Jika ia satu kemalangan, bagaimana mungkin mereka boleh secara pasti untuk menjamin bahawa ianya tidak akan sama sekali berlaku di masa hadapan? Berapa banyak lagi ‘kemalangan atau ketidaksengajaan’ yang perlu berlaku sehingga pihak berkuasa sedar bahawa apa yang berlaku selama ini adalah satu tindakan yang mungkin disengajakan?

Kes ini akan menjadi kayu ukur kepada pengeluar produk-produk makanan halal yang lain. Jika ada di antara mereka yang mempunyai niat jahat untuk melakukan kontaminasi kepada sumber-sumber makanan orang Islam yang memberi kepercayaan kepada mereka, maka, apabila mereka tertangkap, alasan ‘kemalangan dan pencemaran’ ini boleh dijadikan precedence kepada mereka untuk melepaskan diri daripada dipertanggungjawabkan.

Kini kes ini telah berubah dari ‘kemungkinan perbuatan disengajakan’ kepada ‘pencemaran tidak disengajakan’. Bukankah apabila ‘pencemaran tidak disengajakan’ itu berlaku, ia juga membawa maksud berlakunya unsur-unsur kecuaian di pihak pengeluar makanan tersebut untuk memastikan tiada unsur-unsur babi berterbangan atau berkeliaran di dalam premis produksi mereka?

Kami mahu tindakan tetap diambil ke atas Cadburry di atas kecuaian mereka. Ini untuk memastikan tiada unsur-unsur babi akan berterbangan atau berkeliaran kembali di dalam premis mereka sehingga menyebabkan berlakunya ‘kemalangan’ atau ‘pencemaran’ tersebut.

Selagi tiada tindakan, selagi itu kami akan terus mengingatkan umat Islam bahawa :


Sekali Ada Babi, Selamanya Tolak Cadburry


0 comments:

Post a Comment

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.